Ahad, 30 Januari 2011

Rintangan dalam perjalanan hidup kita

Pada zaman dahulu kala,seorang raja meletakkan setongkol batu besar di sebatang jalan.Sang raja kemudiannya menyembunyikan diri dan memerhatikan dari sebalik pokok kalau-kalau ada yang cuba mengalihkan batu besar itu yang menghalang laluan mereka.

Sebahagian besar daripada para pengiring serta pedagang baginda yang kaya raya cuma memandang batu besar tersebut,berjalan mengelilinginya dan berlalu pergi begitu sahaja.Tidak kurang juga yang menyalahkan raja mereka kerana tidak menjaga keadaan jalan itu dalam keadaan baik.

Namun,tiada seorang pun daripada mereka melakukan apa-apa dengan batu besar yang menyukarkan perjalanan mereka itu,jauh sekali mengalihkannya ke tepi.Tidak lama kemudian,muncul seorang petani yang memikul bebanan hasil tani di atas belakangnya.

Raja terus memerhatikan dengan penuh khusyuk.Menghampiri batu besar tersebut,petani yang kelihatan kotor  kerana badannya bersalut lumpur itu dan tanah menurunkan guni yang dikandar.Dengan sepenuh kekuatannya,dia cuba mengalihkan batu besar itu ke tepi jalan agar tidak menghalang laluan.

Setelah beberapa lama berhempas pulas,dia akhirnya berjaya mengolekkan batu itu.Semasa hendak mengangkat semula sayur-sayuran dan buah-buahan yang diletakkannya tadi,si petani ternampak uncang wang yang betul-betul di atas tanah tempat batu besar yang telah dialihnya.

Uncang itu mengandungi banyak wang emas berserta sekeping nota dari raja berbunyi "Wang ini menjadi milik sesiapa yang memindahkan batu besar dari jalan".Petani itu mendapat satu mesej yang tidak difahami oleh banyak orang yang telah melepasi laluan itu dengan mudah.Setiap halangan dan rintangan dalam hidup kita merupakan satu peluang untuk meningkatkan diri.








0 ulasan: