Khamis, 28 April 2011

Impian Perkahwinan Saya

Assalamualaikum,selamat sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Setiap pasangan mempelai pasti mempunyai impian perkahwinan dan mengidamkan lokasi serta majlis yang lain dari yang lain.Majlis perkahwinan yang menjadi idaman saya adalah bersaksikan sawah padi yang terbentang luas.Sawah padi yang menghijau dengan udara segar dan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa pasti menggamit memori terindah untuk saya dan pasangan saya  meraikan majlis perkahwinan kami berdua di lokasi ini.


Biasanya kawasan sekitar sawah mempunyai batas atau jalan yang agak lebar.Ia sesuai untuk didirikan khemah atau kanopi majlis perkahwinan.Saya memilih kanopi dengan tema warna merah jambu dan putih.Tema ini dipilih kerana saya amat gemarkan warna merah jambu dan putih.




Lebih manis majlis perkahwinan saya dibuat secara bergotong-royong seperti masak beramai-ramai dan menggunakan khidmat masyarakat setempat iaitu rewang pastinya ia digamatkan lagi dengan gelak ketawa.Menu masakan ialah lauk pauk kampung bersama nasi minyak.






Majlis perkahwinan saya akan tambah meriah jika saya dan pasangan saya diarak pula dengan kereta lembu melalui batas sawah untuk ke lokasi majlis.Paluan kompang dan arakan kanak-kanak menambahkan lagi keriuhan majlis perkahwinan di kawasan sawah padi yang menghijau.Foto perkahwinan berlatar belakangkan sawah padi yang menghijau pastinya menjadi kenangan manis dalam hidup saya dan pasangan saya.



Saya memilih busana pengantin kebaya saloma dengan rona merah jambu walau tampak manis  namun ia mampu memberangsangkan jiwa.Pemilihan layah yang sedondon dan tudung berwarna putih memberikan keanggunan buat saya.Kasut yang sedondon juga adalah ringkas dan tanpa perincian kerana busana pengantin telah dihias indah dengan renda,bunga dan labuci.Pasangan saya pula mengenakan busana baju melayu berwarna merah jambu yang lengkap bersamping songket berwarna putih berserta keris bak pahlawan melayu. Tidak dilupakan pengapit-pengapit kami  berdua akan mengenakan baju kebaya berwarna merah jambu bagi perempuan dan baju melayu berwarna merah jambu atau putih bagi lelaki.Mereka adalah terdiri daripada teman-teman karib kami berdua.




Dekorasi pelamin saya ialah tema warna merah jambu dan putih.Tema ini dipilih kerana kesan romantis dan harmoni yang bakal menggamit jiwa tetamu yang hadir.Di belakang pelamin itu,scallop berwarna merah jambu digunakan dan bunga mawar sebagai bunga hiasan utama.




Bagi upacara memotong kek, ia akan digantikan dengan chocolate fountain yang dicelup dengan buah-buahan,marshmallow dan biskut.Sudah lama saya memasang angan-angan ini memandangkan saya dan pasangan saya begitu menggemari coklat selain ingin mencipta kelainan.Upacara ini akan diadakan di tepi sawah padi yang terbentang luas dan menghijau itu.



Pemilihan cenderahati seperti ‘fridge magnet’,coklat,bahulu,kerepek atau bunga telur InnerShine yang cantik dan menarik sentuhan Shajaratul Dur Ismail daripada Shajaratul Design diisikan dalam bekas atau kotak cenderahati untuk diberikan kepada tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan kami berdua.







Dan itulah serba sedikit mengenai impian  perkahwinan saya.Walaupun masih belum mempunyai tarikh yang tetap untuk majlis perkahwinan,kami berharap agar hubungan yang dibina akan kekal bahagia untuk selama-lamanya.Amin.

0 ulasan: