Selasa, 10 Mei 2011

Ingat 2, Lupa 2...


Ingat 1
Ingatlah kebaikan orang kepada kita.
Ingat-ingatlah selalu kebaikan orang kepada kita.
Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu.
Namun dalam banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan, ingatlah kebaikan Dia  yang paling berjasa kepada kita iaitu ALLAH.

Lupa 1
Lupa-lupakanlah kebaikan kita kepada orang.
Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut.
Apatah lagi dengan tujuan untuk menyakiti.
Segala-galanya terlalu halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang dikurniakan-Nya kepada diri kita.

Ingat 2
Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada orang.
Kenang selalu kesilapan kita pada tutur kata dan tingkahlaku.
Jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa ada pelajaran yang diambil darinya.
Bukan untuk menyeksa diri tetapi agar berhati-hati.
Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah itulah yang paling melata.
Istighfar selalu, kenang-kenanglah dosa kita kepada Dia.

Lupa 2
Keburukan dan kesalahan orang kepada kita lupa-lupakanlah.
Manusia yang paling tidak bahagia adalah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya.
Berdendam siang malam, memikul beban sepanjang masa.
Deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.

Dulu, mak aku selalu berpesan,
"Kakak,sebelum tidur pasang niat dalam hati maafkan dan lupakan semuakesalahan orang pada kita sepanjang hari. Bangun tidur buka buku baru supaya hati tenang, tak perlu bersedih."
Contohnya:
"YaAllah, sebelum ku lelapkan mata ini, ku maafkan setiap salah dan silap manusia atas kekurangan dirinya dan diriku. Ku maafkan setiap manusia yang berkata buruk di depan dan belakangku."

# Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana al-Muntaqim, hanyalah Engkau Tuhan Yang Esa lagi Perkasa.

0 ulasan: