Selasa, 29 November 2011

Fenomena lelaki puntianak

KONGSI MINAT...Azlina (dua dari kiri) bersama barisan ahli jawatankuasa Kelab Twilighters Malaysia.


SUASANANYA bagaikan di majlis resepsi perkahwinan. Sekumpulan wanita hamil ralit merakamkan aksi mereka di bawah gerbang pengantin serta teruja melihat ratusan kek cawan unik yang didirikan di tepinya.


Di satu sudut pula beberapa wanita asyik menata wajah dan membetulkan gaun putih mereka. 


UNIK...Azlina bersama kek cawan direka khas menyamai kulit novel Breaking Dawn ciptaan salah seorang ahli Twilighters.

Tidak kurang juga beberapa lelaki bertubuh sasa yang lagaknya umpama si kaki pukul, namun tidak henti bergelak ketawa serta berbual bersama hadirin.

Namun, ini bukanlah majlis resepsi yang biasa dilakukan masyarakat kita. Tiada pengantin lelaki mahupun perempuan yang diraikan dalam majlis ini tetapi ia dianjurkan sebagai simbolik bagi meraikan majlis perkahwinan dua watak utama dalam filem sekuel Twilight - Breaking Dawn Part 1 - yang mula ditayangkan di seluruh Malaysia, minggu lalu.


Biarlah apa pun orang kata, cinta mereka tetap pada Edward Cullen, Bella Swan dan Jacob Black. Biarpun ada yang menggelar mereka pelik, mengarut malah sasau sekali pun, minat yang disemai sejak awal kemunculan lelaki puntianak itu di lembaran kesusasteraan dunia langsung tidak pernah goyah.


Berpaksikan minat mendalam kepada watak fiksyen rekaan Stephenie Meyer itu, lebih 400 peminat Twilight Saga ini, yang bergerak atas nama Kelab Twilighters Malaysia (Twilighters), berhimpun menantikan tayangan perdananya di Pavilion, Rabu lalu.

Tidak sekadar berkumpul bagi menonton filem terbabit, mereka berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sosial selain meluaskan rangkaian kenalan dengan ahli Twilighters lain.

Menurut Presiden Kelab Twilighters Malaysia, Nurul Azlinawatee Mahbob, majlis perhimpunan ahli Twilighters seperti itu adalah perkara biasa sebelum tayangan perdana filem dalam Twilight Saga.

“Kami tidak menjual tiket semata-mata dan membiarkan ahli Twilighters menuju terus ke panggung, tetapi kami adakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan Cosplay serta cabutan bertuah agar dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan sesama ahli.

“Jangan terkejut kerana ahli Twilighters bukan hanya di kalangan wanita dan remaja perempuan tetapi kami turut menerima banyak penyertaan daripada golongan lelaki yang turut menggemari filem ini.

“Bagaimanapun, ramai antara golongan itu yang enggan mengakui tertarik dengan novel atau filem Twilight Saga secara terbuka, perhimpunan sebelum tayangan perdana seperti ini adalah platform terbaik untuk mereka bergaul bersama rakan yang berkongsi minat sama serta bertukar-tukar pendapat dengan ahli lain,” katanya.

Pada majlis itu, Syed Azman Syed Abu Bakar yang tampil sebagai Jacob muncul juara Cosplay kategori lelaki sementara wanita dimenangi Norhidayah Yaacop yang membawa karektor Bella.

Selain Cosplay dan cabutan bertuah, kek cawan yang direka khas menyamai kulit novel Breaking Dawn ciptaan Marsila Sulaiman dari http://rizqcakes.blogspot.com tidak ketinggalan menjadi tumpuan hadirin.

Mengimbau semula penubuhan kelab ini, Azlina berkata ia tercetus selepas suaminya, Mohd Fadzli Abdul Ghani memperkenalkannya dengan filem Twilight, yang pertama dalam sekuel saga itu.

“Sejak filem itu, saya tertarik untuk terus membaca novel Stephenie dan mula berhasrat mewujudkan sebuah kelab bagi mengumpul peminat Twilight di seluruh Malaysia.

“Saya kemudiannya berkenalan dengan seorang lagi peminat Twilight, Nurul Akhmar Hannum Naseron dalam laman web Facebook, lalu kami sama-sama bertemu pengedar filem ini di Malaysia untuk membantu kami merealisasikannya pada 2008,” ujarnya.

Tambah eksekutif pemerolehan itu, kelab ini tidak berteraskan keuntungan dan semua ahli jawatankuasanya seperti Suhaini Nordin (Naib Presiden), Nuhrul Huda Khalid, Shairli Saad, Nurul Neesa Omar, Sharifah Edura Farita Syed Saiyudin dan Mariyana Eszet Zaidel berkhidmat sebagai sukarelawan.

Kelab ini juga banyak terbabit dalam aktiviti kebajikan antaranya menyumbang keuntungan daripada jualan pakej (tiket dan barangan memorabilia) bagi tayangan perdana filem Twilight Saga : Eclipse kepada Tabung Bersamamu TV3.

“Kami bergerak sebagai kelab peminat dan bukannya syarikat yang meletakkan sasaran khusus untuk organisasi. Disebabkan kami bergerak secara dalam talian, saya sendiri yang membayar domain untuk laman web http://www.twilightersmalaysia.com.

“Biarpun tanpa keuntungan, kami kini berjaya menarik lebih 1,600 penyertaan ahli selepas tiga tahun ia beroperasi. Kami cuma mengenakan bayaran minimum untuk satu-satu majlis, cukup sekadar untuk menampung kos.

“Kami melakukannya kerana minat dan kami gembira apabila minat itu dapat dikongsi bersama orang lain,” katanya.


0 ulasan: