Ahad, 4 Disember 2011

HIASAN BEG DISANGKA PISTOL



VIRGINIA: Seorang remaja ditahan daripada menaiki pesawat kerana dia mempunyai pistol - rekaan di tepi beg tangannya.

Vanessa Gibbs 17, terperanjat apabila pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA), menahannya di pintu keselamatan kerana beg tangannya mempunyai rekaan pistol ‘Wild West.’ 

Menurut Vanessa, dia tidak mempunyai masalah ketika melalui pintu keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksonville. Kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari Virginia.

Katanya, “Ini gaya saya. Beg tangan ini ada rekaan pistol lama ‘western’ tiruan.”

Walau bagaimana pun, staf di Norfolk tidak menyukainya dan menahan dia daripada menaiki pesawat.

“Mereka berkata, ia adalah kesalahan besar kerana beg itu mempunyai bentuk pistol,” kata Vanessa. “Saya berkata, ia hanya rekaan di beg tangan, bagaimana pula ia boleh jadi kesalahan besar?”

Selepas pegawai penyiasat memeriksa begnya dan mendapati ia hanya pistol tiruan, Vanessa diminta daftar masukkan atau menyerahkan begnya itu.

Pemeriksaan itu menyebabkan remaja yang sedang mengandung itu terlepas penerbangannya dan dia terpaksa menaiki pesawat Southwest ke Orlando.

Jurucakap TSA berkata, replika pistol diharamkan sejak 2002.

Seorang lagi pegawai TSA di Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksonville berkata, tidak mustahil ada penumpang yang membawa barang yang mungkin dianggap sebagai replika pistol dan dia menasihatkan orang ramai untuk melihat senarai barang yang diharamkan yang boleh didapati secara online atau di lapangan terbang sebelum melalui pintu keselamatan. - Agensi

0 ulasan: