Sabtu, 4 Ogos 2012

AISKRIM BASKIN ROBBINS PERCUMA

 


KUALA LUMPUR: Sekiranya Malaysia memenangi pingat emas pertamanya di kejohanan Olimpik London 2012, Baskin-Robbins, yang menyokong inisiatif "Impian Emas" Media Prima Bhd akan memberikan aiskrim percuma di seluruh negara.Aiskrim itu akan tersedia pada 8 Ogos di semua 61 kedai aiskrim Baskin-Robbins di seluruh negara (tidak termasuk dua kiosk di Pantai Hospital di Bangsar dan Taman Tema Genting) bermula 8 malam hingga 10 malam. Setiap orang layak mendapat satu skup aiskrim.

"Menjadi hasrat Media Prima untuk menyatukan rakyat Malaysia dalam satu suara bagi menyorak jagoan Olimpik kita," kata Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Media Prima. 

Sekiranya Malaysia meraih pingat emas Olimpik pertama kita, cara terbaik untuk meraikannya adalah dengan menjamu semua rakyat Malaysia dengan aiskrim percuma. Bukan sebarang aiskrim, tetapi antara aiskrim yang paling sedap di dunia.

"Kami mahu berkongsi visi yang sama dengan Baskin-Robbins dan kami mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas perkongsian hebat mereka dalam inisiatif ini di bawah Impian Emas Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini merupakan kali pertama Baskin-Robbins menyertai aktiviti sedemikian di Malaysia bagi meraikan saat bersejarah seumpama itu di negara ini.


"Kami mahu kegembiraan sentiasa berterusan. Pengunjung awal yang datang ke acara kami itu bukan sahaja mendapat skup aiskrim percuma tetapi juga baucar eksklusif menawarkan tawaran paling menarik," kata Cheah See Yeong, Presiden Golden Scoop Sdn Bhd, rakan kongsi Baskin-Robbins di Malaysia.


"Ini akan menjadi satu daripada sumbangan terbesar kami setakat ini kerana ia melibatkan hampir semua kedai aiskrim Baskin-Robbins di seluruh Malaysia. Pelanggan boleh memilih daripada mana-mana 31 perisa kami yang tersedia di kedai kami.


"Pilihan terbaik yang melambangkan detik penting ini ialah perisa Gold Medal Ribbon dan World Class Chocolate kami.


"Kami mahu semua rakyat Malaysia menikmati kejayaan manis ini dan cara yang terbaik adalah berkongsi peristiwa bersejarah ini bersama-sama menerusi skup aiskrim Baskin-Robbins pilihan Malaysia.


"Ini merupakan saat yang menggembirakan dan kami mahu setiap orang dan setiap rakyat Malaysia meraikannya," kata Cheah. - Bernama

0 ulasan: