Jumaat, 25 Januari 2013

KEBAS KETIKA BANGUN TIDUR

1343273315661321310

Jari dan tapak tangan yang kebas adalah pertanda berlakunya gangguan, tekanan atau kepitan terhadap saraf periferi bahagian berkenaan. Biasanya ia memang disebabkan oleh posisi tubuh ketika tidur yang menekan saraf periferi pada tangan. Namun, gangguan terhadap saraf periferi  pada tangan dan jari juga sering berlaku akibat diabetes mellitus, radang sendi, minum alkohol berlebihan, kekurangan vitamin B12, dan apabila saraf periferi yang khusus tersepit, seperti sindrom terowong karpus.

Tekanan terhadap saraf periferi yang berlaku pada orang normal boleh menyebabkan gejala kekebasan (parestesia) yang dapat hilang dengan sendirinya. Secara perubatan, tidak ada tempoh tertentu bagi kekebasan itu menghilang. Jika rasa kebas dapat hilang dengan sendirinya, maka tiada apa yang perlu dikhuatiri lagi.

Sebaliknya jika rasa kebas hilang pada waktu pagi dan kembali semula selepas anda melakukan aktiviti tertentu misalnya, maka hal ini harus diberi perhatian dan dicari puncanya. Apabila keadaan ini berlaku, pergilah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan yang lengkap.

Anda dinasihatkan agar berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan menyeluruh secara berkala bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya diabetes mellitus, radang sendi atau keadaan lain yang boleh mengakibatkan gejala yang anda alami.  Pengambilan alkohol juga harus dielakkan. Di samping itu, anda harus mengambil vitamin tambahan yang mengandungi vitamin B, terutamanya vitamin B12 setiap hari. 

Amalan ini dapat membantu memperbaiki kesihatan dan fungsi saraf periferi anda.
Semoga membantu. Terima kasih.

0 ulasan: