Buat julung kalinya, dua syarikat produksi yang cukup dikenali, Skop Productions dan Excellent Pictures bakal bersatu menghasilkan sebuah filem berjudul 'Gangster Celop'.

Membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Syamsul Yusof, Kamal Adli, Yus Jambu, Azad Jazmin, Reen Rahim serta pelakon baru, Hanis Zalikha, filem ini dijangka mencetuskan fenomena baru dalam industri perfileman negara.

"Dalam keadaan industri filem tempatan mutahir ini, penggabungan seperti ini mampu menjana lebih idea, kreativiti dan modal seterusnya menghasilkan karya yang dapat memenuhi citarasa penonton yang lebih luas," ujar Datuk Yusof Haslam dalam majlis pelancaran filem ini yang berlangsung di FINAS, semalam.

'Gangster Celop' berkisar mengenai dua orang bekas gangster iaitu Aman (Kamal Adli) dan Adam (Syamsul Yusof) yang baru selesai menjalani hukuman penjara selama lima tahun yang bertekad untuk menjadi insan yang lebih baik.

Namun mereka dikehendaki menjaga anak kepada Mat Jambu (Yus Raja Lawak), seorang ketua gangster yang pernah melindungi mereka dahulu iaitu Suzana (Hanis Zalikha) yang baru pulang dari luar negara untuk memulakan perniagaan.

Semua menjadi huru-hara apabila mereka terlibat dalam konflik antara Mat Jambu dan Man Cirit (Azad Jazmin) yang merupakan musuh untuk sekian lama.

Ingin tahu kesudahan kisah mereka? Nantikan tayangan filem 'Gangster Celop' pada pertengahan tahun 2013.