Ahad, 22 September 2013

LAGENDA BUDAK HOSTEL




"Lagenda Budak Hostel" merupakan filem komedi ringan yang bertujuan memberi ruang untuk bergelak ketawa dan pada masa sama mengimbau kenangan silam, terutama bagi mereka yang pernah tinggal di asrama.

Filem ini mengisahkan Haikal Putra(Along Cham) Kodan dan Ahmad Danial (Along Eyzendy)pelajar tingkatan 6 yang mana merupakan senior di sebuah hostel sekolah asrama penuh. Mereka adalah pelajar yang disegani dan digeruni oleh pelajar-pelajar lain di asrama itu kerana sikap mereka yang suka membuli.

Cerita ini kelakar, sesuai untuk seisi keluarga dan dan jalan ceritanya tidak meleret dan lawaknya yang disampaikan juga segar dan bukannya dibuat-buat. Cuma adakala dialog yang dilontarkan terlalu panjang dan ada ketika lawak yang dibuat kurang menjadi.

Antara adegan yang mencuri tumpuan penulis ialah pada babak Seroja (Nora Danis) berangan-angan dipikat Put dan Kodan, yang mana elemen muzikal dengan lagu "Seroja" dijadikan latar.

Watak Pekin Ibrahim menjadi iaitu sebagai pelajar yang gagap dengan mimik mukanya yang serius dan 'blur' membuatkan penonton tidak kering gusi. Dialog dan setiap watak dilakonkan sempurna, malah watak Seroja yang menggoda dan manja juga tidak mengecewakan.

Selain, Nora Danish, Along Cham dan Along Eyzendy, filem ini juga turut dibintangi Epy Raja Lawak, Rahim R2, Pekin Ibrahim, Eddy Rauf, Mikael Andre dan muka baru dari Singapura Siti Aziz.

Keserasian di antara Along Cham dan Along Eyzendy sebagai Put dan Kodan juga wajar dipuji. Andai sebelum ini Along Cham sering dilihat lebih kerap bergandingan dengan Angah Raja Lawak, kehadiran Along Eyzendy membentuk dimensi baru dalam dunia hiburan. "Lagenda Budak Hostel" ternyata sesuai untuk penonton yang ingin mengimbau nostalgia kembali bergelar 'budak hostel'.

Keseluruhan filem, plot cerita yang ringkas, senang untuk difahami, tidak melarat, lawak yang segar dan para pelakon yang hebat menjadi kekuatan.Bagi peminat filem komedi yang ingin menonton filem yang pasti penuh dengan gelak ketawa dari awal hingga akhir, Lagenda Budak hostel ada jawapannya. Jadi jangan lupa untuk menyaksikan filem terbitan Metrowealth ini di pawagam bermula 12 September 2013

0 ulasan: