Rabu, 26 Februari 2014

10 CARA RENCANAKAN PERKAHWINAN ANDA



Impikan majlis perkahwinan yang sempurna? Atau sesempurna mungkin? Mudah sahaja...pastikan setiap perancangan asas dijalankan dengan sebaik mungkin. Pesona Pengantin sedia membantu.
Dalam merencanakan hari bahagia anda, ada perkara yang wajib anda tahu, perlu anda tahu dan bagus juga kalau anda tahu. Tidak lah saat tiba hari bahagia anda baru terfikir, “kenapa saya tak tahu ni?” Jika anda terasa seperti ada perkara yang anda terlupa atau tertinggal untuk lakukan, mungkin tip dan trik yang kami sediakan ini boleh dijadikan panduan.
1. Tetamu Diutamakan
Pastikan jumlah tetamu yang dijemput dan anggaran yang bakal hadir (terutamanya tetamu dengan bilangan anak-anak yang mungkin anda tidak ingat berapa jumlahnya). Ini membantu dalam perancangan tempat duduk dan ruang (jika majlis di dewan atau hotel khasnya). Selain itu, penyediaan makanan juga dapat ditentukan agar tidak timbul masalah makanan tidak cukup atau kehabisan (perkara penting yang WAJIB dielakkan dalam setiap majlis).
2. Pilihan Tarikh Yang Tepat
Tarikh kahwin adalah sangat penting. Anda tentu tidak mahu tarikh yang dipilih sama dengan tarikh kahwin sanak saudara atau sahabat handai yang lain atau juga terdapat majlis syarikat yang membuatkan rakan-rakan sekerja tidak berpeluang menghadiri majlis anda nanti.
3. Ambil Kira Faktor Musim
Jangan kerana terlalu taksub dengan tarikh yang cantik sehingga anda lupa bahawa ia jatuh pada musim tengkujuh atau musim kemarau. Selain cuaca, ada juga sesetengah tempat/kawasan yang diserang dengan musim haiwan-haiwan perosak seperti  lalat, tikus atau serangga. Anda tentu tidak mahu, ‘tetamu yang tidak diundang’ menggangu majlis anda.
4. Kredit Yang Cukup
Kos kahwin memang memerlukan wang yang banyak walaupun untuk perkahwinan bajet rendah. Selain pinjaman kewangan daripada bank, keluarga dan sanak-saudara, anda mungkin boleh mengambil kad kredit yang menawarkan mata ganjaran yang tinggi. Lebih baik jika mata ganjaran yang ditawarkan boleh ditukar dengan pakej percutian, boleh juga menjimatkan kos bulan madu nanti. (Tetapi, jika anda mempunyai simpanan yang mencukupi, idea ini mungkin tidak perlu diguna pakai).
5. Kurangkan Bajet
Cara paling mudah untuk mengurangkan kos keseluruhan ialah dengan mengurangkan jumlah tetamu yang hadir. Andaikan seorang tetamu kosnya RM50, jika anda kurangkan 10 tetamu, anda jimat RM500. Jika 50 tetamu..anda tahukan berapa yang anda jimat (pasti anda tersenyum sekarang ini). Mungkin kedengaran seperti anda seorang ‘tangkai jering’ tetapi itulah hakikatnya.
6. Rancang Menu
Satu lagi kos tersembunyi yang ‘jarang’ diambil peduli. Dalam mana-mana majlis perkahwinan, makanan sering berlebihan sehingga menjurus kepada membazir. Rancang menu yang ringkas tetapi sedap dan mencukupi untuk santapan perut para tetamu. Ikut pelan pemakanan yang sihat. Yang penting perlu ada karbohidrat (nasi), protein (ayam/daging), zat mineral (acar timun/pajeri nanas/acar buah), pemanis mulut (potongan oren/pisang/agar-agar/kek) dan minuman (kurang manis tentunya). Selalunya bukan berapa jenis makanan yang dihidangkan tetapi kesedapan makanan yang menjadi buah mulut para tetamu.
7. Tawar Menawar Berkesan
Ini tip yang baik. Jangan lupa untuk melakukan sedikit (atau banyak) tawar menawar dengan setiap perkhidmatan yang anda upah untuk menjayakan majlis perkahwinan anda. Kalau boleh mendapat tajaan adalah lebih baik. Banyak yang boleh anda jimatkan.
8. Yang Tidak Hadir
Bersedia dengan kemungkinan bahawa tetamu-tetamu yang dijangka hadir tetapi tidak ‘menampakkan muka’ di majlis perkahwinan anda. Lebih merugikan jika majlis dibuat di dewan atau hotel. Jangkakan sekurang-kurangnya 20 peratus tetamu yang dijemput tidak akan hadir di saat-saat akhir. Anda perlu akui bahawa tidak semua tetamu jemputan anda mempunyai rasa tanggungjawab untuk memaklumkan ketidakhadiran mereka lebih awal ya. Pastikan anda mempunyai ‘back-up plan’ untuk memenuhi setiap kerusi yang telah dibayar itu.
9. Lakukan Satu Persatu
Kumpulkan semua rencana perkahwinan anda. Semak semuanya dan lakukan setiap perkara dalam senarai semak anda mengikut keutamaan. Jangan terburu-buru mahu melakukan banyak perkara serentak. Ambil masa untuk lakukannya satu persatu agar setiap perancangan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Cara ini anda tidak akan ‘terlepas’ atau ‘tertinggal’ apa-apa yang mungkin membawa kepada kecemasan yang tidak diperlukan.
10. Simpan Sedikit
Ini adalah tip yang sangat penting. Jangan kerana impian mahukan majlis perkahwinan yang terlalu sempurna atau lain daripada orang lain, poket anda yang sengsara. Fikirkan juga belanja-belanja lain selepas majlis perkahwinan anda. Itu lebih realistik. Jika boleh simpan atau jimatkan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah sebenar kos yang diperuntukkan. Formula ringkas yang boleh diguna pakai: 48:50 peratus jumlah keseluruhan bajet, 8:10 peratus untuk bunga, busana dan muzik, 10:12 peratus untuk khidmat jurugambar/video dan 2:3 peratus untuk jemputan dan cenderahati

KREDIT : http://pesonapengantin.karangkraf.com

0 ulasan: