Khamis, 27 Februari 2014

ANTARA KELEMBUTAN DAN KETEGASAN




Ada sebuah kisah menarik melibatkan seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan isterinya yang ingin saya kongsi bersama para pembaca sekalian. Sahabat itu ialah Abdullah ibn Mas’ud sementara isterinya bernama Zainab, semoga Allah meredai mereka berdua. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Zainab, menunjukkan bahawa para wanita pada zaman awal Islam turut memainkan peranan dalam menyebarkan ilmu dan pengalaman yang bermanfaat. Marilah kita ikuti apa yang diceritakan oleh Zainab.

Seorang wanita tua menemui kami hendak menjampi (kami) dari penyakit demam. Kami memiliki kerusi (bangku) yang panjang kakinya (dan wanita tua itu menjampiku sambil aku duduk atau baring di atasnya).

Lazimnya apabila Abdullah hendak masuk (ke dalam rumah) maka dia akan (terlebih dahulu) berdehem dan bersuara (yakni memberi salam). Satu hari dia masuk dan ketika wanita tua itu mendengar suaranya, maka dia bersembunyi. Kemudian Abdullah datang dan duduk di sampingku serta membelaiku. Ternyata dia menyentuh suatu jahitan benang, maka dia bertanya: “Apa ini?” Aku menjawab: “Tangkal yang di dalamnya terdapat jampi-jampiku untuk mengubati penyakit demam.”

Abdullah lalu menariknya dengan keras, memutuskannya dan membuangnya seraya berkata: “Sungguh keluarga Abdullah tidak memerlukan lagi serba mencukupi daripada amalan syirik. Saya mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik.”

Aku (Zainab) seterusnya berkata: “Pada satu hari aku keluar lalu seorang lelaki memandangku sehingga mataku selalu berair. Jika mataku di jampi maka air mata akan berhenti, namun jika tidak di jampi maka ia akan selalu berair.”

Abdullah berkata: “Itu adalah (tipu daya) syaitan, jika kamu mentaati syaitan (dengan mengamalkan jampi-jampian) maka syaitan akan meninggalkanmu (yakni tidak lagi mengganggu dengan mata yang berair). Akan tetapi jika kamu mengingkari syaitan (dengan mengingkari jampi-jampian) maka ia akan menusuk matamu dengan jari-jarinya (sehingga selalu berair. Demikianlah tipu daya syaitan agar kamu sentiasa mengamalkan jampi-jampian).

Sekiranya kamu melakukan apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka itu tentu lebih baik bagimu dan lebih layak mendapatkan kesembuhan. Iaitu kamu membasuh kedua matamu dengan air sambil membaca doa:

Hilangkanlah (penyakit ini), wahai Rabb manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3521/3530]

Terdapat beberapa pengajaran penting dalam kisah di atas. Marilah kita mengupasnya satu per satu.

Pertama: Etika Suami Pulang Ke Rumah

Sebagai agama yang kaya dengan etika, Islam menganjurkan umatnya mengucapkan salam apabila masuk dan keluar rumah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan: Jika kamu memasuki rumah maka ucapkanlah salam kepada penghuninya dan jika kamu keluar dari rumah maka ucapkanlah salam kepada penghuninya. [Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dengan sanad yang hasan. Rujuk al-Misykat al-Mashabih, no: 4651]Etika inilah yang diamalkan oleh Abdullah ibn Mas’ud sebelum memasuki rumah. Antara hikmahnya, memberi salam menjadi tanda kepada isteri untuk bersiap sedia menerima kepulangan suami.

Jika suami berpergian agak lama, maka tidak dianjurkan terus balik ke rumah tanpa terlebih awal mengkhabarkan waktu kepulangannya. Ini supaya isteri memiliki masa yang lebih untuk mengemas dirinya setelah sekian lama tinggal berseorangan. Jabir bin Abdullah menceritakan: Kami pernah berperang bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Setelah kami tiba di Madinah, kami bermaksud hendak segera pulang ke rumah kami masing-masing. Namun baginda bersabda: “Tunggulah dahulu hingga hari malam, yakni waktu Isyak, supaya isteri dapat menyikat rambutnya yang kusut dan mencukur bulu kemaluannya setelah ditinggalkan sekian lama.” [Shahih Muslim, no: 3556/715]

Pada masa kini, kita memiliki pelbagai alat komunikasi yang dapat memudahkan pengkhabaran waktu pulang ke rumah. Para suami hendaklah memanfaatkan alat-alat ini untuk mengkhabarkan kepada isteri bila mereka dijangka sampai rumah. Pada waktu yang sama, isteri hendaklah memanfaatkan pengkhabaran ini untuk bersiap sedia menyambut kepulangan suami. Etika-etika ini meskipun kelihatan kecil, sebenarnya memainkan peranan yang besar bagi membina dan menjaga keharmonian rumahtangga.

Kedua: Duduk-Duduk Bersama

Setelah masuk ke dalam rumah, Abdullah ibn Mas’ud duduk bersama isterinya sambil membelai-belainya. Ini adalah sebuah lagi etika rumahtangga yang mulia. Setelah pulang ke rumah, suami usah menghabiskan masa membaca akhbar atau menonton TV sementara isteri pula khusyuk melayari internet. Sebaliknya luangkanlah masa bersama-sama, membelai-belai sambil berkongsi cerita-cerita terkini hari tersebut. Jika suami isteri keletihan atau sibuk dengan urusan lain, sekurang-kurang cubalah untuk duduk bersama untuk 5 atau 10 minit sebelum pergi berehat atau beralih ke tugasan masing-masing.

Ketiga: Tegas Dalam Urusan Aqidah

Meskipun sejak pulang ke rumah Abdullah ibn Mas’ud berlemah-lembut dengan isterinya, ada satu perkara yang menyebabkan kelembutan itu tiba-tiba bertukar kepada ketegasan. Pertukaran ini berlaku apabila beliau mendapati isterinya melakukan sesuatu yang melibatkan syirik, yakni menggunakan tangkal benang yang telah dijampi. Abdullah serta merta mencabut benang tersebut dan membuangnya.
Akan tetapi Abdulullah tidak memarahi isterinya, sebaliknya menjelaskan bahawa : “Sungguh keluarga Abdullah tidak memerlukan lagi serba mencukupi daripada amalan syirik. Saya mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik.”
Perbuatan Abdullah mesti dicontohi oleh para suami dan bakal-bakal suami. Sebagai ketua keluarga, suami hendaklah memerhatikan urusan agama ahli-ahli keluarganya. Suami hendaklah memastikan ahli-ahli keluarga melaksanakan perintah dan menjauhi larangan agama. Akan tetapi sebelum melakukan semua itu, suami hendaklah terlebih dahulu melengkapkan dirinya dengan ilmu yang sahih dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Jangan berharap ahli-ahli keluarga akan menjadi muslim yang baik jika suami sendiri tidak menjadi muslim yang terbaik.
Selain itu, urusan agama yang berbeza memerlukan pendekatan yang berbeza. Urusan fiqh seperti solat, puasa dan menutup aurat dan semisalnya, memerlukan pendekatan yang bertahap-tahap. Urusan aqidah pula memerlukan pendekatan yang tegas lagi serta-merta kerana ia melibatkan tauhid dan syirik kepada Allah Subhanahu waTa'ala.
Tangkal dan jampi-jampian termasuk dalam urusan aqidah, oleh kerana itulah Abdullah ibn Mas’ud bersikap tegas lagi serta-merta terhadapnya. Adapun hukum terperinci tentang tangkal dan jampi-jampian, akan dijelaskan dalam penulisan akan datang insya-Allah.

Keempat: Suami Isteri Bertukar-Tukar Pandangan

Sekalipun suami ialah ketua keluarga, tidaklah bererti suami bersikap ala diktator terhadap ahli-ahli keluarganya. Jika kita perhatikan kisah di atas, Zainab dapat membela dirinya dengan berkongsi pengalaman menggunakan jampi-jampian bagi mengubati penyakit mata berair. Abdullah tidak membantah pembelaan Zainab, sebaliknya menjelaskan hakikat sebenar jampi-jampian.
Abdullah menjelaskan bahawa kadangkala jampi-jampian boleh memberi manfaat kepada pesakit. Akan tetapi sedarilah bahawa manfaat tersebut adalah tipu daya syaitan dan bukannya kesembuhan yang sebenar daripada Allah Subhanahu waTa'ala. Oleh itu para pembaca hendaklah benar-benar prihatin terhadap tipu daya ini. Kebenaran sesuatu amalan tidak diukur dengan berjaya atau gagal kerana mungkin saja ia melibatkan tipu daya syaitan. Sebaliknya kebenaran sesuatu amalan diukur dengan tunjuk ajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdasarkan hadis-hadis yang sahih. Berjaya atau tidak, maka itu di atas izin dan kehendak Allah.

0 ulasan: