Pelamin yang dipilih dengan tema ala rustic english memang menarik perhatian kerana menampilkan ciri-ciri unik perhiasan untuk dekorasi dewan.  Seperti pelamin unik yang dikongsikan pasangan Nadhirah dan Zhafirin (pembaca pesona pengantin) ini mengetengahkan elemen kotak yang diperbuat daripada kayu sebagai motif utama memberi kelainan tersendiri.  Warna yang dipilih juga sangat lembut dan kena dengan busana pilihan pengantin. Bunga-bungaan segar pula melengkapkan lagi gaya rustic english yang ringkas tetapi masih tampak eksklusif.    

Pasangan ini memilih layar putih sebagai tabir, juga sangat membantu dalam menjayakan tema ini kerana ia menampakkan lagi keserasian warna.  Dalam pemilihan pelamin atau tema untuk perkahwinan anda, digalakkan supaya tidak memilih warna yang terlampau terang atau lebih dari tiga warna untuk dekorasi.  Ini kerana warna yang terlalu sarat boleh menyebabkan anda akan dibelakangi oleh dekorasi itu sendiri, walhal anda yang patut diraikan.  Ini yang selalu terjadi jika anda salah dalam pemilihan tema dan warna yang betul. 

Untuk lebih menonjolkan cita rasa pelamin dan tema ala rustic english ini, mungkin anda boleh memilih busana persandingan yang agak terang sedikit agar menjadi perhatian semua orang yang bertandang.  Pemilihan bunga yang lebih banyak dan segar juga sangat penting dalam memastikan pelamin idaman menepati kehendak dan memberi personanya yang tersendiri pada majlis raja sehari anda.

Sumber : http://pesonapengantin.karangkraf.com