Bak kata Hang Jebat “Tidak akan hilang Melayu di dunia”.  Biarpun ia telah berlalu dan terus dihantui dengan arus permodenan yang semakin mengejar kita kini, seni traditional tidak sepatutnya dilupakan oleh setiap orang bahkan bagi mereka yang bakal menjadi ratu dan raja sehari.  Gambaran yang jelas tentang betapa pentingnya agar setiap warisan itu dijaga dengan rapi.  Antara yang menjadi warisan adalah potongan busana traditional yang dikhaskan buat kaum wanita untuk digayakan di hari bahagia anda nanti.  Kenali 5 busana indah traditional yang boleh anda gayakan dan pasti tidak akan ketinggalan dek zaman dan akan dikagumi buat mereka yang meminatinya.

  1. Baju Kurung Cekak Musang
Baju kurung cekak musang bermula sejak tahun 1980-an lagi, dihasilkan daripada songket tenunan Terengganu bermotifkan bunga tabur.  Biasanya, baju kurung jenis ini berpesak kembang, berkekek gantung dan berleher tinggi dan mempunyai labuh kain sehingga ke paras lutut.  Selain itu, ia mempunyai batang dua di atas dan tiga di bawah.  Warna pilihan untuk baju kurung jenis ini adalah warna-warna yang terang tetapi tidak terlalu menonjol. 

Sesuai digayakan bersama kain songket yang diikat di sebelah tepi seakan-akan lipatan omba mengalun dan rupanya yang kelihatan seperti potongan baju Melayu lelaki.  Bagi mereka yang tidak mengenakan hijab pilihan pakaian ini adalah sangat bertepatan dengan tema traditional itu sendiri.  Aksesori tambahan di kepala adalah seperti sanggul lintang. 

  1. Baju Kebaya Labuh Nyonya
Busana jenis ini banyak digayakan pada tahun 1950-an.  Materialnya yang terdiri daripada sutera bercetak yang berasal daripada negara China ini sangat cantik jika digayakan dengan padanan kain batik sarung.  Potongannya pula adalah mengikut bentuk badan si pemakai sepenuhnya.  Pada bahagian leher pula, kain kapas halur digunakan sebagai pelapik manakala hujung lengannya pula lebih mengecil. Ditambah pula dengan sulaman manik yang berwarna warni bakal menarik perhatian mata yang memandang.  Sesuai digayakan ketika majlis berinai ataupun majlis resepsi anda. 

  1. Baju Kebaya Labuh
Baju kebaya labuh ini mula diperkenalkan pada tahun 1930-an  dan rekaannya mempunyai kekek dan lengan yang lebih lebar.  Pemilihan material daripada sutera China organza ini akan menjadi lebih menarik jika digayakan dengan aksesori kerongsang emas yang disemat tiga sederet.  Akan lebih menarik jika anda tambahkan pula dengan batik sarung daripada sutera China dengan motif jambangan bunga tabur. 

Baju kebaya jenis ini masih banyak lagi digunakan dalam perkahwinan Melayu tetapi digubah sedikit agar tampak lebih moden.  Tetapi jika anda berminat untuk mengekalkan rekaan yang asal adalah lebih baik dan sesuai digunakan ketika majlis akad nikah dijalankan. 

  1. Baju Kebaya Pendek
Busana ini muncul pada tahun 1950-an dengan ukuran bajunya sehingga ke paras pinggul.  Kain batik sarung atau kain batik jawa dipilih kerana coraknya yang sesuia digayakan bersama baju kebaya pendek ini.  Material yang bersesuaian adalah kain jenis kapas bercetak seperti voile, lace atau organza.  Selain daripada itu, baju kebaya pendek ini juga dikenali dengan nama kebaya bandung kerana berasal daripada Bandung, Indonesia.  Potongan mengikut bentuk badan adalah faktor yang penting dalam pembuatan baju kebaya jenis ini.  Sesuai bagi mereka yang mahu mencuba sesuatu yang baru ketika majlis resepsi.

  1. Baju Kurung Kedah
Baju kurung kedah adalah sangat ringkas potongannya dan mula digayakan pada tahun 1970-an.  Ia diperbuat sepenuhnya daripada kain benang kapas halus.  Dihasilkan daripada kain tenun sutera Terengganu bercorak kotak.  Sangat menyerlah jika anda mengayakannya bersama kain sarung dari padanan yang bersesuaian.  Aksesori seperti butang atau brooch digunakan untuk menutup sisi leher.  Kelainan potongan baju ini adalah ia tidak mengikut bentuk badan si pemakai dan sesuai buat anda yang mahu tampil sederhana serta sedondon bersama pasangan anda di majlis berbahagi nanti.