Sabtu, 19 April 2014

DARI NOVEL KE LAYAR PERAK



Fenomena mengadaptasi novel ke layar perak mahupun kaca televisyen kini bukanlah sesuatu perkara baru dalam industri hiburan tempatan.

Pemilihan novel kegemaran ramai untuk dibawa ke filem adalah salah satu faktor utama yang boleh mengundang ramai penonton untuk melihat sejauh mana sesuatu karya itu berjaya diterjemahkan.

Filem adaptasi novel nukilan Fauziah Ashaari dan diarahkan oleh Osman Ali, "Ombak Rindu" dilihat berjaya mendapat kutipan hampir RM11 juta.

Kini, semakin banyak filem diadaptasikan daripada novel sedang menunggu untuk ditayangkan pada tahun ini. Antaranya adalah:

"Suami Aku Ustaz"


Filem yang menaruhkan pelakon utama Nora Danish dan Adi Putra ini diadaptasikan daripada novel terlaris terbitan Karya Seni. Ia menggunakan judul yang sama sebagai tajuk filem bagi menarik ramai pengikut novel ini untuk ke panggung.

Novel hasil nukilan Hannah Dhaniyah ini mengisahkan Alisa (Nora Danish) yang berusia 17 tahun dipaksa berkahwin dengan guru agama di sekolahnya, Ustaz Hafiz (Adi Putra) yang juga merupakan sepupunya. Ibu bapanya ingin menunaikan ibadah haji dan perkahwinan adalah jalan terbaik untuk Alisa dijaga rapi oleh sepupunya itu.

Menggunakan teori yang sama mungkin untuk mengulangi kejayaan drama bersiri "Tentang Dhia" dengan mengetengahkan barisan pelakon yang sama, filem ini dilihat mampu memberi saingan sengit pada filem adaptasi lain.

"Manisnya Cinta Cappadocia"


Filem "Manisnya Cinta" hasil adaptasi novel terbitan Karangkraf ini mempertaruhkan pelakon hebat Shaheizy Sam dan Nur Fazura sebagai tunjang utama.

Novel hasil nukilan Anis Ayuni yang diterjemahkan ke dalam bentuk filem ini bakal menyaksikan Global Stations sebagai pihak penerbit filem dan akan mendapat sentuhan kreatif pengarah berbakat Bernard Chauly.

Ia mengisahkan Ifti Liyana yang tidak mendambakan kasih sayang Fredo. Apabila Fredo telah menikahi gadis lain, Liyana bertemu dengan Nazmi dan dia yakin bahawa Nazmi adalah insan yang tercipta untuk dirinya.

Filem ini menjalani pengambarannya di Turki dan turut dibintangi oleh pelakon hebat seperti Lisa Surihani, Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Faisal Hussein dan Josiah Hogan.

"Pilot Café"



Pengarah filem "Ombak Rindu", Osman Ali sekali lagi menggalas tugas sebagai pengarah kepada filem adaptasi terbaru ini. Filem yang masih lagi dalam proses pengambaran ini diterbitkan oleh Tarantella Pictures dan dibintangi oleh Fahrin Ahmad, Izara Aishah, Neelofa dan ramai lagi.

Novel hasil karya novelis Ahadiat Akashah ini diterjemahkan ke layar perak dan kebanyakan cerita banyak dilakonkan di set pengambarannya di sekitar lapangan terbang dan sebuah kafe yang mempunyai hiasan dalaman seperti sebuah pesawat.

Adakah filem ini bakal mengulangi sejarah dan kehebatan seperti Ombak Rindu? Sama-sama kita saksikan filem adaptasi ini nanti di pawagam berdekatan.

"Lagenda Budak Setan 3"

Tarantella Pictures sering menghasilkan filem adaptasi novel dan ini termasuk filem yang bakal muncul di pawagam, "Lagenda Budak Setan 3".

Filem ini dipetik dari siri novel terakhir "Lagenda Budak Setan" iaitu "Kasyah: Lagenda Berakhir" yang merupakan nukilan Ahadiat Akashah juga.

Sambungan kisah cinta Katerina dan Kasyah merupakan plot utama filem yang diarahkan oleh Sharad Sharan ini. Filem ini bakal menyaksikan gandingan hebat Farid Kamil dan Maya Karin.

Hanyut"


Filem ini telah lama menjalani penggambaran tetapi masih belum ditayangkan di pawagam Malaysia.

Karya pengarah U-Wei Haji Saari ini dilakonkan oleh Diana Danielle, Adi Putra, Sofia Jane, Khalid Salleh, Alex Komang dan ramai lagi.

Diadaptasi daripada novel antarabangsa "Almayer's Folly" yang diterbitkan pada 1895, filem ini telah ditayangkan di Yogjakarta sempena Festival Filem Asia dan mendapat respon yang positif.

0 ulasan: