Sabtu, 19 April 2014

KLIHF : PAMERAN HIJAB ANTARABANGSA PERTAMA MALAYSIA



Semakin hari industri fesyen Muslimah semakin mendapat tempat dikalangan pereka busana dan penggemar fesyen. Lihat sahaja di pusat membeli belah mahupun di laman sosial, butik dan perniagaan berteraskan busana dan hijab bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Dalam pada itu, fenomena artis dan selebriti yang mula bertudung turut menyemarakkan lagi kehangatan tren fesyen muslimah di negara ini. Fesyen hijab yang dipakai menjadi ikutan dan memberi ilham kepada pereka dan penggemar fesyen.

Berpegang pada prinsip tidak lagi menoleh ke belakang dan terus ke hadapan membuatkan lima usahawan terkenal memulakan langkah awal dalam mencetuskan revolusi fesyen tanah air dengan mengadakan Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) 2014 buat kali pertama.

Sebelum ini, mereka telah pun berjaya membuka 'Muslimah Brands Outlet' yang pertama di Malaysia, Women of Jannah (WOJ) yang bertempat di Plaza Masalam, Shah Alam dan akan membuka cawangan kedua di The Curve, Mutiara Damansara yang mula beroperasi pada 1 Mei nanti.

Lima usahawan gigih dan kreatif ini adalah terdiri daripada Mona Din, Jida Zulkifli, Nina Zulkifli, Farah Adeeba Mohamed Ashraf dan Nur Azwin.

Berkata pada Harian Metro, pameran hijab antarabangsa ini bakal menghimpunkan pereka fesyen, jenama dan pengusaha fesyen Muslimah dari 13 buah negara seperti Vietnam, Thailand, Indonesia, China, Pakistan dan India.

Menjangkakan seramai 60,000 pengunjung akan tiba dan 250 gerai pameran akan disediakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 hingga 15 Jun nanti. Pelbagai program menarik akan diadakan, antaranya pertunjukan fesyen dan forum khas buat Muslimah.

0 ulasan: