Isnin, 21 April 2014

MANFAAT MINYAK KELAPA SAWIT



Sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia untuk memasak makanan dengan menggunakan minyak kelapa sawit disebabkan sifatnya yang sesuai dengan masakan makanan tempatan. Mungkin anda berasakan ianya memudaratkan kesihatan, tetapi apa yang anda tidak tahu adalah minyak kelapa sawit sebenarnya mempunyai banyak khasiat yang menyihatkan. Jadi, anda tidak perlulah mengeluarkan belanja yang banyak semata-mata untuk membeli minyak zaitun ataupun minyak berjenama mahal.

Menurut kajian saintifik, minyak kelapa sawit mengandungi pelbagai lemak, vitamin dan nutrien. Ia tidak mengandungi asid trans-lemak yang selalunya dijumpai di minyak yang telah dihidrogenasi. Nutrien yang terdapat dalam minyak seperti karotin semulajadi, vitamin E dan co-enzim Q10 sebenarnya boleh mengurangkan tahap kolestrol badan di samping boleh mencegah kanser.

Khasiatnya yang kaya dengan vitamin E telah terbukti boleh melindung arteri, mengurangkan kanser, dan juga mengelakkan sel otak daripada mati selepas menghadapi strok.

Di dalam minyak kelapa sawit, beta-karotin yang merupakan jenis vitamin A bersifat anti-oksidan yang boleh menguatkan sistem imun badan dan boleh mengurangkan risiko katarak, penyakit jantung serta kanser. Beta-karotin ini juga boleh membaikkan penglihatan mata kerana potensinya yang boleh bertukar kepada vitamin A boleh menolong menghasilkan rodopsin, iaitu pigmen penglihatan malam yang terdapat di retina mata.

Antara fakta menarik tentang minyak kelapa sawit yang anda perlu ketahui adalah ianya merupakan sumber tenaga diet yang sangat baik. Seperti minyak buahan dan sayuran yang lain, minyak kelapa sawit juga bebas kolestrol kerana tidak memerlukan proses hidrogenasi untuk melanjutkan jangka hayatnya.

Di samping itu, minyak ini turut merupakan sumber vitamin E anti-oksidan, iaitu elemen yang boleh menolong kulit dan wajah kekal muda. Sifatnya yang anti-trombotik dan melindung kardio turut membolehkan ianya mengurangkan masalah darah beku.

0 ulasan: