Ahad, 20 April 2014

TIP HILANGKAN KAKI BERBAU



Malu dengan orang sekeliling apabila anda berhadapan dengan masalah bau kaki yang serius? Timbul perasan bimbang dan kurang yakin apabila diri menjadi perhatian ramai selepas membuka kasut?

Masalah ini seringkali melanda kepada mereka yang memakai stoking atau kasut tertutup yang tidak mempunyai saluran angin keluar. Oleh yang demikian apabila kaki berpeluh atau berkuap sehingga tiada udara keluar, ia menyebabkan kaki kita berbau.

Tidak kiralah lelaki mahupun wanita, masalah ini akan dihadapi semua golongan jika tidak pandai menjaga kesihatan diri sendiri.

Oleh itu kami ingin berkongsi dengan anda beberapa tips berkesan yang mungkin membantu menghalang bau kaki daripada terus membelenggu anda.

Elak memakai sarung kaki daripada fabrik nilon
Fabrik nilon adalah lebih panas jika dibandingkan dengan kapas. Oleh itu, pilihlah sarung kaki yang dihasilkan daripada fabrik kapas kerana nilon akan mengakibatkan kaki anda berpeluh dan mengeluarkan bau kurang selesa.

Jemur kasut di bawah sinaran matahari
Jika anda merasakan sudah seharian memakai kasut sehingga mengakibatkan kasut anda lembab, apa kata jemurkan ia di bawah pancaran sinar matahari selama 30 minit agar kuman terhakis. Elakkan memakai kasut yang sama dua hari berturut-turut. Ini kerana apabila kaki mengeluarkan peluh yang banyak, kasut mengambil masa untuk kering. Selain daripada itu, ia akan mengelakkan kaki anda daripada terus-terusan memakai kasut yang lembab sehingga boleh mengakibatkan kaki berkulat.

Sediakan lebih daripada sepasang kasut dan sarung kaki
Bagi wanita, pasti tiada masalah besar jika diminta menukar kasut setiap hari kerana mempunyai 'koleksi' yang mencukupi. Bagaimana pula lelaki yang bersikap 'tidak apa' dan tidak gemar mempunyai banyak kasut? Anda perlu buang sikap tersebut dan memastikan anda mempunyai lebih daripada dua pasang kasut untuk digayakan. Jangan pakai kasut anda untuk setiap acara. Anda harus mempunyai pilihan untuk setiap acara yang berbeza. Jangan lupa untuk sarungkan sarung kaki ketika memakai kasut tertutup dan memakai stoking yang bersih agar kaki kekal bersih.

Sabun dan bedak antiseptik halang kaki berbau
Bagi mendapatkan kaki bebas bau busuk, amalkan membasuh kaki dengan sabun antiseptik selepas seharian memakai kasut. Anda juga boleh merendam kaki anda di dalam air suam selama 10-15 minit dan gosok di celah-celah jari untuk membuang kotoran yang melekat dan kulit kaki yang mati dari telapak kaki. Lapkannya dan pastikan ia betul-betul kering sebelum menyapu bedak antiseptik. Anda juga boleh menaburkan bedak tersebut di dalam kasut. Bedak ini mampu menyerap peluh dan mengurangkan masalah kaki bau yang melanda anda.

Uncang teh dan limau nipis
Sekiranya sabun dan bedak antiseptik tidak berkesan, apa kata gunakan bahan yang ada di dapur anda? Didihkan tiga cawan air bersama tiga uncang teh dan campurkan dalam bekas baldi yang mengandungi air sejuk. Rendamkan lebih kurang 15-30 minit untuk menghilangkan bau tersebut. Selain daripada itu, anda juga boleh menghiris sebiji limau nipis lalu disapukan di telapak kaki. Lakukannya setiap hari, pasti anda akan merasai perubahannya!

0 ulasan: