Rabu, 30 Julai 2014

BUAH NAGA PELIK TAPI BAIK

Buah naga bukan saja mempunyai fizikal yang pelik, tetapi warnanya yang merah jambu terang keunguan juga sering menarik perhatian, selain banyak digunakan sebagai pewarna semula jadi dalam makanan.
Ia dikatakan berasal dari Amerika Selatan dan dibawa masuk ke negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Taiwan, Thailand, Sri Lanka, Bangladesh dan Vietnam.
Rasanya yang masam manis dengan isi berbiji sememangnya lazat dan membuka selera. Ia juga tergolong dalam makanan terbaik dan mempunyai manfaat kesihatan yang besar kepada tubuh.

Kebaikan buah naga yang juga dikenali sebagai ‘acanthocereus’ mampu menguatkan ingatan, antikanser, mengawal gula dalam darah dalam kalangan penghidap kencing manis, antioksidan dan mampu membantu mempercepat­kan luka sembuh.

Foto

Kandungan antioksidan yang tinggi juga bermakna setiap sel di dalam tubuh mendapat perlindungan daripada radikal bebas, seterusnya melindungi diri daripada masalah penuaan pramatang.

Ia kaya air, vitamin C, kalsium, vitamin A, serat, zat besi, vitamin B1 dan B2, protein dan fosforus. Kandungan vitamin dan serat yang tinggi membantu meningkatkan imun tubuh kerana ia memelihara sistem pencernaan.

Selain membantu penghadaman, buah naga juga menggalakkan pertumbuhan probiotik yang baik untuk usus. Lebih menarik, dalam satu kajian yang ­dijalankan, buah naga didapati mampu mengawal kadar gula dalam darah bagi pesakit diabetes tahap dua.

Pengambilan buah itu secara konsisten mampu mengelak pertumbuhan sel kanser yang disebabkan oleh radikal bebas kerana ia kaya dengan zat mineral dan serat yang membantu penghadaman, membuang toksin serta membersihkan usus. Ia mampu meneutralkan bahan toksik seperti besi berat selain melawan penyakit asma dan batuk.

Bagi mereka yang memiliki kadar kolesterol yang tinggi, buah ini mampu mengurangkannya kerana ia kaya dengan flavanoid yang sudah terbukti mempunyai kesan positif bagi melawan penyakit kardiovaskular.

Lebih mengagumkan, kandu­ngan zat dalam buah naga membantu mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan selera makan, memperbaiki penglihatan, membantu mengurangkan berat badan serta meningkat­kan keupayaan daya ingatan.

Rasanya yang lazat ­membuka selera sesiapa saja dan ia boleh dimakan ­begitu saja tanpa dimasak atau ­dijadikan bahan masakan.

Selain dijadikan minuman atau dicampur ke dalam pastri dan kek, buah naga juga boleh dijadikan snek sihat untuk menonton televisyen atau mengalas perut sementara menunggu hidangan utama. Buah naga juga boleh dijadikan jem, puri dan salad.

Malah wanita mengandung dan menyusukan anak boleh mendapatkan banyak zat penting daripada buah naga apabila ia dimasukkan ke dalam menu harian. Ia bukan saja memiliki kandungan nutrien yang cukup tetapi membantu menyokong pertambahan berat badan secara sihat untuk ibu mengandung.

Kandungan vitamin C yang tinggi penting kepada ibu mengandung supaya kesihatan gusi, gigi dan pertumbuhan tulang bayi dalam kandungan terpelihara. Buah naga boleh menjadi sumber tenaga yang baik memandangkan ia sumber karbohidrat serta lemak sihat.

Isi buah naga mempu­nyai banyak biji hitam kecil dan boleh dimakan. Biji itu ­mengandungi kandungan kecil lemak yang tidak tepu dan ia bertanggungjawab meningkatkan kolesterol baik dan menyingkirkan kolesterol tidak baik daripada badan.

0 ulasan: