Rabu, 30 Julai 2014

PASAR MALAM SINSURAN

Udang kara atau lobster sering kali digambarkan hidangan eksklusif dan hanya mampu dinikmati golongan berada, apatah lagi ia cuma dihidangkan di hotel bertaraf lima bintang.
Namun, jika berpeluang bercuti dan menjejak kaki ke Kota Kinabalu, jangan lepaskan peluang menikmati menu mewah itu de­ngan harga mampu bayar.
Terdapat beberapa lokasi yang menjadi tumpuan penggemar makanan laut ini, antara yang popular ialah Pasar Malam Sinsuran.

Lokasinya amat mudah ditemui iaitu di belakang Pasar Kraftangan atau lebih popular sebagai Pasar Filipina.




Jika waktu siang, persekitaran ini dipenuhi pengunjung yang ingin mendapatkan cenderamata seperti mutiara dan produk kraftangan, di sebelah petang ia mula dikunjungi orang ramai untuk menjamu selera.

Kita menjadi rambang mata melihat deretan gerai yang menjual pelbagai jenis makanan laut seperti ikan jenahak, kerapu, udang besar, ketam dan lobster.

Ada yang siap dimasak, masih mentah dan hidup. Pilihan di tangan pelanggan bergantung kepada keinginan atau bajet masing-masing.

Lazimnya harga hidupan laut yang masih mentah dan perlu dimasak agak mahal berbanding siap dibakar.

Lobster yang siap masak misalnya dijual sekitar RM50 hingga RM80 manakala yang masih hidup dijual RM20 untuk 100gram. Ikan pula berharga sekitar RM20 seekor.

Ada juga yang menasihatkan agar berhati-hati memilih juadah yang siap dimasak.
Ia terpulang kepada kebijaksanaan pelanggan memilih dan menilainya dan bagi mengelak risiko, pilih yang belum dimasak dan dihidangkan mengikut resipi kegemaran mereka.

Setiap hidangan enak dimakan bersama nasi putih dan sambal cicah istimewa—nya serta berulamkan rumpai laut.

Menariknya, harga hida­ngan boleh ditawar terlebih dulu sehingga kedua-dua pihak berpuas hati.

Peniaga yang berasal dari Filipina ini begitu peramah melayan orang ramai yang lalu-lalang di hadapan mereka.

Seorang peniaga yang ditemui mengakui gerai di sini beroperasi sehingga jam 1 pagi dan jika musim cuti persekolahan, mereka membukanya sehingga jam 3 pagi.

Di samping makanan lautnya, pasar ini juga menjual pelbagai jenis sayuran tempatan. Malah, terdapat bahagian yang menjual hasilan laut seperti ikan bilis yang bersaiz besar, ikan masin dan rumpai laut.

Ia menjadi tumpuan pelancong untuk membeli produk tersebut untuk dibawa pulang.

Usah risau untuk membawanya ke atas kapal terbang kerana peniaga membungkusnya dalam kotak dan tiada masalah membawa dalam pesawat.

0 ulasan: