Selasa, 27 Januari 2015

Cara buat murtabak lapis kraker yang mudah

Selalunya resepi murtabak menjadi buah mulut orang ketika bulan Ramadhan kerana sering menjadi menu jualan di bazar Ramadhan dan pilihan untuk berbuka puasa.

Tetapi siapa yang inginkan murtabak untuk di buat sendiri dirumah, kami ingin berkongsi resepi mudah dan sedap yang perlu anda cuba.

Walaupun murtabak ada dijual di restoran besar namun harganya yang mahal membuatkan penggemar murtabak ini mendapatkannya di pasar malam kerana rasanya sedap dan sangat murah.

Jom ikuti resepi murtabak lapis kraker yang dipetik daripada laman Resepi Citarasawan.

Bahan-bahan:
1 bungkus biskut krim kraker
400ml santan sederhana pekat
1 tin susu cair/ susu sejat
6 biji telur gred A

Lapisan Daging:
400gm ayam/ daging kisar
3 biji bawang besar dicincang halus
1 paket kecil/3 sudu besar serbuk kari daging
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 batang lobak merah di parut
1 tangkai cili merah
Daun bawang daun sup dicincang
3 sudu besar minyak masak
Garam secukup rasa, sedikit gula
Hiasan: Daun bawang, daun sup dan cili hiris
Loyang empat segi yang disapu mentega.

Cara masak inti:
1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia hingga halus. Campurkan pada rempah kari sehingga menjadi pes basah.
2. Panaskan minyak, tumis pes basah sehingga garing dan naik baunya. Masukkan bawang besar dan daging cincang.
3. Masukkan ¼ cawan air dan masak sehingga daging empuk.
4. Masukkan garam, lobak merah, daun bawang dan daun sup. Angkat dan sejukkan.

Cara membuat lapisan murtabak lapis kraker:
1. Celup biskut kraker ke dalam campuran susu dan santan. Susun hingga penuh didasar loyang.
2. Lapiskan dengan lapisan daging hingga rata.
3. Pukul ringan telur dan tuangkan separuh dari telur ke atas ke atas lapisan daging tadi.
4. Susun lagi biskut kraker atas lapisan daging dan telur tadi. Tuangkan lagi separuh susu tadi.
5. Ulangi melapis sehingga 3 lapisan.
6. Untuk lapisan terakhir, susun biskut kraker, tuangkan baki susu hingga habis. Tabur hiasan daun bawang, daun sup dan cili hiris sebagai hiasan.
7. Bakar selama 35-40 minit pada suhu 180C atau sehingga masak.
8. Hidang bersama mayonis dan sos cili.

Mudah sahaja kan. Selamat mencuba!

[Sumber Foto: Yatie Memories]

1 ulasan:

Zura Tahir berkata...

Meriah plak tgk murtabak tue...hehe