Memaparkan catatan dengan label Banjir Pahang 2014. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Banjir Pahang 2014. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Januari 2015

GAMBAR - GAMBAR BANJIR



Rumah Queenpink di Taman Chengal,Temerloh Pahang ditenggelami air.Paras air pada paras dada.



Pemandangan di belakang rumah Queenpink setelah air surut.


Gambar selepas kerosakan kabinet dapur dan singki dapur akibat banjir.



Kerosakan pintu hadapan rumah.


 

Kerosakan mesin jahit milik mak Queenpink,dapur memasak dan sebahagian aksesori kereta Perodua Kelisa yang tenggelam akibat banjir.






Kereta hak milik abah dan adik Queenpink yang tenggelam akibat banjir.



Pemandangan di hadapan rumah Queenpink daripada tingkat atas.


P/s : Memori banjir tahun 2014 akan sentiasa berada di dalam ingatan Queenpink dan keluarga Queenpink.Terima kasih kepada semua yang memberikan bantuan dari segi makanan,motivasi,nasihat dan segala-galanya.

Selasa, 6 Januari 2015

PENGALAMAN BANJIR DI TEMERLOH PAHANG 2014

Assalamualaikum...

Sepanjang hidup,ini merupakan banjir terburuk yang pernah Queenpink lalui.Untuk fakta,banjir yang melanda pada tahun 1971 merupakan banjir yang paling besar dan teruk yang pernah dihadapi oleh daerah Temerloh dan kawasan sekitarnya.






Sebelum ini,tak pernah pula rumah Queenpink di Taman Chengal ini dilanda banjir.Tapi, bagi kawasan yang tidak pernah dikhuatiri banjir, tiba-tiba naik air, ini juga merupakan satu kejadian buruk dan teruk bagi penduduk Temerloh Pahang. Pada waktu pagi 26 Disember 2014,kawasan rumah Queenpink mulai dinaiki air.Queenpink pergi kerja seperti biasa.Sepanjang jalan pergi ke tempat kerja,Queenpink dan suami melihat banyak kawasan dipenuhi air.Selepas pulang dari tempat kerja,banyak kawasan bandar Temerloh dan kawasan Taman Chengal dinaiki air.Kira-kira pukul 7 malam,tiada bekalan elektrik di kawasan sekitar Taman Chengal.Pihak TNB terpaksa memotong bekalan elektrik sebab kenaikan paras air dah melepasi paras bahaya. Pada 27 Disember 2014,matahari menyinar tapi masih belum ada tanda-tanda air akan surut.Kira-kira pukul 2 petang,mak,abah,Queenpink dan 3 orang adik beradik Queenpink menaiki bot dari rumah Queenpink ke simpang Temerloh Jaya dan menaiki kenderaan berat menuju ke pusat penempatan banjir di Sekolah Kebangsaan Temerloh Jaya.Paras air di kawasan rumah Queenpink telah mencapai paras lutut.Ketika itu,hubby Queenpink pergi ke Kuala Lumpur di atas tuntutan kerja.Baby dalam perut Queenpink asyik bergerak-gerak.Setelah sampai di SK Temerloh Jaya,kami mendaftarkan diri dan diberikan bilik di tingkat 3 bangunan sekolah.Queenpink rasa penat dan semput bila menaiki tangga,almaklumlah tengah mengandung 6 bulan. Pada hari-hari yang seterusnya,air semakin naik mendadak sehingga Bandar Temerloh yang dikenali sebagai Bandar Ikan Patin dan merupakan Titik Tengah Semenanjung lumpuh kerana banyak kawasan ditenggelami air,jalan raya tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.











Rasa sedih bila dengar berita ada yang terkandas di rumah sewa di tengah bandar.. takde letrik, takde makanan.. Nak ke mana-mana tak lepas dah, nak harung air, air naik tinggi jugak, mencecah tingkat kedua bangunan.Penduduk taman perumahan pun terkepung dek kerana air yang naik sampai ke jalan masuk utama. Jalan belakang ke, jalan tikus ke.. menurut khabar terkini masih tak boleh lalu, walaupun redah guna kenderaan 4x4.Ada yang advice ikut jalan alternatif, ikut bypass, ikut jalan kampung-kampung.. tapi masih kena ngarok air.Yang duduk taman perumahan pun terkepung sebab kawasan sekeliling naik air. Barangan kat kedai habis licin dibeli orang. Semuanya risau terputus bekalan makanan.


Berlaku juga beberapa siri kejadian pecah masuk kedai dan rumah yang dilanda banjir.Kedai 7E Taman Chengal di pecah masuk oleh individu yang tidak berperikemanusiaan. Pada 31 Disember 2014,paras air di kawasan rumah pada paras dada.Abah Queenpink pergi melihat rumahku syurgaku melalui tingkap tandas bilik utama tingkat atas(Rumah Queenpink,rumah teres 2 tingkat) Banyak barang yang rosak yang tidak dapat diselamatkan di tingkat bawah seperti kabinet dapur,singki,almari baju,almari tv dan almari perhiasan.Dua buah kenderaan milik abah dan adik Queenpink juga turut tenggelam.Yang paling terharu,4 ekor kucing kesayangan masih selamat walaupun 5 hari tak makan.Queenpink rindu mereka,rindu rumah dan rindu segala-galanya. Pada 3 Januari 2015,air di kawasan Taman Chengal,bandar Temerloh dan kawasan sekitarnya surut.Queenpink dan keluarga keluar dari pusat penempatan banjir dan pulang ke rumah.Syukur alhamdulillah :) Entri bersambung.....

RENUNGAN BUAT SEMUA

RENUNGAN buat semua... ‪#‎ilovepahang‬ ‪#‎pahang‬ ‪#‎banjirpahang2014‬ ‪#‎banjirpahang2015‬ Banjir 2014 ; Kasih Allah di sebalik bencana. Pada tahun lalu, saat kita berdepan ujian banjir yang melanda khususnya di negeri Pahang, kita merasakan itulah peristiwa banjir terburuk pernah berlaku. Walaupun banjir terburuk pernah dicatatkan puluhan tahun dulu, namun jika dinilai dari segi kerosakan dan kehilangan harta benda, tempat tinggal, premis perniagaan, pejabat, kemudahan awam dan sebagainya, tidak dapat dinafikan banjir di era moden ini pastinya lebih besar kerugian yang ditanggung. Namun pada tahun ini siapa sangka musibah banjir yang berlaku lebih hebat dan dahsyat. Banjir besar bukan hanya melanda negeri Pahang, tetapi turut menimpa penduduk negeri Terengganu, Kelantan, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor menyaksikan lebih 200,000 mangsa terpaksa berpindah ke pusat pemindahan dan penempatan sementara. Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi melebihi 100 ribu mangsa. Di negeri Pahang, air bah dikhabarkan melepasi banjir besar tahun 1971. Jumlah mangsa yang berpindah melebihi 37 ribu orang daripada lebih 9,000 keluarga di 8 daerah yang terlibat iaitu Kuantan, Temerloh, Jerantut, Kuala Lipis, Bera, Maran, Pekan dan Rompin. Tahun 2014 bukan hanya menyaksikan bencana banjir terburuk, malah sebelum daripada itu negara pernah mengalami musim kering dan kemarau. Hujan yang tidak turun dalam tempoh yang lama, menyebabkan beberapa buah negeri terputus bekalan air bersih malah empangan kering sama sekali. Selain itu, negara dikejutkan dengan peristiwa kehilangan pesawat syarikat penerbangan Malaysia MH370 yang sehingga kini masih disifatkan sebagai misteri. Episod nahas pesawat terus menjadi igauan rakyat Malaysia apabila sebuah lagi pesawat MH17 ditembak jatuh di sempadan Russia dan Ukraine. Pasti dan pastinya musibah demi musibah ini mengundang kita untuk terus bermuhasabah, apakah tindak tanduk kita di muka bumi ini yang menjadi punca malapetaka hebat ini. Malah turut mengundang kita untuk berfikir, apakah mesej yang Allah Taala mahu sampaikan kepada kita. Adakah Allah memang mahu menghukum kita atas segala dosa-dosa dan kemaksiatan yang bermaharalela? Atau adakah sengaja Allah aturkan semua ini kerana mahu terus hamba-hambaNya memohon lagi, lagi dan lagi akan pengampunan, kasih sayang, rahmat dan belas kasihan Nya? Sebagai umat Islam yang meyakini dan mengimani akan qada’ dan qadar, percayalah bahawa ini adalah ujian daripada Allah swt. Bahkan Allah menyatakan dengan jelas di dalam al-Quran “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..” (al-Baqarah: 286) . Cuma mungkin tahap keimanan di kalangan kita menjadikan sebahagiannya menerima dengan positif manakala sebahagian yang lain memandangnya dari sudut negatif. Sebagai salam simpati serta kata-kata semangat kepada semua yang di timpa bencana, marilah kita bersangka baik dengan segala aturan Allah ini. Ujian ini kerana Allah kasihkan kita. Sekalipun didatangkan musibah ini kerana dosa-dosa yang dilakukan, itu juga tanda Allah Taala kasih kepada kita. Jika tidak, pasti Allah membiarkan kita terus menerus dalam kelalaian, kemaksiatan dan kerosakan. Allah swt berfirman buat hamba-hambanya yang dikasihi ; “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (al-Ankabut: 2) “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” ( al-Baqarah: 214) “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu..” (al-Hadid ayat 22-23). Menarik juga untuk kita hayati beberapa petikan titah DYMM Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan dalam menghadapi musibah banjir yang menimpa ; “..Marilah kita segera meneropong diri, mohon keampunan daripada allah, serta memperbaiki langkah-langkah kita, yang mungkin telah banyak membuat kesilapan.” “..Semoga Allah mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak..” “..Banjir yang menimpa rakyat beta adalah sebahagian dari qada dan taqdir Allah. Hal ini harus di yakini dan di imani.” Allahuakbar!