Memaparkan catatan dengan label AKAD NIKAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AKAD NIKAH. Papar semua catatan

Khamis, 3 April 2014

ROSZALIZA SAH MILIK MOHD ZUZI

TEMERLOH, 29 MAC 2014: Roszaliza atau Queenpink sah diijabkabulkan dengan  Mohd Zuzi dengan sekali lafaz kira-kira jam 10.30 pagi. Pasangan itu disatukan di majlis nikah yang penuh sederhana yang diadakan di Taman Chengal,Temerloh Pahang. Mempelai dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Mukim Perak,Temerloh Pahang,Haji Abdul Razak bin Haji Ahmad Nor berwakil walikan bapa Roszaliza, Abdul Nyzam bin Mohd Raus.


 

Majlis nikah itu dihadiri oleh ibu bapa kedua mempelai.Selain yang turut dihadiri oleh 100 tetamu lain termasuk ahli keluarga dan sahabat handai.


 

Mohd Zuzi menyerahkan mas kahwin sebanyak RM22.50 kepada Roszaliza selain berbalas hantaran dengan 5 dulang dari pihak lelaki dan 7 dulang dari pihak perempuan.

 

 


Jumaat, 14 Mac 2014

TIP PERKAHWINAN : MATANG DALAM MERANCANG MAJLIS

Bercerita mengenai perkahwinan, pasti semua kita mempunyai niat untuk berkahwin. Namun, tidak ramai yang benar-benar merancang perkahwinan walaupun ia adalah salah satu faktor yang akan melancarkan majlis perkahwinan dan urusan berkahwin itu sendiri.
Untuk memudahkan proses merealitikan majlis impian bakal pengantin, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak apa yang saya tahu dan bagaimana anda dapat menjadikan hari bahagia anda satu memori indah untuk seumur hidup pada harga bajet.
Merancang Belanjawan Perkahwinan
Wang yang cukup akan membantu melancarkan perjalanan perkahwinan. Hari ini semuanya memerlukan wang.Sebenarnya untuk berkahwin tidak ada bajet minimum yang diperlukan.Dengan bajet berapa-berapa sekalipun anda boleh berkahwin. Cuma, amat penting untuk pengantin berkadar dan ukur baju di badan sendiri. Jika bajet anda sedikit, rancanglah perkahwinan yang sederhana tetapi tetap meriah. Jika bajet anda lebih besar, buatlah seperti mana yang anda inginkan. Yang penting saiz dan persediaan majlis sepadan dengan bajet, barulah ia lancar.
Merancang belanjawan perkahwinan amat penting agar anda dan pasangan tidak menghadapi masalah duit atau dikejar hutang selepas berkahwin. Jangan terlalu terikut-terikut dengan trend semasa dan tertekan untuk menganjurkan majlis kahwin besar-besaran.
Perkara asas yang perlu anda lakukan adalah:
Letakkan sasaran perbelanjaan atau jumlah bajet yang anda boleh tanggung (mampu).
Target ini penting untuk anda maklum dan perlu diletakkan awal-awal agar bajet perkahwinan tidak melebihi sasaran atau belanja yang telah anda tetapkan berdasarkan kemampuan anda.

Tanpa meletakkan target besar awal, anda akan cenderung untuk berbelanja melebihi kemampuan. Ini disebabkan selain dari perbelanjaan besar seperti mas kahwin, hantaran, katering dan sebagainya, ada banyak perbelanjaan kecil-kecil yang jika tidak di kawal akan menyebabkan anda menanggung jumlah belanja kahwin yang besar sehingga menyebabkan aliran wang tunai anda tercekik.
Kita kena ingat, antara punca utama perceraian adalah masalah kewangan! Jadi jangan abaikan kepentingan merancang bajet majlis kahwin.
1. Sentiasa Berkomunikasi Dengan Pasangan
Anda mesti memastikan anda dan pasangan tiada masalah komunikasi. Berterus-teranglah mengenai expectation anda dan secara kasar mengenai bajet perkahwinan yang perlu dikeluarkan. Ini perlu dibuat bersama-sama agar kedua-dua pihak tahu dan menyumbang pendapat mengenai perkara yang perlu dibelanjakan untuk berkahwin.
Selepas itu, pastikan bahawa kedua-dua pihak berpuas hati dan perbincangan tersebut tidak didominasi oleh sebelah pihak sahaja supaya tiada perasaan tidak puas hati dan tidak ada perkara berbangkit selepas perkahwinan.Perbincangan ini penting supaya perbelanjaan dapat dikawal dan pembaziran dapat dielakkan.
2. Prioritikan Perbelanjaan
Jika anda mempunyai belanjawan atau duit belanja yang terhad, seeloknya pastikan bahawa anda benar-benar memperuntukkan wang anda itu kepada benda-benda yang betul-betul mustahak sahaja seperti khemah perkahwinan, katering, peralatan majlis kahwin dan juga jemputan walimatul urus.
Ini semua lebih utama jika dibandingkan dengan hiasan tambahan untuk pelamin bersanding,photographer, muzik dan sebagainya. Pilihan yang tepat mestilah dibuat agar bajet perkahwinan anda tidak melebihi daripada yang sepatutnya.
3. Bandingkan Harga Supplier
Sebelum anda menempah sebarang perkhidmatan atau produk untuk majlis bahagian anda, bandingkan terlebih dahulu harga yang ditawarkan daripada beberapa supplier. Pastikan terlebih dahulu kualiti perkhidmatan dan apa sebenarnya yang mereka tawarkan.
Tidak mengejutkan ada supplier yang menawarkan harga murah dengan mengurangkan perkara yang diberikan. Contohnya, ada katerer yang memberikan harga murah tetapi tidak menyertakan pinggan mangkuk yang sepatutnya ada di dalam pakej.
Tanyalah kepada kawan-kawan atau keluarga yang pernah menggunakan perkhidmatan supplier tersebut untuk menentukan kualiti perkhidmatan mereka. Pastikan juga yang harga yang ditawarkan masih dalam had perbelanjaan majlis impian anda.Jika pakej atau harga yang diberikan mahal dan wang belanja yang ada tidak mencukupi, prioritikan apa yang penting terlebih dahulu supaya bajet anda masih on-track.
Simpan semua resit bayaran untuk memastikan tidak ada supplier yang dibayar melebihi apa yang telah dipersetujui (jika deposit dan lump sum di bayar pada waktu berbeza).
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda merancang majlis impian tetapi pada masa yang sama menepati lunas-lunas yang dikehendaki agama

Khamis, 13 Mac 2014

RUKUN NIKAH

Moh Ler Kita Belajar Dan Mengulangkaji Mengenai
'RUKUN NIKAH '

Lelaki
--------------...


* Islam
* Baligh
* Berakal
* Yang dikahwininya bukanlah mahramnya.
* Tidak berada dalam keadaan ihram.
* Tidak dipaksa kahwin


Perempuan
--------------

# Islam
# Tidak berada dalam keadaan ihram.
# Bukan isteri kepada seseorang.
# Tidak berada dalam keadaan iddah.

Akad (Ijab & Kabul)
------------------------

Di antara syarat-syarat akad ialah lafaz yang digunakan mestilah lafaz khas yang membawa maksud nikah atau kahwin serta tidak diselangi dengan perkataan yang lain dari maksud nikah atau kahwin di antara ijab dan qabul.

Tidak boleh diselangi dengan diam yang lama antara lafaz ijab dan qabul. Hendaklah bersamaan maksud antara lafaz ijab dan qabul.

Wali
----------
~ Islam.
~ Baligh.
~ Berakal.
~ Merdeka.
~ Tidak dipaksa.
~ Tidak berada dalam keadaan ihram.
~ Bukanlah dari seorang yang fasik.

Dua Orang Saksi
------------------------
$ Beragama islam.
$ Baligh.
$ Berakal.
$ Bukan seorang hamba.
$ Tidak naynyuk.
$ Memahami bahasa yang dilafazkan semasa ijab dan kabul.

Isnin, 3 Mac 2014

SOALJAWAB ETIKA KETIKA BERNIKAH

Soaljawab Etika Ketika Bernikah Soalan 1
Ketika menyarungkan cincin di jari pengantin lelaki oleh pengantin perempuan, adakah sesuai untuk pengantin lelaki bersimpuh atau melutut ketika menerima sarungan cincin itu? Apakah langkah seterusnya selepas menyarung cincin dari segi etika?

Jawapan: Menyarung cincin di jari pengantin lelaki oleh pengantin perempuan juga satu amalan daripada tradisi kaum India. Bagi menjaga adab, sebaiknya pengantin lelaki melutut dan aturannya, pengantin perempuan perlu menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan si suami serta mencium tangan suami sebagai tanda, isteri yang bersedia untuk hidup setia di samping suami. 

Soalan 2
Dengan mengenakan solekan yang agak tebal dan kadangkala melampau ketika berada di dalam masjid untuk upacara pernikahan, apakah perkara yang sesuai dilakukan untuk mengelakkan perkara sedemikian daripada terjadi?

Jawapan: Bersolek sepatutnya hanya untuk menambah seri. Terlalu tebal dan menonjol sebenarnya lebih kepada menarik perhatian dan dalam keadaan diri sebagai pengantin yang bakal menjadi isteri kepada seseorang, hakikatnya seperti memperagakan diri yang sepatutnya hanya milik si suami. Sebaiknya tidak bersolek keterlaluan. Bukan saja tika majlis malah hari-hari biasa. Ironiknya mereka yang jarang bersolek (sekadar mengenakan bedak nipis dan lipstik) akan nampak lebih berseri walau hanya dengan solekan nipis. Bila terbiasa menyolek, solekan biasa-biasa memang tak memadai. Buat para gadis, biasakanlah diri dengan solekan biasa agar detik anda sebagai pengantin menjadi saat sukar dilupa.


Soalan 3
Memakai kanta lekap yang berwarna kadangkala agak terlalu menonjol untuk tatapan umum. Tetapi jika tidak dipakai pengantin mempunyai had penglihatan ketika acara berlangsung dan ia mungkin merisaukan mereka. Apakah nasihat yang seeloknya untuk bakal pengantin ketika memilih kanta lekap ketika upacara pernikahan atau persandingan nanti?
 

Jawapan: Gunakanlah kanta lekap yang biasa, bukan berwarna. Ingatlah! Tika akad nikah telah sah bererti setiap dosa isteri akan turut dipikul oleh si suami. Jika benar sayangkan bakal suami, tampillah sederhana, tidak terlalu menjolok mata. Bukan saja sedap mata memandang tetapi agar ada barakah daripada-Nya untuk perkahwinan anda. 

Sabtu, 1 Mac 2014

ELAK KESILAPAN MENJELANG PERNIKAHAN

+ ELAK KESILAPAN MENJELANG PERNIKAHAN +

“Berapa hantarannya?”

“Kenduri bila?”...


“Honey moon di mana?”

Demikian antara persoalan yang sering timbul apabila hari pernikahan semakin hampir. Menjelang kenduri kahwin, semakin sibuk ibu bapa, keluarga serta bakal pengantin sendiri menghabiskan masa untuk memastikan persediaan sempurna dan tiada apa yang kurang.

Malah hari ini sudah menjadi perkara biasa untuk kaum keluarga dan adik-beradik memakai pakaian sedondon, sesuai dengan warna tema sesebuah majlis kenduri kahwin. Andaikata warna temanya biru, semua adik-beradik dan kaum keluarga akan berpakaian seragam biru. Khemah pun disusun rapi dan bereben biru sehinggakan door gift untuk tetamu pun mesti bertema serupa!

Namun adalah satu kesilapan bagi bakal pengantin lelaki dan wanita untuk terlalu fokus dengan persediaan fizikal di atas. Terlalu banyak tenaga, wang ringgit dan masa dicurahkan untuk persediaan kenduri, wang hantaran dan sebagainya.

Adalah lebih wajar 80 peratus daripada tenaga dan masa digunakan untuk meningkatkan kemahiran mengatasi konflik yang pasti menanti anda sebaik saja bergelar suami/ isteri. Sebaik-baiknya anda yang bakal mendirikan rumahtangga melengkapkan diri untuk menghadapi realiti alam perkahwinan jangka panjang.

+ LARI DARI MASALAH

Ada lelaki/ wanita memikirkan, perkahwinan menyelesaikan masalah hidup. Sesetengah lelaki/ wanita menyangka, sesudah berkahwin sudah tentu akan bahagia selamanya.

Umpamanya wanita yang terasa dikongkong oleh ibu bapa, mungkin menyangka dengan berkahwin, akan menjadi bebas. Atau ada lelaki menyangka bila sudah kahwin, makanan, pakaian dan kediaman akan terurus.

Mereka kurang memahami bahawa perkahwinan adalah suatu alam istimewa dan amat mencabar di mana kemahiran tertentu amat perlu untuk mengendalikan khususnya tiga perkara : JANGKAAN & HARAPAN, KOMUNIKASI dan PENYELESAIAN KONFLIK.

Inilah antara punca banyaknya berlaku perceraian tidak kira apa juga bangsa dan agama sekalipun.

+ JANGKAAN & HARAPAN

Sebenarnya, perkahwinan hanya akan berpotensi untuk berjaya jika kita benar-benar berusaha ke arah itu. Jika jangkaan kita tidak realistik, inilah salah satu sebab berlakunya ketegangan serius yang mengakibatkan perceraian.

Renung dan insaf diri sendiri. Setiap kita ada banyak kelemahan dan kekuatan. Banyak yang perlu diperbaiki. Begitu juga bakal suami/ isteri. Jangan harapkan pasangan yang sempurna kerana hanya Allah sahaja yang sempurna.

Walau sesuci manapun niat kita dalam mendirikan rumah tangga, pastinya ada kekurangan di pihak kita dan suami/ isteri kita.

Apa kata kalau calon suami/ isteri ada sesuatu tabiat yang kita tidak suka umpamanya merokok atau kaki perempuan atau kaki judi? Di sinilah silapnya sesetengah wanita mengandaikan: kerana dia cintakan aku, dia akan berubah.

Kita tidak boleh mengubah diri seseorang. Kalau dia berubah kerana kita sekalipun, kemungkinan itu hanya bersifat sementara dan selang beberapa lama, tabiat itu akan diulangi. Lainlah ceritanya jika dia berubah kerana benar-benar taubat dan insaf.

+ KOMUNIKASI & PENYELESAIAN KONFLIK

Dua isu ini berkait rapat jadi eloklah dikupas bersama di sini.

Tanya diri sendiri: Adakah aku ada kemahiran komunikasi yang baik? Umpamanya jika berselisih faham dengan kawan atau adik-beradik, tidak puas hati dengan rakan sepejabat, bagaimanakah anda menyelesaikannya?

Adakah anda pandai menyampaikan ketidakpuasan hati anda ini dengan cara yang efektif? Atau anda lebih suka memendam rasa?

Kalau marah, adakah kebiasaan anda untuk tunggu dan tunggu sampai tidak tahan sehingga ia meledak keluar? Adakah anda seorang pendengar yang baik?

Ini penting kerana dalam perkahwinan, seringkali akan timbul perselisihan pendapat. Jika anda tidak cekap berkomunikasi, lambat laun perasaan ini akan terkumpul sehingga suatu hari nanti menjadi punca pergaduhan yang besar.

Pokoknya, jika tahu anda kurang cekap berkomunikasi, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memperbaiki keadaan ini. Maknanya WAJIB anda belajar mengatasi keadaan ini.

Contoh: Sesetengah wanita kuat merajuk, suka bermasam muka dan membatu apabila marah. Sebab sudah terbiasa dari kecil berkelakuan begini, tiada sesiapa yang cuba memperbetulkannya.

Apabila sudah berkahwin, marah dengan suami, dia akan bermasam muka dan mendiamkan diri berhari-hari. Suami pula menjadi serba salah, terpinga-pinga, tidak tahu apa silapnya.

Apabila sudah sering berlaku begini, tentunya akan mencetuskan rasa kurang senang antara kedua belah pihak.

Perlu diingat, sebaik-baik perkahwinan adalah di mana suami dan isteri saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Namun tanpa kemahiran komunikasi yang efektif, sukar untuk mencapai keadaan ini.

+REALITI KONFLIK

Sebenarnya konflik boleh menjadi sesuatu yang positif atau negatif, bergantung pada reaksi anda terhadap konflik tersebut. Ia positif bila anda menggunakannya sebagai suatu batu loncatan untuk lebih memahami suami/ isteri anda.

Beberapa punca konflik rumahtangga termasuk:

1 - Cara kita dibesarkan berbeza antara satu sama lain. Ada wanita dididik bahawa Rasulullah S.A.W menjahit baju sendiri, buat kerja rumah. Bermakna menyumbang bukan sahaja wang ringgit, tapi masa dan tenaga. Kahwin pula dengan lelaki yang tak pernah buat kerja-kerja ini; tak pernah tengok bapanya buat kerja-kerja begini. Perkara sebegini pun boleh menimbulkan konflik juga.

2 - Pengendalian wang – belajar untuk bajet.

3 - Mertua (termasuk ipar duai) – beri masa untuk mereka menyesuaikan diri dengan kehadiran anda. Untuk ibu dan bapa mertua khususnya, sukar untuk ‘let go’ atau melepaskan anak.

4 - Seimbangkan keperluan anda dengan mertua dan keluarganya.

5 - Luangkan masa untuk mengenali lebih dekat mertua dan ipar duai tapi jangan masuk campur perkara yang tidak membabitkan anda.

6 - Ada sesetengah suami mewajibkan isteri untuk menziarahi keluarganya setiap minggu. Adakah ini wajar? Jika sudah tahu demikian, sudahkah diberitahu sebelum berkahwin?

+ TIPS BONUS

1 - Banyak lagi syarat-syarat yang diperlukan untuk menjayakan sesebuah mahligai perkahwinan selain kasih sayang – sokongan, toleransi, kesabaran, kejujuran, hormat-menghormati, merendah diri, humour (maknanya mudah berjenaka dan jangan terlalu serius sentiasa).

2 - Bayangkan bila sudah berkahwin. Bangun tidur orang pertama yang kita nampak ialah suami/ isteri. Jika ada masalah, dialah yang menjadi tempat kita mengadu. Pendek kata suami atau isteri adalah orang paling rapat dalam hidup kita. Itulah sebabnya seelok-eloknya kita persiapkan diri kita untuk menghadapi alam perkahwinan sesempurna yang boleh.

3 - Perkahwinan ibarat menanam pokok. Selagi kita siram air, cukup cahaya matahari, baja, sihatlah dia. Jika diabaikan dan tersilap baja, pastinya layu dan suram tidak bermaya.

4 - Berhati-hati apabila berkata-kata. Jadilah kawan yang paling istimewa untuk suami/ isteri anda. Terlalu ramai suami/ isteri yang tinggal sebumbung tetapi tidak berkongsi lebih dari itu. Cuba cari sekurang-kurangnya satu hobi atau projek yang boleh diusahakan bersama. Umpamanya kalau suka membantu anak yatim, usahakan ke arah itu. Atau minat kelas agama, mungkin boleh sama-sama aturkan satu program untuk surau berdekatan.

5 - Mudah meminta maaf jika timbul ketegangan. Meskipun kita rasa bukan salah kita. Minta maaf dulu sebab seringkali kita tak nampak apa kesilapan kita (kecuali keadaan tertentu yang sudah nyata seperti suami mendera isteri).

6 - Menghargai suami/ isteri. Jangan ‘take for granted’ perkara-perkara yang dibuat oleh pasangan anda, meskipun ia kecil.

7 - Memahami lelaki dan wanita berbeza. Umpamanya lelaki, cari mentega dalam peti sejuk pun tak jumpa. Wanita pula sering sesat di jalanraya dan sukar membaca peta. Ini perkara biasa dan tak perlulah diperbesarkan!

8 - Berilah masa untuk suami/ isteri masa bersendirian. Ada kala dia perlu masa untuk berehat, memikirkan masalah di luar yang tiada kena mengena dengan kita.

9 - Jangan tidur dengan perasaan marah antara satu sama lain. Perlu diselesaikan segera.

Mudah-mudahan tips di atas menjadi sumber ilham kepada anda untuk lebih bersedia melangkah ke alam perkahwinan dan memilih cara-cara terbaik demi perkahwinan yang bahagia dan berjaya yang diberkati oleh Allah. Wallahua’lam.

Rabu, 26 Februari 2014

TIP MEMILIH BAJU NIKAH

1) Pilihlah baju yang ringkas dan sederhana serta tidak terlalu sarat dengan labuci namun masih kelihatan cantik.
2) Pilihlah fesyen yang sopan seperti baju kurung moden, jubah dan lebih baik jika disertakan dengan pengayaan tudung atau selendang.

3) Kebiasaan fabrik yang digunakan adalah dari jenis lace, satin, chiffon atau wollen yang dapat memberikan keselesaan kepada si pemakai.

4) Pemilihan warna kebiasaannya lebih kepada warna-warna cerah yang nampak suci seperti putih, cream atau warna-warna pastel.

5) Pilihlah potongan baju yang tidak terlalu ketat agar nampak lebih sopan dan selesa serta memudahkan pergerakan semasa majlis nikah nanti.
6) Pemakaian aksesori tambahan boleh memberikan gaya mewah tetapi hendaklah dipakai dengan tidak terlalu banyak.

7) Pemakaian berkonsepkan arab dengan pengunaan niqab yang menutup sebahagian dari wajah boleh memberikan sedikit impak kelainan.