Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat
besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar
pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta
memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu
terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu
menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak
tersebut.
Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan
menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari
bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia
datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu.
"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.
Lalu
pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada
padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli
permainan yang kau inginkan."Budak remaja itu dengan gembiranya memetik
semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi
selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.
Masa berlalu...
Suatu
hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu
merasa gembira."Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal
itu.
"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja
untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat
perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak
itu.
"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau
boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah
daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan.
Lalu,
budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan
pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi
kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas
itu.
Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui
pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah
bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Maafkan
aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di
sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar.
Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya
lelaki itu.
"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan
kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan
bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu.
Lelaki
itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia
kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi
selepas itu.
Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki
yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah
budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.
"Maafkan
aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah
memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku
untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir
mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.
"Aku tidak
mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak
mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu
batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat
dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.
"Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu.
Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.
Moral:
Cerita
ini sengaja dipaparkan untuk mengajak para remaja berfikir tentang
pengajaran di sebalik cerita tersebut. Sebenarnya pokok epal yang
dimaksudkan dalam cerita itu adalah kedua-dua ibu bapa kita. Bila kita
masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat
remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita
tinggalkan mereka dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita di
dalam kesusahan. Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan
apa sahaja asalkan kita bahagia dan gembira dalam kehidupan.
Anda
mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu bersikap kejam terhadap pokok
epal itu, tetapi fikirkanlah itu hakikatnya bagaimana kebanyakan
anak-anak masakini melayan ibu bapa mereka. Jangan hanya kita menghargai
mereka semasa menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa setiap tahun. Semoga
kisah ini memberi keinsafan kepada kita semua.