BAKAT dan emosi sewaktu berada dalam set penggambaran dimiliki bintang muda, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, mula membuatkan ramai pengarah memuji dan sedia membimbingnya.
Pada usia baru mencecah 17 tahun, siapa sangka gadis kacukan Kelantan-Siam ini sudah membintangi lebih 10 drama terbitan pelbagai produksi besar.
Bagi Nelydia, dia sentiasa mahu karakter lakonan dinamik dan mencabar diri sendiri. Tidak mustahil, satu hari nanti, dia bakal menggugat pelakon lain yang sedia ada.
Dalam lakonan terbaru menerusi drama bersiri untuk slot terbaru TV9 bertajuk Puaka Bunga Tanjung arahan Fairuz Loy, Nelydia diberi tugas memegang dua peranan sekali gus iaitu sebagai watak gadis moden dan purba.
“Watak Mayang dan Sanur yang diberikan kepada saya adalah dua karakter berbeza dalam drama ini yang berlatarkan zaman 1960-an dan moden. Mayang seorang wanita kampung berusia 30-an sementara Sanur pula wanita yang bertukar menjadi puntianak. Membawa dua watak dalam satu drama nyata mencabar diri saya dan saya berazam memberikan yang terbaik kepada penonton.
“Drama ini sangat berbeza kerana inilah kali pertama membawa watak yang tidak sama perasaan dan penampilan. Ia akan ditayangkan sebanyak lapan episod dalam sebuah program baru slot seram stesen TV9.
“Apa lebih menariknya, cerita ini juga mengisahkan kisah silam dua generasi yang datang semula kepada sebuah keluarga akibat balas dendam selepas 30 tahun. Ia juga diselitkan kisah cinta yang mendapat tentangan,” katanya, kini sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Berbicara sewaktu ditemui pada sesi penggambaran drama terbabit di sebuah kawasan perkampungan tradisional Melayu di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini, Nelydia berkata:
“Pengalaman baru ditimba dalam drama Puaka Bunga Tanjung sangat menarik apatah lagu bergandingan dengan beberapa pelakon berpengalaman seperti Faizal Hussin, Namron dan Fizz Fairuz.
“Saya tidak kekok kerana pengalaman bergandingan dalam drama Iqra’ bersama Abang Eman Manan dulu sangat membantu dan saya anggap Abang Eman seorang pelakon yang hebat,” katanya.
Berguru dengan pelakon hebat seperti Ellie Suriaty dan Erma Fatima pula banyak membimbing Nelydia dari segi ekspresi, intonasi serta ‘mood’. Tambahan pula ia kisah klasik dan zaman moden yang sangat menarik.
Mengenai tawaran berlakon diterima, Nelydia berkata pada usia belasan tahun sekarang, perjalanannya masih jauh dan banyak lagi yang perlu diselami dalam menjadikan dirinya seorang pelakon serba boleh.
Selain itu dia juga terpaksa menempuh perjalanan hidup dengan begitu berhati-hati agar namanya tidak tercalar.
“Apatah lagi setiap pergerakan kita sekarang senang dirakam dan mudah disebarkan dalam internet menerusi pelbagai teknologi canggih diperkenalkan dalam dunia serba moden.
“Apa yang pasti, saya sentiasa mengambil iktibar daripada kes kakak yang pernah terbabit dalam kontroversi bersama seorang pelakon komedi sebelum ini.
“Ini antara panduan sentiasa berada dalam fikiran saya. Ibu bapa banyak memberi peringatan supaya tidak melanggar tata susila orang Melayu. Kalau boleh, saya tidak mahu terbabit dalam kontroversi dan mahu bersikap positif kerana sehingga kini, saya masih mendengar dan menerima tempias orang bercakap mengenainya hingga sekarang.
“Bagi saya, berkongsi pengalaman dengan pelakon orang lama banyak membantu mematangkan diri dan sentiasa memikirkan apa yang dimahukan untuk masa depan.
“Lagipun, ayah mahu saya melanjutkan pengajian dan jika boleh menjadi pelakon memiliki pelbagai ilmu dan mempunyai kelayakan dalam bidang tertentu.
“Pendek kata, cari pengalaman dan ilmu sebaik mungkin kerana tidak mahu terburu-buru semata-mata mengejar glamor dan populariti dengan cara mudah tanpa memikirkan kesan jangka panjang,” katanya mengakui banyak berfikir daripada banyak sudut dan membaca buku novel untuk menimba ilmu.
Nelydia berkata lagi, dia tidak mahu tamak dalam mengejar impian menjadi pelakon kerana tidak mahu apa yang diimpikan atau dikejar berciciran.
“Paling utama sekiranya tidak bertembung jadual lokasi, saya akan memenuhi tawaran berlakon. Saya juga tidak mahu merosakkan skrip jika saya tidak mampu membawanya, saya akan berlaku jujur mengatakan tidak boleh dan jika boleh, saya kata boleh.
“Bagi saya rezeki tetap ada asalkan kita jujur untuk membina reputasi dengan cara terbaik dalam bidang seni walaupun bukan senang memuaskan hati semua orang,” kata pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Subang Jaya, Selangor ini.
“Saya mahu mendapat keputusan baik dalam peperiksaan SPM dan itu fokus paling utama sekarang. Mendapat penghormatan berlakon dan mempunyai peminat ketika di bangku sekolah juga membuatkan saya perlu bijak memikirkan masa depan yang saya rasakan tiba tanpa sempat berfikir langkah seterusnya. Apapun, faktor itu juga cepat mematangkan diri,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan