Ahad, 1 Januari 2012

TANGLUNG BULAN SEMALAM



SUASANA tenang dengan kicauan burung cukup mendamaikan. Di luar sebuah banglo, kelihatan beberapa tanglung menghiasi halaman depan pintu masuk utama sebuah banglo.

Dekorasi itu menandakan sambutan Tahun Baru Cina bakal menjelang tiba. Menjenguk ke dalam rumah, kedengaran suara seorang ibu dengan anaknya bersembang. Sesekali mereka bertekak apabila ibu, Madam Su menegur sikap teman lelaki anak perempuannya, Jenny. 

Itu antara babak drama terbaru, Tanglung Bulan Semalam yang kini selesai menjalani penggambaran di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Menampilkan pelakon baru yang semakin meningkat populariti, Adeline Tse sebagai Jenny, drama ini juga dijayakan Mandy Chong (Madam Su) dan Irfan Roslan yang melakonkan watak teman lelaki Jenny, Razlan.

Drama yang diterbitkan khusus untuk slot tayangan sempena Tahu Baru Cina nanti membawa kisah mengenai pergolakan hubungan antara ibu dengan anak dan kekasih anaknya yang berbangsa Melayu.

Pengarah, Khir Rahman yang bertanggungjawab meneraju penggambaran drama ini menyatakan plot drama ini masih mempunyai tarikan untuk disampaikan kepada penonton walaupun kisah cinta antara gadis Cina dengan lelaki Melayu sudah banyak kali disentuh.

Namun, duduk di kerusi pengarah memberikan cabaran hebat kepada Khir untuk mengolah cerita ini menjadi menarik dari aspek penyampaian lakon dan syot yang dirakam. Pengarah filem ...Dalam Botol ini mengakui cabaran menghasilkan drama ini suatu yang berbeza.

“Berkarya menerusi drama lebih terhad berbanding filem. Ia bermaksud terhad dari aspek masa penggambaran dan bajet yang diperuntukkan.

“Begitu juga penggunaan pertuturan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat Cina memberi suatu tarikan kepada penonton Melayu. Saya percaya adanya drama menonjolkan budaya masyarakat Cina seperti ini, masyarakat lain seperti Melayu akan lebih faham.

“Secara positif, drama ini berusaha mengangkat martabat bahasa Malaysia itu sendiri, tetapi ia bukanlah realiti yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat kita sendiri,” katanya kepada Rap, ketika ditemui di lokasi penggambaran. 

Khir berkata, tidak dinafikan pertembungan hubungan cinta individu yang berbeza bangsa dan agama suatu yang ‘klise’ tetapi drama ini secara tidak langsung menjadi kempen 1Malaysia.

“Apa yang penting, lakonan itu tidak dibuat-buat untuk menampakkan kempen ini. Drama ini juga menjadi usaha dalam menyatukan masyarakat kita berbilang bangsa dan agama.

“Kehidupan masyarakat campur ini sudah lama kita praktikkan sejak zaman dulu lagi. Bagi saya sendiri, ini pengalaman pertama saya mengarah cerita yang bukan budaya sendiri.

“Memberi cabaran pada saya membuat kajian mengenai budaya masyarakat Cina seperti cara minum teh dengan betul dan meletakkan tanglung di tempat sepatutnya,” ujar Khir.

Produser Eksekutif, Basree Rakijan, pula berkata pemilihan pelakon terbabit dalam drama ini dibuat atas perbincangan bersama pihak produksi dengan stesen TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM). Drama ini dijangka tayangan sempena Tahun Baru Cina, tahun depan.

“Ketika menghantar kertas kerja projek ini, kami memberikan beberapa nama pelakon sebagai cadangan. Sepanjang penggambaran, saya melihat antara pelakon mempunyai keserasian. 

“Penggambaran juga berjalan lancar walaupun mengambil masa lebih sehari dari lapan hari dirancang kerana faktor hujan. Turut memberi tarikan pada drama ini adalah penggunaan tanglung sebagai props termasuk tanglung istimewa dinamakan Tanglung Bulan Semalam,” katanya. 

0 ulasan: