Perempuan Tanpa Rahim menceritakan Kamariah (Normah Damanhuri) dirogol
sewaktu dia balik dari kerja (ketika usia 26) oleh beberapa lelaki.
Nasib baik ketika itu lelaki yang meminatinya, Malim (Harun Salim
Bachik) datang menolong. Kamariah terhutang budi kepada Malim dan ketika
Malim mendapati Kamariah mengandung, dia menawarkan diri menjadi suami
tetapi Kamariah menolak kerana waktu itu Malim sudah pun beristeri.
Namun Malim tetap berkeras untuk menikahi Kamariah dan kerana terdesak, dia menerima cadangan Malim. Mereka berkahwin dengan mengakui kepada keluarga kononnya mereka sudah terlanjur. Isteri Malim iaitu Fatimah menuntut cerai kerana marah dan malu.
Kamariah sebenarnya mahu menggugurkan kandungannya tetapi Malim tidak membenarkan dan apabila bayi itu lahir dia dinamakan Syahidah (Siti Sharizah). Ibu Kamariah memelihara Syahidah kerana Kamariah tidak mahu mengakui itu anak kandungnya.
Kamariah terus hidup dalam keadaan fobia dan trauma malah membenci Syahidah sehingga ke tua. Dia menganggap Syahidah tidak patut wujud dalam hidupnya. Kamariah hidup dalam kemurungan sampai tua kerana dia tidak mendapat rawatan kejiwaan menyebabkan dia tidak dapat memaafkan dirinya dan menerima peristiwa hitam itu sebagai takdir.
Natijahnya, Kamariah turut memusnahkan hubungan kasih sayang anak-anaknya apabila Haniza (Putri Mardiana) bermusuhan dengan Syahidah dan Muiz (Faiz). Baginya Syahidah anak sial atau membawa nasib malang dalam hidupnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan