Sabtu, 8 Disember 2012

SABARNYA SEORANG SUAMI

Salah sebuah kisah rumah tangga yang saya petik dari buku bertajuk Indahnya Hidup Tanpa Derita, penulisan Noor Laila Aniza Zakaria, Perunding Professional Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil iktibar untuk menghisab diri dan menerima nasihat untuk pembaiki diri yang berterusan. InsyaAllah..

Lelaki berusia 40 tahun ini menghubungi saya pada jam lebih kurang 10.30 pagi ketika saya ingin bersarapan. Saya meminta izin untuk bersarapan terlebih dahulu dan meminta menghubungi saya 20 minit kemudian, kerana rakan-rakan sudah menunggu untuk bersarapan. Namun sebaik mendengar sebak suaranya merayu supaya diperuntukkan masa kepadanya walau untuk sebentar, saya akur dan tumpang simpati.

Beristerikan seorang wanita yang cukup banyak karenah, lelaki ini berkorban seluruh kehidupannya untuk membahagiakan keluarga. Dengan pendapatan yang tidak seberapa sebagai seorang anggota polis, lelaki ini berusaha keras memenuhi setiap keinginan si isteri.
Namun si isteri sedikit pun tidak menghormati dirinya sebagai suami. Memanggil namanya dengan panggilan ‘Oi’ sahaja dan kerap kali memaki hamun si suami dengan mengatakan bodoh, gila dan semua perkataan yang cukup melukan hatinya.

Sekiranya dia balik awal ke rumah, dikatakan pemalas dan curi tulang. Jika terlewat pulang dituduh pula ‘makan luar’. Sakit dan luka hati si suami hanya dipendam sendiri. Sedikit pun tidak pernah dia marahkan si isteri. Apabila diajak dan ditegur untuk bersembahyang bersama isterinya tidak mahu dan mengatakan, “Jaga saja kubur masing-masing”.

Lima belas tahun hidup bersama, selama itulah dia sering dimaki hamun dan semua urusan masak memasak diserahkan kepadanya bahkan mengemas rumah. Apa yang isterinya lakukan? Duduk di rumah dan kadang-kadang mengambil upah menjahit pakaian.

Selain dari memaki hamun suami, isterinya sering membuka rahsia rumah tangga mereka kepada jiran tetangga, dengan kata-kata suaminya tidak mampu itu dan ini, mendakwa keperluan di dalam rumah adalah daripada hasil titik peluhnya bahkan si suami sedikit pun tidak membantu.

Pada suatu hari pulang dari kerja, si isteri mengamuk tak tentu pasal. Dia mendengar cerita daripada seseorang mengatakan melihat suaminya makan bersama wanita lain di kedai. Memang benar perkara itu, namun wanita itu adalah teman lama si suami sewaktu di sekolah rendah. Mereka terserempak dan minum bersama untuk bertukar-tukar cerita. Itu sahaja.

Sebaik pulang, si suami dimaki hamun dan dibaling dengan pasu bunga hingga mengenai dadanya. Sakitnya amat sangat sehingga dia terduduk. Bukan itu sahaja, bahkan isteri mengatakan bahawa dia menyesal berkahwin dengannya yang papa kedana tetapi miang! Amat terluka dengan kata-kata isterinya, si suami terus keluar dari rumah.

Azan maghrib berkumandang ketika itu dan dia terus ke surau mengerjakan solat berjemaah. Dalam sebak dia memohon agar Allah ampunkan isterinya dan diberi petunjuk.

“Setibanya saya di rumah selepas solat Isyak, saya beri salam, tiada berjawab. Apabila saya masuk ke dalam rumah, saya lihat isteri saya sedang terperosok di tepi almari baju, dia kena strok. Tidak boleh berkata apa-apa. Saya lihat air matanya mengalir di pipi. Waktu itu saya menjerit memanggilnya, “Sayang!” dan terus dakap erat tubuhnya serta dukung dia bawa ke hospital. “Puan, kalaulah saya tidak berdoa sedemikian, tentu hal ini tidak akan terjadi. Saya sangat-sangat sedih. Dulu dia maki-maki saya, itu tanda dia sihat. Sekarang apabila dia senyap, saya rasa sunyi, lebih sakit berbanding kena maki dulu. Saya amat sayangkan dia puan!”

Luahan itu tersekat-sekat. Saya faham betapa terhiris hatinya melihat keadaan isterinya. Sudah tentu tidak ramai lelaki zaman sekarang yang memiliki sifat sabar begini. Beruntunglah dia diuji sedemikian dengan kesabaran yang begitu tebal di dalam dada.

 Memang benarlah kaum wanita ini fitnah. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (menyegarkan). Dan sesungguhnya Allah menempatkan kamu di atas bumi, yang Allah melihat akan apa yang kamu kerjakan. Maka peliharalah dunia ini dan wanita, sesungguhnya pertama kali fitnah (bencana) yang jatuh kepada golongan Bani Israil (Yahudi) adalah dalam hal wanita.” – (Riwayat Muslim)

Justeru, setiap lelaki yang bergelar suami perlu sentiasa ingat akan pesan Rasulullah ini agar tidak tersasar dalam mengemudi rumah tangga.

Dakwah dalam Rumah Tangga

Kadang-kadang apabila isteri melakukan kesilapan seperti tidak menghormati, memaki hamun dan meninggikan suara, suami hanya berdiam kerana tidak mahu bertengkar panjang. Namun selepas keadaan reda, jarang suami berbincang dengan cara elok malah jarang menasihati isteri dengan mengingatkannya kepada pesanan-pesanan Rasulullah SAW dan al-Quran. Kadang-kadang yang di sebut adalah, “Saya kecil hati dengan apa yang awak buat tadi” atau “Awak sudah singgung hati saya tadi”. Itu bukan teguran. Itu hanyalah luahan perasaan. Kemudian isteri akan meminta maaf dan keadaan kembali seperti biasa. Namun itu bukan pendidikan kepada isteri.

Tip Mendidik Menggunakan Kuasa Ayat

Mungkin selepas ini pada ketika isteri telah berlemah lembut dengan anda, terus sebutkan ayat al-quran atau pesanan Nabi SAW kepadanya:

“Sayang, Nabi kata bahawa tempat isteri di sisi suami. Isteri yang baik adalah isteri yang apabila suami melihat kepadanya, dia akan buatkan suami senang hati. Tadi sayang maki-maki abang .... Sayang rasa itu ciri-ciri isteri yang bagaimana? Sayang sudah lukakan hati abang. Tapi abang sudah maafkan sayang.”

Pendidikan harus dimasukkan dengan kata-kata dan pesanan Rasulullah SAW dan al-Quran supaya hati mudah lembut. Pendidikan harus penuh hikmah. Pendidikan harus dengan bertanya, “Sayang rasa itu ciri-ciri isteri yang bagaimana?Dan meninggalkan dia dengan jawapan sendiri. Itu cara pendidikan terhadap isteri yang perlu diamalkan. Bukan membebel atau berceramah kepada isteri dengan ayat-ayat Quran yang panjang yang isteri tidak faham atau dengan luahan perasaan semata-mata.

Anda juga boleh katakan:

“Sayang, melalui ceramah yang abang dengar dari seorang ustaz, abang dapat tahu yang keredhaan Allah terhadap isteri bergantung kepada keredhaan suami. Abang selalu redha apa sahaja yang sayang buat dan abang harap, Allah akan redha kepada Sayang walaupun tadi Sayang maki abang. Sayang rasa Allah redha atau tidak perbuatan Sayang tadi terhadap abang?”

Kadang-kadang pendekatan pendidikan perlu memetik nama orang lain yang dihormati misalnya ustaz untuk membuatkan dia akur dengan nasihat tersebut.

Fasa Pendidikan Seterusnya

Setelah anda didik isteri dengan pendekatan nasihat namun berkali-kali juga dia masih ingkar, nusyuz dan tidak hormat kepada hak-hak anda, pisahkan tempat tidur sebagai pengajaran. Namun tempohnya hendaklah mengikut keperluan. Dan akhirnya pukullah dia. Nabi SAW menyifatkan pukulan itu ibarat memukul dengan kain sutera yang paling halus dan licin dan tidak boleh memukul di bahagian muka. Bererti pukulan itu hendaklah sehabis lembut dan bukan menyakiti. Bahkan membawa maksud sebenar, elakkan memukul isteri kecuali benar-benar terpaksa dan tiada jalan lain.

Setelah anda mendidik tetapi masih juga isteri melawan, tetaplah mendidik dan doakan semoga Allah beri hidayah dan petunjuk kepadanya. Usah berdiam diri menahan perasaan untuk mengelakkan pertengkaran sedangkan anda tidak menjalankan tanggungjawab mendidiknya.

Mendidik bukan menegur. Mendidik bukan menghukum. Mendidik itu bererti memenuhkan dadanya dengan ilmu dan menbuatkan dia faham dan melihat lantas dia mengamalkan ilmu tersebut sehingga berjaya. Jika sekadar menegur, boleh jadi ia akan masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri. Jika menghukum, boleh jadi penuh dengan emosi lantaran melepaskan geram dan tidak telus.

Aku Menyesal Kahwin Dengan Kau!

Mana-mana isteri yang mengatakan “Aku menyesal berkahwin dengan engkau”, sekalipun suaminya sangat jahat, maka Nabi SAW menyifatkan pada saat kata-kata itu diungkapkan, secara automatik terpadamlah semua pahala amalan baik isteri sepanjang hidup berumah tangga.

Hendaklah dia kembali bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan memohon keampunan serta keredhaan suaminya semula. Berhati-hatilah dengan kata-kata.

Dugaan Tanda Kasih Sayang Allah

Suatu ketika dahulu anda diduga dengan hari-hari dimaki isteri. Sekarang anda diduga dengan memiliki isteri yang sakit dan anda terpaksa menjaganya. Janganlah anda bersedih kerana itu tanda kasih sayang Allah. Allah tahu jika Allah tidak buatkan isteri anda lumpuh, mungkin sehingga ke akhir hayatnya dia akan melukakan hati anda dan tempatnya tidak layak di syurga.

Allah ingin menbersihkan dosa-dosanya. Allah ingin memberikan dia syurga. Allah bukan sahaja menguji kesabaran anda, bahkan isteri anda juga. Bersyukurlah.

Buat masa ini, didiklah isteri anda dengan mengajarkan dia bersolat dengan cara duduk/baring/dengan mata/hati, selagi dia faham kata-kata anda. Bacakan al-Quran ditelinga isteri sambil meribanya. Kesedihan yang anda lalui pasti tidak akan disia-siakan oleh Allah.

Sakit Itu Pembersih Dosa

Setiap kesakitan itu kata Nabi SAW adalah pembersih dosa. Maka banyakkan menyebut Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun - ‘Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.’

Setiap kali anda sedih atau tidak berdaya, lafazlah LaahaulaWalaQuwwataillabillah – ‘Tiada daya upaya melainkan dengan kekuatan Allah.’

Banyakkan membaca surah Yasin dan bawalah isteri bersiar-siar di luar. Sekurang-kurangnya dia masih ada menemani hari-hari anda, bukannya Allah mengambilnya terus. Maafkanlah dia. Lihatlah ini sebagai tanda kasih sayang Allah. Dan yakinlah anda telah berdoa dengan doa yang baik di sisi Allah. Usahlah risau. Tenangkan hati, tabahkan jiwa.


'Sabar itu indah, dan kepada Allahlah tempat memohon pertolongan.' - (Nabi Yusuf)

0 ulasan: