Isnin, 3 Mac 2014

SOALJAWAB ETIKA KETIKA BERNIKAH

Soaljawab Etika Ketika Bernikah Soalan 1
Ketika menyarungkan cincin di jari pengantin lelaki oleh pengantin perempuan, adakah sesuai untuk pengantin lelaki bersimpuh atau melutut ketika menerima sarungan cincin itu? Apakah langkah seterusnya selepas menyarung cincin dari segi etika?

Jawapan: Menyarung cincin di jari pengantin lelaki oleh pengantin perempuan juga satu amalan daripada tradisi kaum India. Bagi menjaga adab, sebaiknya pengantin lelaki melutut dan aturannya, pengantin perempuan perlu menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan si suami serta mencium tangan suami sebagai tanda, isteri yang bersedia untuk hidup setia di samping suami. 

Soalan 2
Dengan mengenakan solekan yang agak tebal dan kadangkala melampau ketika berada di dalam masjid untuk upacara pernikahan, apakah perkara yang sesuai dilakukan untuk mengelakkan perkara sedemikian daripada terjadi?

Jawapan: Bersolek sepatutnya hanya untuk menambah seri. Terlalu tebal dan menonjol sebenarnya lebih kepada menarik perhatian dan dalam keadaan diri sebagai pengantin yang bakal menjadi isteri kepada seseorang, hakikatnya seperti memperagakan diri yang sepatutnya hanya milik si suami. Sebaiknya tidak bersolek keterlaluan. Bukan saja tika majlis malah hari-hari biasa. Ironiknya mereka yang jarang bersolek (sekadar mengenakan bedak nipis dan lipstik) akan nampak lebih berseri walau hanya dengan solekan nipis. Bila terbiasa menyolek, solekan biasa-biasa memang tak memadai. Buat para gadis, biasakanlah diri dengan solekan biasa agar detik anda sebagai pengantin menjadi saat sukar dilupa.


Soalan 3
Memakai kanta lekap yang berwarna kadangkala agak terlalu menonjol untuk tatapan umum. Tetapi jika tidak dipakai pengantin mempunyai had penglihatan ketika acara berlangsung dan ia mungkin merisaukan mereka. Apakah nasihat yang seeloknya untuk bakal pengantin ketika memilih kanta lekap ketika upacara pernikahan atau persandingan nanti?
 

Jawapan: Gunakanlah kanta lekap yang biasa, bukan berwarna. Ingatlah! Tika akad nikah telah sah bererti setiap dosa isteri akan turut dipikul oleh si suami. Jika benar sayangkan bakal suami, tampillah sederhana, tidak terlalu menjolok mata. Bukan saja sedap mata memandang tetapi agar ada barakah daripada-Nya untuk perkahwinan anda. 

0 ulasan: