Ahad, 27 November 2011

DATUK POWER




HULU LANGAT: Kehangatan berpacaran dengan lelaki bergelar warga emas tidak pernah pudar di hati Noraida Abdul Saman, 36, walaupun perkenalannya dengan suami, Abdul Aziz Uteh, 76, hanya dua minggu ketika mereka bertemu di Kampung Ketumbar, Ampalas, Medan, Indonesia.
Ketika berjumpa dalam pertemuan diuruskan keluarga, Noraida terpaksa membuat keputusan sama ada menerima atau tidak lamaran lelaki itu yang pada mulanya dianggap main-main kerana menyangka dia sudah berumah tangga.

“Bagaimanapun, selepas dia membawa dua daripada lima anaknya ketika itu, baru saya menyedari dia bersungguh-sungguh, malah lebih mengharukan apabila kedua-dua anaknya sibuk menguruskan perkahwinan kami di kampung saya dan menerima saya seadanya.
“Saya berkahwin ketika berusia 27 tahun manakala abang (suami) pula 67, sebenarnya saya tidak mempunyai ibu bapa dan bapa saudara saya memberitahu ini mungkin jodoh saya, manakala adik beradik lain pada mulanya risaukan keselamatan saya jika pulang ke Malaysia.

“Saya pada mulanya risau, mana tahu saya dijual atau tidak dilayan sebagai isteri, namun selama setahun kami hidup bersama saya akhirnya berasa selesa, malah hingga kini sering berulang-alik ke Medan, menyebabkan kebimbangan adik-beradik hilang,” katanya.

Kini, selepas sembilan tahun berkongsi hidup dengan Abdul Aziz, Noraida yang bunting pelamin ketika perkahwinannya mempunyai dua cahaya mata yang menyerikan hidup mereka iaitu Mohd Ashraf, 9, dan Siti Nurasnida, 5.
Ditanya apa yang membuatkannya tertarik kepada Abdul Aziz, Noraida berkata, ketika awal pertemuan mereka, dia dapat merasakan suaminya penyabar tetapi menyangka ia mungkin sekadar untuk mengambil hatinya, namun selepas hampir 10 tahun hidup bersama, telahan itu terbukti tepat.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditanya sama ada dia mengamalkan pemakanan atau senaman tertentu memberitahu, tiada amalan atau rahsia yang diamalkannya kecuali melakukan senaman ringan pada awal pagi dan mengelak minuman sejuk, selain sentiasa tenang dalam menghadapi sebarang keadaan.
“Tiada apa petua atau amalan, cuma kita kena jaga kesihatan sendiri, malah saya juga mempunyai penyakit, iaitu darah tinggi dan sakit lutut, jadi saya ikut arahan doktor dan melakukan senaman setiap pagi,” katanya yang masih berniaga sekitar daerah ini sambil dibantu isteri.

Menurutnya, perkahwinan terbarunya adalah yang ketiga. Perkahwinan pertama pada 1960 dan dikurniakan lima anak kini berusia 49, 48, 46 dan 44 tahun (anak bongsu meninggal dunia pada usia 17 tahun dalam nahas jalan raya).

“Isteri saya meninggal dunia sebelum saya mendapat pengganti, tetapi perkahwinan kedua tidak bertahan lama dan akhirnya kami berpisah. Kami juga tidak ada zuriat sebelum saya berasa kesunyian lalu bertemu jodoh dengan wanita dari seberang ini.

“Sebenarnya jodoh kami adalah hasil usaha keluarga saya yang masih ada di sana kerana saya berketurunan Mendeling dan merekalah yang menemukan kami berdua.

“Alhamdulillah sehingga hari ini saya sentiasa bahagia dengannya, malah anak saya juga menerima perkahwinan ini,” katanya.

Menceritakan mengenai sambutan Aidilfitri atau Aidiladha, beliau berkata, anaknya pulang menyambut lebaran di rumahnya dan ada kalanya ke Medan menyambut hari raya di sana.

“Kalau ada rezeki lebih, kami akan beraya di sana, malah Aidiladha lalu, anak saya turut mengadakan korban di kampung ibu tiri mereka dan ia sangat mengharukan saya,” katanya.

Abdul Aziz yang masih boleh membaca tanpa memakai kanta mata berkata, dia mempunyai 19 cucu dan dua daripadanya bakal berkahwin tahun depan.

Ditanya sama ada dia bercadang menambah zuriatnya dalam masa terdekat, katanya, tiada cadangan ke arah itu setakat ini dan kehadiran sepasang cahaya mata sebagai pengikat kasih dalam rumah tangga mereka sudah memadai kerana mempunyai tujuh anak sebelum ini.

“Kami kini lebih menumpukan pada persekolahan anak dan perniagaan, namun kita hanya merancang, tuhan juga yang menentukan,” katanya.

0 ulasan: