Kualiti drama tempatan semakin meningkat apabila produser berlumba-lumba menghasilkan produk menarik. Tambahan pula, persaingan yang hebat antara stesen TV menjadikan satu penanda aras baru.
Tidak terkecuali aktif menerbitkan produk berkualiti adalah Enuja Production Sdn Bhd. Jika produksi lain menampilkan drama genre ringan produsernya, Zainuddin Mohd Ismail lebih menekankan kisah dakwah.
Ini diperlihatkan menerusi drama terbitan Enuja Production sebelum ini antaranya Sebelum Akhirat, Kemaafan Yang Tertangguh, Dosa Siapa dan Sebelum Kiamat. Semua drama ini mempunyai pengajaran tersendiri.
Terbaru, ditampilkan pula sebuah telemovie berjudul Ku Hijrahkan Doa yang akan menemui penonton menerusi saluran TV9 pada jam 8.30 malam ini.
Terbaru, ditampilkan pula sebuah telemovie berjudul Ku Hijrahkan Doa yang akan menemui penonton menerusi saluran TV9 pada jam 8.30 malam ini.
Sekali lagi Ismail memilih bekerjasama dengan Siti Rohaya Abu Samah sebagai penulis skrip dan Murali Abdullah sebagai pengarah.
“Saya berasa bertanggungjawab menyampaikan cerita berkonsep teladan dan mengajak penonton ke arah positif. Setiap drama saya mempunyai kekuatan tersendiri dari plot, mesej, pengarahan dan barisan pelakon,” katanya ketika ditemui pada penggambaran telemovie ini di Sekinchan, Selangor.
Ku Hijrahkan Doa mengisahkan dua beradik yatim piatu, Saiful (Zamarul Hisham) dan Kamarul (Bell Ngasri) yang membesar di rumah pusaka peninggalan ibu bapa mereka. Kedua-duanya dididik dengan baik oleh arwah orang tua mereka yang soleh dengan diberi ilmu agama dan diingatkan supaya rajin berusaha, berdoa serta bergantung harap kepada Allah s.w.t.
Setiap hari mereka berulang alik ke rumah seorang guru agama iaitu Tuan Haji Muiz yang juga pemegang amanah menjaga hal ehwal kewangan untuk perbelanjaan mereka berdua daripada sedikit hasil kebun yang diusahakan.
Saiful cemerlang dalam pelajaran dan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Manakala Kamarul agak sederhana dan memilih untuk menetap di kampung mengusahakan tanah peninggalan arwah ibu bapa mereka.
Saiful pulang ke Malaysia dengan kejayaan cemerlang dan mendapat pekerjaan sesuai dengan kelulusannya. Namun, dia kesal apabila melihat keadaan adiknya masih lagi di takuk lama.
Sebelum ini drama terbitan Enuja Production, Sebelum Akhirat berjaya meraih anugerah Pengarah Terbaik menerusi Murali, Fauzi Nawawi (Pelakon Lelaki Terbaik) dan Fadzilah (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik). Ia mengulangi kejayaan Fauzi dan Fadzilah yang menang kategori sama pada Anugerah Seri Angkasa.
Sementara itu, Murali menyifatkan ini karya terbaik Siti Rohaya selepas drama Sebelum Kiamat. Dia terus tertarik sebaik membaca skrip dan tidak banyak membuat olahan.
“Ceritanya adalah mengenai kasih sayang dua beradik yang kematian ibu dan ayah. Abang besarkan adik, namun abang mulai bangga kerana kedudukannya. Manakala si adik terus bekerja kampung.
“Abang marahkan adiknya kerana tidak mahu berubah dan tinggal di Kuala Lumpur tanpa mengetahui adiknya selalu ikhlas berdoa buatnya. Abangnya mula takbur kerana hidup mewah dan ada isteri cantik serta rumah besar. Apakah yang berlaku seterusnya, kita kena tonton sendiri drama ini,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan