SEPANJANG 16 tahun berkecimpung sebagai anak seni, apa yang tidak pernah dilalui Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, dalam mengharungi liku-liku menjadi penyanyi terkenal. Namun, semua itu dibiarkan saja dan menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus mengejar impian sucinya.
Kini, segala usaha gigih itu berhasil. Siti yang dulunya sekadar seorang gadis kampung biasa, sekarang adalah ikon muzik diminati ramai. Malah, pelbagai anugerah yang mengiktiraf bakatnya dari dalam dan luar negara sudah dimiliki Siti.
Bahkan, impian untuk membuat persembahan di dewan berprestij, Albert Hall, London juga sudah menjadi kenyataan malah melakar populariti yang tinggi di pasaran negara jiran, Indonesia.
Terbaru, Siti tampil berani dengan album sulung Inggeris, All Your Love untuk mencabar sejauh mana tahap kemampuan dirinya. Semakin popular dengan lagu Falling In Love, tetapi jualan album itu dikatakan agak sendu dan kurang mendapat sambutan.
Bagaimanapun, Siti yang ditemui selepas majlis ramah mesra sempena pembikinan dokumentari khasnya untuk tayangan History Channel, menafikan sambutan album itu kurang memberangsangkan.
Katanya, apa yang nyata, sejak berada di pasaran pada 26 September lalu, sambutannya memang baik dan jualannya mencatat puluhan ribu unit.
“Sekarang ini, kerja-kerja promosi masih diteruskan dan fokus sepenuhnya memang ditumpukan kepada penjualan album All About You. Saya gembira, ia diterima baik dan usaha ini boleh dianggap berjaya. Apapun, buat masa ini tiada perancangan untuk pembikinan album Inggeris seterusnya.
“Dalam soal pembikinan album, tidak boleh terburu-buru. Justeru, setakat ini saya masih belum terfikir untuk menghasilkan album lain. Biarlah, uruskan satu persatu dulu. Ia lebih mudah dan semua perancangan dibuat dengan teliti,” katanya.
Menurut Siti, beliau sebenarnya menyimpan impian membuat konsert jelajah untuk pelajar di luar negara. Katanya, muzik tempatan juga boleh diterima dan akan mendapat tempat berikutan ramai pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara.
Berbicara mengenai perjalanan kariernya, Siti berkata beliau bersyukur kerana hingga kini masih diteruskan. Ujarnya jika tiada aral dan mengikut apa yang dirancang, beliau akan menjayakan satu persembahan istimewa di ibu kota tidak lama lagi.
“Sebagai penyanyi, semestinya saya mahu menjayakan konsert sendiri. Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada rezeki dan jika peluang itu datang dulu, saya terima. Apapun, sekarang saya juga sibuk menguruskan perniagaan produk SimplySiti.
“Jika diizinkan Tuhan, saya ingin mengembangkan perniagaan produk kosmetik ini sehingga ke pasaran antarabangsa. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perbincangan lagi. Malah, saya mengikut apa saja prosedur ditetapkan untuk
tembusi pasaran luar,” katanya.
Menurut Siti, beliau akan berangkat ke negara jiran, Indonesia untuk mengadakan perbincangan mengenai pemasaran produk keluaran syarikatnya. Kata anak jati Pahang ini, jadualnya nyata amat sibuk kerana perlu menguruskan banyak perkara.
Selain itu, Siti juga memaklumkan beliau juga merancang akan mengeluarkan biografi fotonya untuk peminat pada tahun depan. Namun, buat masa ini semuanya dalam proses lagi dan diuruskan kakak ipar merangkap pengurusnya, Rozi Abdul Razak.
Suami sokong pembikinan dokumentari khas
SELEPAS Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, nampaknya Siti menjadi penyanyi wanita pertama negara yang kisah perjalanan karier seninya sejak mula hingga berada di puncak kegemilangan akan ditayangkan di History Channel.
Diterbitkan produksi Red Communications Sdn Bhd selama satu jam untuk tatapan penonton dan peminat penghibur ternama itu, pelbagai kisah menarik, suka dan duka Siti akan dikongsi bersama. Tidak terkecuali, kisah percintaan dan rumah tangga.
Berbicara mengenai dokumentari ini, Siti berkata beliau sangat teruja dan menerima tawaran itu dengan hati terbuka. Malah, paling penting, Siti mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa yang sangat memahami.
“Kalau diikutkan, pembikinan dokumentari istimewa ini nyaris-nyaris tidak jadi kerana tuntutan jadual saya yang sangat sibuk. Namun, pihak produksi sanggup menunggu waktu kelapangan saya serta mereka berusaha mengumpulkan pelbagai maklumat.
“Tak dinafikan, gambar ketika saya kanak-kanak dan remaja tidak banyak berikutan tidak memiliki kamera ketika itu. Bagaimanapun, saya sendiri terkejut kerana pihak produksi berjaya mendapatkannya daripada jiran, rakan, kenalan dan wakil media.
“Apapun, saya amat berbesar hati dengan pembikinan dokumentari ini dan ia amat bermakna. Ini kerana, kisah perjalanan karier saya selama 16 tahun akan ditayangkan di saluran antarabangsa. Ini satu penghargaan sangat besar dan indah buat saya.
“Kisah dokumentari seperti ini selalunya dirakamkan untuk mengingati kejayaan pernah disumbangkan tokoh ternama lagenda atau individu yang banyak berjasa dan sudah meninggal dunia. Namun, saya mendapat peluang ini ketika masih hidup,” katanya.
Menurut Siti, beliau melihat pembikinan dokumentari khas ini dari aspek positif yang mana ia mungkin boleh memberi inspirasi kepada orang lain. Katanya, tidak salah perkara baik yang membawa kepada kejayaan seseorang dirakam untuk dikongsi bersama.
Siti berharap dokumentari ini akan disaksikan peminatnya yang banyak memberi sokongan. Malah, barangkali ada perkara yang masih belum peminat tahu mengenai dirinya. Terutama, situasi beliau ketika berhadapan tekanan, gosip dan kontroversi. Dokumentari khas Siti ini akan disiarkan di History Channel (Astro 555) pada 11 Januari 2012.

0 ulasan:
Catat Ulasan