Rabu, 30 Julai 2014

HOTEL TRANSIT KAPSUL

Duduk berjam-jam di ruang menunggu dek penerbangan terpaksa ditunda atau transit memang cukup mele­tihkan.
Lebih mengecewakan apabila saat penerbangan dibatalkan dan akan berlepas pada hari berikutnya kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.
Saat itu, kemarahan membuak-buak, badan pula letih dan mata sudah berair minta untuk dilelapkan seketika.

Kebiasaannya, dalam situasi itu, ramai pulang ke rumah dan datang kembali keesokan harinya. Bagi yang tidak boleh berbuat sedemikian, menunggu di mana-mana sudut dalam lapangan terbang pilihan terakhir.


FotoFoto

Mahu daftar masuk di hotel berdekatan, bayaran yang dikenakan tinggi padahal anda hanya mahu berehat beberapa jam saja.

Kini, Capsule by Container Hotel menyediakan perkhidmatan hotel transit di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) jika anda mahu menginap untuk tempoh yang singkat.

Kumpulan hotel, ZU Container Sdn Bhf (ZU Container), melancarkan hotel transit pertama di Malaysia di KLIA2 bagi memberi perkhidmatan kepada pelancong.

Berkeluasan 3,300 kaki persegi, Capsule adalah ‘tambahan profile’ kepada Container Hotel berhampiran Jalan Bukit Bintang.

Menawarkan 79 kapsul, hotel unik ini menyediakan pakej pilihan sama ada tiga, enam atau 12 jam pada harga RM45, RM70 dan RM90.

Dengan bayaran yang dikenakan, perkhidmatan yang ditawarkan termasuk tempat mandian, tempat istirahat, WiFi percuma dan bilik kapsul untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan atau penerbangan jauh.

Takut terlajak atau tidak dapat bangun selepas istirahat, perkhidmatan ‘wake-up call’ disediakan supaya pelanggan tidak terlepas penerbangan seterusnya.

Bagi yang tidak mahu atau tidak ada masa yang panjang, Capsule turut memberi pelanggannya fleksibiliti untuk memilih perkhidmatan tertentu pada kadar ala carte seperti mandi dengan bayaran RM15 atau sewa loker RM20 sehari.

Bersesuaian dengan konsep penginapan transit, selain ruang tidur yang selesa dan katil yang empuk, lampu bacaan turut disediakan.

Keselesaan saat menginap di hotel ini juga tidak diabaikan. Ia banyak menggunakan bahan kitar semula bagi memastikan suasana di hotel ini cukup menyenangkan.

Ketua Pengarah Eksekutif ZU Container, Ryan Loo berkata, bercuti sa­ngat menyeronokkan, tetapi tanpa kemudahan bagi menyokong perjalanan itu, pengalaman boleh bertukar menjadi sesuatu yang cukup mengecewakan.

“Justeru, Capsule by Container Hotel diwujudkan dan direka bagi menyediakan perkhidmatan fleksibal, berkualiti tinggi dan penginapan yang berpatutan untuk pelancong yang ingin menyegarkan badan serta berehat secara on-the-go,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Rekabentuk ZU Container, Vincent Tan berkata, idea menggunakan barangan kitar semula adalah satu model perniagaan yang terbukti di peringkat global.

Katanya, hotel kapsul di seluruh dunia menerima sejumlah besar maklum balas yang baik kerana idea menggunakan sepenuhnya ruang yang ada di sekeliling kita.

“Jadi dengan menggunakan bahan kitar semula pembinaan adalah bagi melestarikan alam sekitar dan membolehkan kita menye­diakan penginapan yang berpatutan.

“Bersama rakan kongsi peralatan tempat tidur, Orthorest, kami memastikan bahawa tetamu akan mendapat rehat yang selesa juga,” katanya.

0 ulasan: