Isnin, 17 September 2012

SELEBRITI HOLLYWOOD TANPA IJAZAH

Kate Beckinsale Picture

Lebih baik belajar daripada tidak, lebih baik memiliki pendidikan daripada tidak dan lebih baik tahu daripada tidak.
Namun itu tidak bermakna anda tidak boleh berjaya tanpanya. Anda hanya perlukan bakat dan usaha, seperti yang ditunjukkan para selebriti yang tidak habis belajar ini.

TRACY MORGAN
Bintang "30 Rock" ini tidak pernah menamatkan pendidikan sekolah menengahnya kerana kesukaran hidup akibat ditinggalkan bapanya, penyakit abangnya dan kesulitannya yang seringkali dibuli. Namun begitu, kesukaran itu juga membantunya untuk berusaha lebih keras dan menjadikan kesukaran itu satu komedi sehinggakan dia berjaya menjadi seorang daripada bintang "Saturday Night Live" yang berjaya sekaligus menjadikan Morgan antara bintang komedi berkulit hitam yang paling terkenal dan berjaya di Hollywood.

MARLON BRANDO
Dia seorang ikon budaya. Martin Scorsese menamakannya sebagai mercu pencapaian Hollywood dan dia juga melakonkan antara karakter-karakter filem yang paling diingati Hollywood. Namun dalam kehidupan peribadinya, Brando bukan pelajar paling berdisiplin dan paling bijak. Dia dibuang daripada Sekolah Tinggi Libertyville kerana menunggang motosikalnya di koridor sekolah. Dia juga diletakkan bawah pengawasan ketika memasuki Akademi Tentera kerana berkelakuan buruk pada kolonel tentera dan melarikan diri ke pekan. Dia akhirnya memilih untuk berhenti belajar dan fokus pada minatnya dalam bidang lakonan.

SIMON COWELL
Simon Cowell memang seorang yang agak 'berlagak' dan berkeyakinan tinggi sejak kecil. Pada usianya 16 tahun, dia membuat keputusan untuk meninggalkan era persekolahan kerana merasakan sekolah tidak membantunya dalam apa-apa. Dia mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pekerja pejabat di RCA dan mula melangkah sedikit demi sedikit ke puncak dengan usahanya sehingga menjadi terkenal seperti sekarang.

QUENTIN TARANTINO
Pengarah "Pulp Fiction", Quentin Tarantino sukakan lebih banyak benda lain selain belajar. Dia lebih suka berdikari dan membuat keputusan untuk berhenti dan tidak menamatkan pelajaran sekolah tingginya ketika berusia 16 tahun. Dia memasuki kelas teater dan bekerja dalam banyak bidang termasuk menjadi pekerja pawagam lucah dan kedai sewa video. Di kedai video bernama Video Archives itulah dia banyak belajar tentang jenis-jenis filem sehinggakan berjaya menjadi antara pengarah filem tersohor.

KATE BECKINSALE
Kate Beckinsale sememangnya mewarisi bakat lakonan ibu bapanya, pelakon Richard Beckinsale dan aktres Judy Loe. Bakatnya itu menyebabkan dia diterima menyertai Persatuan Dramatik Universiti Oxford. Namun begitu, Kate akhirnya memilih untuk berhenti belajar selepas merasakan dia tidak lagi mampu menerima tekanan untuk mengimbangi kerjaya lakonan dan pendidikannya. Kate memutuskan untuk memilih apa yang lebih diyakininya ketika itu, yakni kerjaya dalam bidang lakonan.

JIM CARREY
Jim Carrey mungkin bosan tinggal di Toronto, Kanada yang tidak menjanjikannya apa-apa. Oleh sebab yang demikian, Carrey membuat keputusan untuk tidak menamatkan pelajarannya di sekolah menengah dan berpindah ke Los Angeles. Namun dia juga tidak menamatkan pelajarannya di LA dan mula mengalihkan fokusnya ke bidang komedi. Dari komedi kecil-kecilan sehingga ke dunia perfileman, Jim Carrey berjaya menjadi antara pelakon komedi yang paling berjaya di Hollywood, Kanada dan seluruh dunia.

TOM HANKS
Antara pengajian universiti di Sacramento dan menjadi pekerja industri di sebuah teater, Tom Hanks memilih kerjaya kecil tersebut. Mujur ia bukan pilihan yang salah kerana dari situlah dia mula mendapatkan rangkaian yang sepatutnya untuk memulakan kerjaya lakonannya sehingga menjadi antara bintang anugerah Academy.

CLINT EASTWOOD
Ketika dia belajar di sekolah menengah, Clint Eastwood pernah membintangi persembahan teater sekolahnya dan merasakan bahawa dia tidak berminat dengan dunia lakonan. Malah dia membencinya. Kemudian dia telah memasuki lapan buah sekolah berbeza kerana ibu bapanya seringkali berpindah-randah. Selepas menamatkan perkhidmatan tentera, Eastwood membuat keputusan untuk berhenti belajar serta-merta dan kembali melakukan perkara yang pernah dibencinya dulu. Berlakon. Dari filem-filem western sehinggalah menempa nama sebagai pengarah filem yang dinobatkan anugerah, Eastwood terus berjaya tanpa sekeping sijil akademik.

HILARY SWANK
Tiada siapa tahu Hilary Swank tidak menamatkan pelajarannya suatu masa dahulu sehinggalah dia dikritik kerana memegang watak seorang guru dalam filem "Freedom Writers". Swank mengatakan dia tidak merasa bangga kerana tidak menamatkan pelajarannya dan menganggap pendidikan amat penting, namun dia meninggalkannya kerana merasakan tidak sesuai berada di sekolah dan tidak difahami guru-gurunya. Namun begitu, Swank terus berusaha dalam bakatnya sebagai pelakon sehinggakan berjaya memenangi dua buah Oscar melalui "Boys Don't Cry" (1999) dan "Million Dollar Baby" (2004).

WHOOPI GOLDBERG
Suatu masa dahulu, Whoopi Goldberg merupakan pelajar tercorot dan tidak menamatkan sekolah menengah kerana merasakan dirinya bodoh. Itu kerana suatu masa dahulu, dunia tidak tahu tentang penyakit disleksia. Namun begitu, sifat lucunya dan juga bakatnya dalam bidang hiburan membolehkan Goldberg menjadi wanita berkulit hitam pertama yang pernah memenangi EGOT (Keempat-empat anugerah Emmy, Grammy, Oscar dan Tony).

0 ulasan: