Fesyen turban di kalangan masyarakat kita sudah tidak aneh dan pelik lagi untuk kita lihat terutama di kalangan artis tempatan. Pemakaian turban dikatakan bermula sejak beribu tahun dahulu. Pada mulanya, turban digunakan di negara-negara Asia dan Timur Tengah, terutamanya di India, Afghanistan, Afrika Utara, Kenya, Jamaica dan Pakistan. Turban yang dipakai di India dan Pakistan dikenali sebagai pangri, manakala nama lain seperti phakeolis digunakan oleh tentera Byzantine.
Di Malaysia, pemakaian turban sudah dianggap trend terkini terutama bagi mereka yang bertudung yang sentiasa inginkan kelainan. Gaya atau fesyen ini telah dipopularkan oleh artis wanita kita iaitu Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna. Fesyen yang pada mulanya mendapat kritikan daripada sesetengah pihak lama-kelamaan telah menjadi ikutan ramai.
Sentuhan luar biasa dan kreatif dari pereka fesyen tempatan dalam mempelbagaikan gaya pemakaian turban ini telah menjadikan ia tampak begitu menarik dari segi perincian, aksesori dan daripada pelbagai jenis fabrik dan warna. Maka, pemakaian turban ini semakin relevan buat kaum wanita yang ingin sentiasa tampil menarik, sopan dan menutup aurat. Antara artis lain yang gemar mengayakan fesyen turban ini ialah Natasha Hudson, Ramlah Ram dan Noryn Aziz.
Turban ini sesuai digayakan di mana sahaja kerana ia ianya suatu gaya pemakaian yang ringkas tetapi tetap menarik. Bagi mereka yang sukakan kelainan tidak salah jika ingin mencuba gaya fesyen turban ini. Pemakaian turban ini juga sesuai bagi mereka yang tidak bertudung dengan cara mengikat separuh dari kepala sahaja. Ini menampakkan seseorang itu lebih elegan dan sudah tentunya lebih kemas. Namun begitu, jangan menggunakan warna dan aksesori yang terlalu sarat serta lilitan yang terlalu banyak agar pemakaian turban anda tidak nampak serabut.
1 ulasan:
Salam sis, saya buat link tajuk entry gaya turban terkini ni kat blog saya ye. TQ
Catat Ulasan