Khamis, 27 Februari 2014

ANTARA KELEMBUTAN DAN KETEGASAN




Ada sebuah kisah menarik melibatkan seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan isterinya yang ingin saya kongsi bersama para pembaca sekalian. Sahabat itu ialah Abdullah ibn Mas’ud sementara isterinya bernama Zainab, semoga Allah meredai mereka berdua. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Zainab, menunjukkan bahawa para wanita pada zaman awal Islam turut memainkan peranan dalam menyebarkan ilmu dan pengalaman yang bermanfaat. Marilah kita ikuti apa yang diceritakan oleh Zainab.

Seorang wanita tua menemui kami hendak menjampi (kami) dari penyakit demam. Kami memiliki kerusi (bangku) yang panjang kakinya (dan wanita tua itu menjampiku sambil aku duduk atau baring di atasnya).

Lazimnya apabila Abdullah hendak masuk (ke dalam rumah) maka dia akan (terlebih dahulu) berdehem dan bersuara (yakni memberi salam). Satu hari dia masuk dan ketika wanita tua itu mendengar suaranya, maka dia bersembunyi. Kemudian Abdullah datang dan duduk di sampingku serta membelaiku. Ternyata dia menyentuh suatu jahitan benang, maka dia bertanya: “Apa ini?” Aku menjawab: “Tangkal yang di dalamnya terdapat jampi-jampiku untuk mengubati penyakit demam.”

Abdullah lalu menariknya dengan keras, memutuskannya dan membuangnya seraya berkata: “Sungguh keluarga Abdullah tidak memerlukan lagi serba mencukupi daripada amalan syirik. Saya mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik.”

Aku (Zainab) seterusnya berkata: “Pada satu hari aku keluar lalu seorang lelaki memandangku sehingga mataku selalu berair. Jika mataku di jampi maka air mata akan berhenti, namun jika tidak di jampi maka ia akan selalu berair.”

Abdullah berkata: “Itu adalah (tipu daya) syaitan, jika kamu mentaati syaitan (dengan mengamalkan jampi-jampian) maka syaitan akan meninggalkanmu (yakni tidak lagi mengganggu dengan mata yang berair). Akan tetapi jika kamu mengingkari syaitan (dengan mengingkari jampi-jampian) maka ia akan menusuk matamu dengan jari-jarinya (sehingga selalu berair. Demikianlah tipu daya syaitan agar kamu sentiasa mengamalkan jampi-jampian).

Sekiranya kamu melakukan apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka itu tentu lebih baik bagimu dan lebih layak mendapatkan kesembuhan. Iaitu kamu membasuh kedua matamu dengan air sambil membaca doa:

Hilangkanlah (penyakit ini), wahai Rabb manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3521/3530]

Terdapat beberapa pengajaran penting dalam kisah di atas. Marilah kita mengupasnya satu per satu.

Pertama: Etika Suami Pulang Ke Rumah

Sebagai agama yang kaya dengan etika, Islam menganjurkan umatnya mengucapkan salam apabila masuk dan keluar rumah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan: Jika kamu memasuki rumah maka ucapkanlah salam kepada penghuninya dan jika kamu keluar dari rumah maka ucapkanlah salam kepada penghuninya. [Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dengan sanad yang hasan. Rujuk al-Misykat al-Mashabih, no: 4651]Etika inilah yang diamalkan oleh Abdullah ibn Mas’ud sebelum memasuki rumah. Antara hikmahnya, memberi salam menjadi tanda kepada isteri untuk bersiap sedia menerima kepulangan suami.

Jika suami berpergian agak lama, maka tidak dianjurkan terus balik ke rumah tanpa terlebih awal mengkhabarkan waktu kepulangannya. Ini supaya isteri memiliki masa yang lebih untuk mengemas dirinya setelah sekian lama tinggal berseorangan. Jabir bin Abdullah menceritakan: Kami pernah berperang bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Setelah kami tiba di Madinah, kami bermaksud hendak segera pulang ke rumah kami masing-masing. Namun baginda bersabda: “Tunggulah dahulu hingga hari malam, yakni waktu Isyak, supaya isteri dapat menyikat rambutnya yang kusut dan mencukur bulu kemaluannya setelah ditinggalkan sekian lama.” [Shahih Muslim, no: 3556/715]

Pada masa kini, kita memiliki pelbagai alat komunikasi yang dapat memudahkan pengkhabaran waktu pulang ke rumah. Para suami hendaklah memanfaatkan alat-alat ini untuk mengkhabarkan kepada isteri bila mereka dijangka sampai rumah. Pada waktu yang sama, isteri hendaklah memanfaatkan pengkhabaran ini untuk bersiap sedia menyambut kepulangan suami. Etika-etika ini meskipun kelihatan kecil, sebenarnya memainkan peranan yang besar bagi membina dan menjaga keharmonian rumahtangga.

Kedua: Duduk-Duduk Bersama

Setelah masuk ke dalam rumah, Abdullah ibn Mas’ud duduk bersama isterinya sambil membelai-belainya. Ini adalah sebuah lagi etika rumahtangga yang mulia. Setelah pulang ke rumah, suami usah menghabiskan masa membaca akhbar atau menonton TV sementara isteri pula khusyuk melayari internet. Sebaliknya luangkanlah masa bersama-sama, membelai-belai sambil berkongsi cerita-cerita terkini hari tersebut. Jika suami isteri keletihan atau sibuk dengan urusan lain, sekurang-kurang cubalah untuk duduk bersama untuk 5 atau 10 minit sebelum pergi berehat atau beralih ke tugasan masing-masing.

Ketiga: Tegas Dalam Urusan Aqidah

Meskipun sejak pulang ke rumah Abdullah ibn Mas’ud berlemah-lembut dengan isterinya, ada satu perkara yang menyebabkan kelembutan itu tiba-tiba bertukar kepada ketegasan. Pertukaran ini berlaku apabila beliau mendapati isterinya melakukan sesuatu yang melibatkan syirik, yakni menggunakan tangkal benang yang telah dijampi. Abdullah serta merta mencabut benang tersebut dan membuangnya.
Akan tetapi Abdulullah tidak memarahi isterinya, sebaliknya menjelaskan bahawa : “Sungguh keluarga Abdullah tidak memerlukan lagi serba mencukupi daripada amalan syirik. Saya mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik.”
Perbuatan Abdullah mesti dicontohi oleh para suami dan bakal-bakal suami. Sebagai ketua keluarga, suami hendaklah memerhatikan urusan agama ahli-ahli keluarganya. Suami hendaklah memastikan ahli-ahli keluarga melaksanakan perintah dan menjauhi larangan agama. Akan tetapi sebelum melakukan semua itu, suami hendaklah terlebih dahulu melengkapkan dirinya dengan ilmu yang sahih dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Jangan berharap ahli-ahli keluarga akan menjadi muslim yang baik jika suami sendiri tidak menjadi muslim yang terbaik.
Selain itu, urusan agama yang berbeza memerlukan pendekatan yang berbeza. Urusan fiqh seperti solat, puasa dan menutup aurat dan semisalnya, memerlukan pendekatan yang bertahap-tahap. Urusan aqidah pula memerlukan pendekatan yang tegas lagi serta-merta kerana ia melibatkan tauhid dan syirik kepada Allah Subhanahu waTa'ala.
Tangkal dan jampi-jampian termasuk dalam urusan aqidah, oleh kerana itulah Abdullah ibn Mas’ud bersikap tegas lagi serta-merta terhadapnya. Adapun hukum terperinci tentang tangkal dan jampi-jampian, akan dijelaskan dalam penulisan akan datang insya-Allah.

Keempat: Suami Isteri Bertukar-Tukar Pandangan

Sekalipun suami ialah ketua keluarga, tidaklah bererti suami bersikap ala diktator terhadap ahli-ahli keluarganya. Jika kita perhatikan kisah di atas, Zainab dapat membela dirinya dengan berkongsi pengalaman menggunakan jampi-jampian bagi mengubati penyakit mata berair. Abdullah tidak membantah pembelaan Zainab, sebaliknya menjelaskan hakikat sebenar jampi-jampian.
Abdullah menjelaskan bahawa kadangkala jampi-jampian boleh memberi manfaat kepada pesakit. Akan tetapi sedarilah bahawa manfaat tersebut adalah tipu daya syaitan dan bukannya kesembuhan yang sebenar daripada Allah Subhanahu waTa'ala. Oleh itu para pembaca hendaklah benar-benar prihatin terhadap tipu daya ini. Kebenaran sesuatu amalan tidak diukur dengan berjaya atau gagal kerana mungkin saja ia melibatkan tipu daya syaitan. Sebaliknya kebenaran sesuatu amalan diukur dengan tunjuk ajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdasarkan hadis-hadis yang sahih. Berjaya atau tidak, maka itu di atas izin dan kehendak Allah.

Rabu, 26 Februari 2014

KEK PERKAHWINAN



Segala persiapan majlis sudah ditempah. Mudah sahaja dengan adanya perancang perkahwinan, segalanya dapat diuruskan dengan mudah. Tapi, bagaimana pula dengan kek pengantin? Lain pula ceritanya. Yang bakal ratu sehari mahukan, kek yang cantik menarik dan pastinya sedap.

Pening kepala si jejaka mencari kenalan rapat yang pandai membuat kek idaman hati dara pujaan. Mahu dipenuhi segala permintaan, tanda cinta dan sayang. Usah bimbang, ayuh dapatkan tip tatarias gubahan kek yang cantik sebagai panduan menempah kek perkahwinan untuk majlis anda nanti.

1.      Acara majlis
Gubahan tatarias kek bergantung kepada acara majlis dan keadaan. Setiap tatarias mempunyai maksud yang tersendiri dan sesuai dipadankan dengan tema majlis. Seandainya anda ingin berikan kek khas untuk hantaran perkahwinan, tatarias ringkas sudah memadai, asalkan ia tampak cantik dan comel diiringi.

Tip : Kek untuk majlis persandingan kini dihasilkan bertingkat-tingkat mengikut citarasa bakal pengantin. Ada juga yang mencecah enam tingkat tingginya. Tatarias yang sesuai adalah gubahan dekorasi yang agak padat dan berona terang agar ia tampak menonjol tatkala majlis makan beradab ingin dimulakan.

2.      Jenis kek
Sebulan sebelum anda membuat tempahan kek, lakukan tinjauan ke laman sesawang atau kedai kek untuk ketahui jenis kek yang sesuai dengan majlis perkahwinan anda. Terdapat pelbagai jenis kek yang ditawarkan kini daripada kek jenis span, kek berlapisan pelangi, kek coklat dan banyak lagi.

Tip : Elakkan menempah kek yang berasaskan gabungan ais krim dan keju yang mudah cair. Ini akan mencacatkan kek anda tatkala majlis. Anda tahu bukan, acara memotong kek biasanya diadakan setelah majlis persandingan selesai.

3.      Warna pilihan
Andalah pengantinnya, maka anda lah yang berhak menetapkan warna pilihan untuk kek majlis persandingan. Warna kek memainkan peranan penting dan berkait rapat dengan tema majlis. Sebaiknya, pilih warna kek yang agar kontra dari rona dasar pelamin. Ini akan menonjolkan keserian gubahan kek anda.


Tip : Warna biru dan kuning dari gubahan pelamin boleh juga dijadikan tema rona pilihan kek. Tetapi, perbanyakkan rona kontra dengan putih permata bersama sedikit rona kuning dan biru untuk hiasan ‘gumpaste’ kek, agar ia tampak seimbang dan tidak tenggelam di pandangan.

4.      Dekorasi pilihan
Dekorasi hiasan kek adalah berdasarkan tema majlis anda. Sekiranya tema majlis adalah taman, maka gubahan kek juga perlu ada bunga atau reben hiasan yang diperbuat dari ‘gumpaste’. Ia tidak akan cair dan kekal cantik walaupun untuk berjam-jam lamanya sepanjang majlis dijalankan.

5.      Harga tawaran
Sudah pasti tatarias gubahan kek untuk majlis anda yang istimewa ini memerlukan hasil yang menakjubkan. Namun, harganya juga perlu diambil kira. Sekiranya anda mempunyai bajet rendah, usah bimbang. Tempahan kek biasa tanpa tatarias sudah memadai. Anda juga boleh menghias gubahan kek sendiri menggunakan idea DIY.

Tip : Layari laman sesawang yang memberikan maklumat berkaitan gubahan tatarias kek yang mudah dan cantik dengan idea DIY. Anda juga boleh melakukannya sendiri di samping menjimatkan kos perbelanjaan pada kek majlis.

Tempahan demi tempahan sudah selesai satu persatu. Lega hati si dara dan teruna, diulit bayangan cinta panahan kasih berdua. Kek idaman juga sudah ditunaikan si teruna, segala impian sudah dilunaskan. Kini, hanya menunggu masa untuk diijabkabulkan. Indah sungguh episod percintaan. 

10 CARA RENCANAKAN PERKAHWINAN ANDA



Impikan majlis perkahwinan yang sempurna? Atau sesempurna mungkin? Mudah sahaja...pastikan setiap perancangan asas dijalankan dengan sebaik mungkin. Pesona Pengantin sedia membantu.
Dalam merencanakan hari bahagia anda, ada perkara yang wajib anda tahu, perlu anda tahu dan bagus juga kalau anda tahu. Tidak lah saat tiba hari bahagia anda baru terfikir, “kenapa saya tak tahu ni?” Jika anda terasa seperti ada perkara yang anda terlupa atau tertinggal untuk lakukan, mungkin tip dan trik yang kami sediakan ini boleh dijadikan panduan.
1. Tetamu Diutamakan
Pastikan jumlah tetamu yang dijemput dan anggaran yang bakal hadir (terutamanya tetamu dengan bilangan anak-anak yang mungkin anda tidak ingat berapa jumlahnya). Ini membantu dalam perancangan tempat duduk dan ruang (jika majlis di dewan atau hotel khasnya). Selain itu, penyediaan makanan juga dapat ditentukan agar tidak timbul masalah makanan tidak cukup atau kehabisan (perkara penting yang WAJIB dielakkan dalam setiap majlis).
2. Pilihan Tarikh Yang Tepat
Tarikh kahwin adalah sangat penting. Anda tentu tidak mahu tarikh yang dipilih sama dengan tarikh kahwin sanak saudara atau sahabat handai yang lain atau juga terdapat majlis syarikat yang membuatkan rakan-rakan sekerja tidak berpeluang menghadiri majlis anda nanti.
3. Ambil Kira Faktor Musim
Jangan kerana terlalu taksub dengan tarikh yang cantik sehingga anda lupa bahawa ia jatuh pada musim tengkujuh atau musim kemarau. Selain cuaca, ada juga sesetengah tempat/kawasan yang diserang dengan musim haiwan-haiwan perosak seperti  lalat, tikus atau serangga. Anda tentu tidak mahu, ‘tetamu yang tidak diundang’ menggangu majlis anda.
4. Kredit Yang Cukup
Kos kahwin memang memerlukan wang yang banyak walaupun untuk perkahwinan bajet rendah. Selain pinjaman kewangan daripada bank, keluarga dan sanak-saudara, anda mungkin boleh mengambil kad kredit yang menawarkan mata ganjaran yang tinggi. Lebih baik jika mata ganjaran yang ditawarkan boleh ditukar dengan pakej percutian, boleh juga menjimatkan kos bulan madu nanti. (Tetapi, jika anda mempunyai simpanan yang mencukupi, idea ini mungkin tidak perlu diguna pakai).
5. Kurangkan Bajet
Cara paling mudah untuk mengurangkan kos keseluruhan ialah dengan mengurangkan jumlah tetamu yang hadir. Andaikan seorang tetamu kosnya RM50, jika anda kurangkan 10 tetamu, anda jimat RM500. Jika 50 tetamu..anda tahukan berapa yang anda jimat (pasti anda tersenyum sekarang ini). Mungkin kedengaran seperti anda seorang ‘tangkai jering’ tetapi itulah hakikatnya.
6. Rancang Menu
Satu lagi kos tersembunyi yang ‘jarang’ diambil peduli. Dalam mana-mana majlis perkahwinan, makanan sering berlebihan sehingga menjurus kepada membazir. Rancang menu yang ringkas tetapi sedap dan mencukupi untuk santapan perut para tetamu. Ikut pelan pemakanan yang sihat. Yang penting perlu ada karbohidrat (nasi), protein (ayam/daging), zat mineral (acar timun/pajeri nanas/acar buah), pemanis mulut (potongan oren/pisang/agar-agar/kek) dan minuman (kurang manis tentunya). Selalunya bukan berapa jenis makanan yang dihidangkan tetapi kesedapan makanan yang menjadi buah mulut para tetamu.
7. Tawar Menawar Berkesan
Ini tip yang baik. Jangan lupa untuk melakukan sedikit (atau banyak) tawar menawar dengan setiap perkhidmatan yang anda upah untuk menjayakan majlis perkahwinan anda. Kalau boleh mendapat tajaan adalah lebih baik. Banyak yang boleh anda jimatkan.
8. Yang Tidak Hadir
Bersedia dengan kemungkinan bahawa tetamu-tetamu yang dijangka hadir tetapi tidak ‘menampakkan muka’ di majlis perkahwinan anda. Lebih merugikan jika majlis dibuat di dewan atau hotel. Jangkakan sekurang-kurangnya 20 peratus tetamu yang dijemput tidak akan hadir di saat-saat akhir. Anda perlu akui bahawa tidak semua tetamu jemputan anda mempunyai rasa tanggungjawab untuk memaklumkan ketidakhadiran mereka lebih awal ya. Pastikan anda mempunyai ‘back-up plan’ untuk memenuhi setiap kerusi yang telah dibayar itu.
9. Lakukan Satu Persatu
Kumpulkan semua rencana perkahwinan anda. Semak semuanya dan lakukan setiap perkara dalam senarai semak anda mengikut keutamaan. Jangan terburu-buru mahu melakukan banyak perkara serentak. Ambil masa untuk lakukannya satu persatu agar setiap perancangan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Cara ini anda tidak akan ‘terlepas’ atau ‘tertinggal’ apa-apa yang mungkin membawa kepada kecemasan yang tidak diperlukan.
10. Simpan Sedikit
Ini adalah tip yang sangat penting. Jangan kerana impian mahukan majlis perkahwinan yang terlalu sempurna atau lain daripada orang lain, poket anda yang sengsara. Fikirkan juga belanja-belanja lain selepas majlis perkahwinan anda. Itu lebih realistik. Jika boleh simpan atau jimatkan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah sebenar kos yang diperuntukkan. Formula ringkas yang boleh diguna pakai: 48:50 peratus jumlah keseluruhan bajet, 8:10 peratus untuk bunga, busana dan muzik, 10:12 peratus untuk khidmat jurugambar/video dan 2:3 peratus untuk jemputan dan cenderahati

KREDIT : http://pesonapengantin.karangkraf.com

SARAPAN PEMIKAT HATI SUAMI

Benar sungguh kata orang tua-tua bahawa ‘air tangan isteri, pengerat kasih suami’. Baru tiga hari bergelar isteri, anda sudah diminta untuk melayani kehendak selera suami tercinta? Sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab seorang isteri memenuhi kehendak selera suami.

Bukan tidak mahu memasak, nanti dikatakan tidak pandai pula. Ayuh, isteri tercinta rebutlah hati suami dengan idea menu pilihan sarapan pagi dalam menambat cinta si dia. Pautan kasih suami pasti akan terpatri padamu sepanjang masa, setiap hari.  Ketika bulan puasa ini, jangan pula praktiskan sarapan ini ya.  Boleh diamalkan untuk bersahur dan ketika hari-hari biasa.  Amalkan dan ianya akan menjadi kebiasaan kepada anda.  Sesibuk mana pun anda, luangkan sedikit masa untuk menjamu pasangan.  Nescaya kasih dan sayang itu akan terbentuk erat.

Hari Isnin
Ø  Sarapan Pagi
Sandwic Telur dan segelas susu segar
Sediakan menu ringkas sandwic telur dengan sayur salad segar, hirisan tomato, dan sedikit mayones. Telur pula boleh dimasak dua cara, sama ada goreng atau rebus. Sekiranya suami sukakan telus rebus, variasikan rasa telur yang dihancurkan dengan sedikit serbuk lada putih atau serbuk lada hitam. Bangkitkan selera suami dan beri tenaga yang diperlukan sebelum dia keluar ke pejabat. Susu segar mampu memberikan tenaga di waktu pagi dan mengelakkan tubuhnya keletihan.

Hari Selasa
Ø  Sarapan Pagi
Roti bakar berjem coklat Nutella dan segelas milo panas
Menu ini sangat ringkas dan mudah untuk anda sediakan kepada suami tercinta. Dengan dua keping roti bersapu jem Nutella, sudah mencukupi untuk memulakan aktiviti di pagi hari. Milo panas kegemarannya pula sedap di minum di pagi hari. Pasti sayang akan lekat selamanya.

Hari Rabu
Ø  Sarapan Pagi
Koko Crunch dan segelas minuman chocomalt panas
Bijirin gandum ini sangat berkhasiat dan bakal menarik hati suami anda. Semangkuk Koko Crunch yang dicampur dengan susu segar akan menjadikan ia lebih lazat lagi. Walaupun menu ini kelihatan ringkas, namun kandungan karbohidrat kompleks, vitamin dan mineral di dalamnya akan menjadikan hari anda dan suami sihat serta bertenaga.

Hari Khamis
Ø  Sarapan Pagi
Nasi Himpit Bersayur Lodeh
Menu ini kelihatan agak berat tetapi sesuai untuk sarapan pagi. Suami anda pasti menggemari menu nasi himpit di mana ia mengenyagkan untuk tempoh lama. Di hari bekerja, rasa kenyang akan dirasai sehingga ke petang hari.

Hari Jumaat
Ø  Sarapan Pagi
Bijirin Quaker Oat atau Nestum
Tiada alasan untuk tidak bersarapan pagi walaupun sibuk bersiap untuk ke pejabat. Dengan penyediaan bijirin Quaker Oat atau Nestum, hati suami dapat dicuri. Mudah sahaja untuk menyediakan menu ini tanpa memerlukan kepakaran dalam bidang masakan.

Hari Sabtu
Ø  Sarapan Pagi
Telur hancur, kacang panggang, sosej dan jus Oren.
Dalam tempoh 10 minit sahaja menu ini bakal menambat hati suami anda. Telur hancur ringkas yang dicampur sesudu susu segar serta mayones dan digoreng dengan sedikit mentega akan memberikan rasa yang enak. Dua sosej rebus dan kacang panggang tambah menyelerakan menu pagi anda dan suami! Kembalikan kesegaran pagi, dengan tegukan jus oren segar sebelum anda memulakan aktiviti seterusnya.

Hari Ahad
Ø  Sarapan Pagi
Nasi Lemak dan Nescafe panas
Ceriakan pagi hujung minggu dengan menu sarapan yang sedikit berat. Walaupun agak sukar kepada anda yang baru bergelar isteri dan tidak pandai memasak, anda perlu mengambil hati suami dengan menunjukkan kebolehan ini. Dapatkan maklumat tentang masakah daripada laman sesawang. Nasi lemak telur goreng semestinya sedap dan enak dimakan bersama suami di pagi hari sambil bersantai menonton televisyen. Gabungan minuman Nescafe panas pula menyegarkan dan menggembirakan hujung minggu anda suami isteri.

Kasih dan sayang suami akan sentiasa terpancar di wajahnya dengan menu sarapan hebat seperti di atas. Dengan senyuman manis terpatri, di kala menghadap hidangan sarapan yang disediakan anda, pasti tersisip rasa cinta yang bugar berpanjangan.

DIY PHOTO BOOTH



Jika di lihat dari perspektif semasa, photobooth menjadi sebagai salah satu dekorasi perkahwinan yang penting kini.  Jika di kawasan bandar, mungkin fenomena dekorasi ini agak biasa kita lihat dibandingkan dengan kawasan luar bandar di mana trend nya semakin berkembang tetapi tidak mendapat perhatian yang khusus daripada tetamu yang hadir. 
Photobooth adalah antara salah satu dekorasi tambahan kepada majlis perkahwinan selain daripada pelamin ataupun meja santapan pengantin dan biasanya terdapat sedikit ruang untuk pasangan pengantin mengabadikan momen indah mereka seperti gambar mahupun barang-barangan kenangan dan akan ditambah dengan hiasan seperti kerusi dan banner.  Anda boleh mendapatkan servis untuk dekorasi photobooth ini daripada orang persendirian atau butik pengantin yang menawarkannya.  Tetapi untuk tip DIY yang lebih menjimatkan dan juga mudah untuk anda.  Apa kata ikuti tip ini agar DIY photobooth anda menjadi kenyataan seperti yang anda inginkan.
  1. Kos
Dapatkan anggaran bajet yang anda mampu dan berbaloi anda rasakan untuk pelaburan dan penyediaan photobooth ini.  Kos yang bermula daripada bahan-bahan yang digunakan sehinggalah kepada hasilnya setelah anda selesai menggunakannya.  Pastikan juga aksesori yang bakal anda beli boleh disimpan dan digunakan kembali apabila diperlukan.  Lebihkan bajet anda untuk membeli bunga-bunga mengikut warna yang telah anda tentukan. 

  1. Tema
Pemilihan tema yang tepat sangat penting untuk photobooth anda.  Tema yang unik amat digalakkan.  Contoh seperti tema cowboy, retro, klasik, traditional atau english adalah antara yang menarik untuk anda pilih.  Jika tema yang berkaitan dengan kisah cinta mahupun latar belakang pekerjaan anda berdua juga boleh menjadi panduan untuk anda memilih tema ini.  Barang-barang yang dipilih juga harus bersesuaian dengan tema yang telah anda pilih.

  1. Lokasi
Setelah dikenal pasti kos dan tema yang anda inginkan, adalah penting untuk anda tentukan di mana kah lokasi yang sesuai untuk meletakkan photobooth anda ini.  Jika anda mengadakan majlis di rumah contohnya, photobooth seeloknya diletakkan berhampiran pintu masuk atau di bawah khemah dan mudah dilihat.  Berlainan pula jika anda mengadakan majlis perkahwinan di dewan kerana lokasi untuk photobooth tidak terhad.

  1. Latar Belakang
Untuk mendapatkan kesempurnaan kepada photobooth anda, cipta satu hiasan tambahan kepada dinding yang menjadi latar belakang photobooth itu.  Menggunakan tirai atau langsir yang berwarna lembut sangat membantu dalam menghasilkan impak sederhana tetapi klasik. 
  1. Guest Book       
Antara aksesori yang paling penting di meja photobooth anda nanti adalah guest book.  Boleh dihasilkan sendiri atau dapatkan tempahan di mana-mana kedai cetakan kerana tetamu berpeluang untuk memahat memori bahagia mereka terhadap majlis anda di dalam guest book ini nanti.  Ia menjadi salah satu tanda ingatan yang anda boleh kekalkan sepanjang hayat. 

TIP MEMILIH BAJU NIKAH

1) Pilihlah baju yang ringkas dan sederhana serta tidak terlalu sarat dengan labuci namun masih kelihatan cantik.
2) Pilihlah fesyen yang sopan seperti baju kurung moden, jubah dan lebih baik jika disertakan dengan pengayaan tudung atau selendang.

3) Kebiasaan fabrik yang digunakan adalah dari jenis lace, satin, chiffon atau wollen yang dapat memberikan keselesaan kepada si pemakai.

4) Pemilihan warna kebiasaannya lebih kepada warna-warna cerah yang nampak suci seperti putih, cream atau warna-warna pastel.

5) Pilihlah potongan baju yang tidak terlalu ketat agar nampak lebih sopan dan selesa serta memudahkan pergerakan semasa majlis nikah nanti.
6) Pemakaian aksesori tambahan boleh memberikan gaya mewah tetapi hendaklah dipakai dengan tidak terlalu banyak.

7) Pemakaian berkonsepkan arab dengan pengunaan niqab yang menutup sebahagian dari wajah boleh memberikan sedikit impak kelainan.

Selasa, 25 Februari 2014

10 PERKARA BERKENAAN KAMAR PENGANTIN



Pengantin masa kini, lebih menggemari kamar yang mempunyai konsep ringkas tetapi menarik.  Yang lebih penting, dekorasi kamar perlu praktikal dan mampu memberi keselesaan yang sepenuhnya.  Beberapa perkara perlu dititikberatkan untuk memastikan hiasan kamar adalah kreatif dan menarik seiring dengan perkembangan semasa.  Bermula daripada pemilihan perabot sehingga ke hiasan dalamannya.  Disertakan beberapa tip apa yang perlu ada di kamar pengantin anda untuk memberikan sedikit sebanyak idea kepada bakal-bakal pengantin.

  1. Tentukan terlebih dahulu warna atau tema kamar pengantin.

  1. Pilih konsep bersesuaian sama ada anda mahukan konsep yang elegen, ringkas, kemas, selesa ataupun klasik.


  1. Pilih set kamar yang bertepatan dengan tema.  Pemilihan penting sebelum memberi fokus pada hiasan langsir, latar belakang kelambu hiasan katil dan permaidani serta cadar.

  1. Pilih cadar berwarna putih atau krim dan sebaik-baiknya 100% ‘cotton’.  Utamakan keselesaan dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli.  Elakkan dari memilih cadar bercorak besar kerana ia boleh menyebabkan kamar tampak kecil dan sempit.


  1. Gantungkan satu atau beberapa bingkai gambar di dinding dan lebih elok jika di atas kepala katil.  Elakkan gambar potret, sebaik-baiknya pilihlah gambar yang mempunyai unsur ketenangan dan romantis seperti bunga atau corak abstrak berbentuk hati dan mempunyai kesinambungan antara satu sama lain.

  1. Jika anda bercadang untuk meletakkan hantaran di atas katil untuk upacara membatalkan air sembahyang contohnya, elakkan memilih tilam berspring kerana ia boleh merosakkan keadaan fizikal tilam serta tidak sesuai untuk meletakkan hantaran.  Sebaiknya, sediakan sedikit ruang untuk meletakkan barang hantaran anda itu.


  1. Katil yang dihiasi dengan jambangan bunga yang segar sangat romantis dan menenangkan, tetapi lebih elok jika jambangan bunga yang dipilih itu tidak terlalu besar dan sarat kerana itu akan menimbulkan ilusi sarat untuk kamar anda.  Pilihlah bunga yang lebih kecil dan mempunyai warna yang lembut tidak kira untuk bunga segar mahupun artifisial ataupun hanya taburkan kelopak bunga di atas katil sahaja sebagai pelengkap hiasan.

  1. Jangan dilupa penggunaan wangian yang minima untuk kamar juga sangat penting, gunakan sahaja daun pandan yang diracik-racik dan campurkan dengan air mawar.  Cubalah pasti kamar anda akan berbau harum.


  1. Untuk hiasan di atas meja solek juga penting walaupun dianggap remeh, ini kerana anda akan disolek di kawasan ini, pasti ia akan menjadi tumpuan bagi tetamu.  Tidak perlu terlalu sarat dengan barangan, hanya perlu letakkan sejambak bunga serta lilin sebagai hiasan di atas meja solek.

  1. Pencahayaan juga penting.  Gunakan lampu meja atau lampu katil yang bercahaya kuning dan boleh dimalapkan untuk memberikan efek ekslusif dan romantis .

5 PETUA HILANGKAN PENAT BEKERJA

Setelah seharian bekerja di pejabat, apatah lagi jika anda mempunyai pekerjaan yang memerlukan anda untuk keluar dan berjumpa dengan orang ramai.  Pasti waktu untuk pulang adalah perkara yang terbaik untuk anda fikirkan.  Tetapi, bila difikirkan dengan keadaan lalu lintas yang sesak dan padat.  Hati tiba-tiba rasa semacam penat dan tidak bermaya.  Apa kata selepas pulang ke rumah anda gunakan petua ini untuk cergaskan balik tubuh anda terutama buat bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan.  Anda pasti mahu tampil segar dan berseri di hari bahagia nanti kan. Ikuti petua-petua ini untuk mengekalkan kesihatan.

  1. Minum air limau
Dapatkan beberapa biji limau dan perahkannya bersama secawan air putih.  Sebaiknya air suam kerana ia akan lebih memberi keselesaan kepada tubuh apabila anda nikmatinya.  Jangan campurkan gula, hanya perahan air limau sahaja sudah memadai.  Jika tidak suka dengan limau nipis atau limau kasturi, gunakan lemon sebagai alternatif.  Amalkan setiap hari, ia bukan sahaja untuk menghilangkan penat badan bahkan untuk mengempiskan perut juga buat anda yang terasa di bahagian perut agak buncit.

  1. Mandi air panas
Sediakan air panas suam untuk anda siramkan ke bahagian badan, tidak perlu kuantiti yang banyak.  Tetapi pastikan air itu tidak terlampau panas dan sesuai untuk kulit anda.  Jika tidak mempunyai alat pemanas air hanya masak air dan campurkan bersama air siraman anda nanti.  Selain itu, air panas juga sesuai untuk anda rendamkan ke kaki kerana rasa panasnya akan melegakan sakit kaki anda setelah seharian mengenakan kasut bertumit tinggi atau berdiri.  Sedikit sebanyak ia akan melancarkan aliran darah anda ke kepala dan mengurangkan keletihan badan serta sakit kepala.

  1. Bersenam
Luangkan sedikit masa untuk bersenam ,jika tidak berkesempatan hanya lakukan aktiviti di rumah seperti mengemas dan juga menanam.  Ini kerana pengeluaran peluh ketika melakukan aktiviti seperti ini membantu badan anda untuk berfungsi dengan lebih baik.  Dalam masa yang sama memberi otak anda oksigen yang lebih banyak kerana aktiviti kerja di pejabat yang berhawa dingin contohnya boleh mengurangkan penggunaan fungsi otak dengan baik.  Jadi dengan cara ini, adalah satu latihan yang baik.

  1. Minum air teh hijau
Air teh yang diamalkan oleh masyarakat cina ini sebenarnya amat baik, air teh yang berwarna hijau dan tidak mempunyai gula.  Terdapat banyak anti-oksida yang membantu untuk menyegarkan tubuh dan minda dalam masa yang sama.  Ia juga dapat mengurangkan kadar gula di dalam darah.

  1. Urutan
Urutan untuk seluruh badan adalah sangat penting untuk tubuh anda.  Tetapi jangan amalkan urutan seluruh badan dengan kerap kerana akan terdapat kesan negatif terhadap aktiviti itu.  Sebaiknya sebulan 2 kali sahaja anda amalkan urutan untuk badan daripada bahagian kepala sehinggalah kepada urutan kaki.  Selain melancarkan darah, ia juga menyegarkan tubuh anda

Isnin, 24 Februari 2014

LILIN AROMA WANGI


Bahan-bahan: 
1. Lilin hiasan
2. Reben
3. Bunga artifisial
4. Kuntuman bunga
5. Gam
6. Gunting

Langkah-langkah:
1. Sediakan bahan-bahan yang diperlukan
2. Langkah pertama, guntingkan kuntuman bunga artifisial yang dipilih
3. Kemudian gamkan ditengahnya dengan inti bunga untuk lebih menarik. Ketepikan bahan itu
4. Gamkan reben secara melintang di bahagian belakang bekas lilin supaya gam tidak comot
5. Ikatkan ke atas seperti di dalam gambar
6. Serikan di atasnya dengan bunga yang diguntingkan tadi sebagai hiasan kepada lilin anda.

Selamat mencuba.

10 CARA KURANGKAN TEKANAN



Menjelang perkahwinan, yang pasti menjadi masalah bagi bakal pengantin ialah tekanan yang terpaksa dilalui untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar.   Dari A sehingga Z semuanya adalah di bawah tanggungan anda kerana anda adalah seperti perancang untuk majlis anda sendiri.  Ia memerlukan komitmen dan juga tenaga anda, tidak hanya dari segi kewangan bahkan dari segala segi.  Mari ikuti tip untuk cara bagaimana anda boleh mengurangkan tekanan tidak kira di tempat kerja mahupun di rumah. 
  1. Solat adalah senaman yang paling mudah dan mujarab.  Dengan solat juga apa yang terbeban dalam fikiran anda akan hilang secara semula jadi.
  1. Biasanya kerisauan dan tekanan boleh mempengaruhi pola pemakanan anda.  Sesetengah bakal pengantin yang mengalami kerisauan apabila persiapan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tertentu, anda akan merasa cepat kelaparan.  Ini secara tidak langsung anda akan mengambil segala makanan yang ada di depan mata.  Ini adalah salah satu gaya hidup yang secara tidak langsung menyumbang kepada pertambahan berat badan.
  1. Sebaliknya ia menjadi satu kelebihan buat bakal pengantin jika kerisauan dan tekanan untuk persiapan perkahwinan yang menjadikan kepala anda rungsing akan membuatkan anda menjadi kurang berselera terhadap makanan.
  1. Buatlah sesuatu perkara dengan teratur mengikut apa yang anda inginkan.  Ambil sedikit masa untuk buat jadual bagi memastikan yang perjalanan hidup, diet dan urusan perkahwinan anda lancar. 
  1. Carilah sedikit masa untuk anda meluangkan masa bersama sahabat, kongsi aktiviti yang menarik bersama mereka dan minta juga pendapat dan nasihat dari sahabat anda yang telah dulu berkahwin tentang segala persiapan yang anda lakukan.  Ini amat membantu.
       6. Ambil juga sedikit masa untuk anda pejamkan mata dan merehatkan minda.  Yakin pada diri anda boleh lakukannya dan mampu menjalani setiap yang dirancang dengan sukses dan berjaya.
  1. Urutan.  Semua orang suka dengan urutan.  Ambil masa membelai tubuh badan anda sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.  Dengan cara mudah ini pasti semua aktiviti dan perancangan anda akan menjadi lebih mudah.
  1. Pemakanan perlu sihat.  Menurut kata pakar, makanan yang sihat seperti bijirin dan protein boleh meningkatkan mood dan memberi tenaga yang berpanjangan untuk anda menangani segala masalah yang mendatang.  Makanan amat berkesan untuk meredakan tekanan adalah seperti blueberi, ikan salmon dan badam.
  1. Tidur dengan cukup meskipun anda perlu selesaikan pelbagai perkara.  Jika kitaran tidur anda terganggu dan anda mengalami masalah untuk tidur.  Ia mampu untuk menyebabkan anda menjadi semakin tertekan. 
  1. Elakkan perkara negatif dalam fikiran anda.  Perkara negatif yang mampu membuatkan mood dan minda anda menjadi tidak tenteram.  Nikmati apa sahaja yang terjadi di sekeliling anda dengan positif kerana itu akan menjadikan anda lebih gembira dan bahagia.

sumber gambar : internet

3 PERKARA PENTING BERKAITAN DULANG HANTARAN



Setiap daripada kita tanpa mengira majlis yang ingin diraikan, baik pertunangan ataupun majlis pernikahan, pastinya akan berbalas hantaran antara lelaki dan wanita.  Jumlah hantaran daripada pihak lelaki adalah kurang daripada jumlah hantaran pihak wanita dan pilihan jumlah hantaran adalah dalam kiraan ganjil.  Contohnya pihak lelaki memberi 5 dulang hantaran dan pihak wanita akan membalas sebanyak 7 dulang hantaran. 

Dahulu, barangan hantaran kebiasannya adalah makanan dan persalinan pengantin. Dengan peredaran masa, barangan hantaran kini lebih kepada keperluan semasa pasangan. Gubahannya pula adalah sangat moden dan mengikut tema sesuatu majlis itu. Penggunaan gabungan bunga artifisial dan juga bunga segar menambahkan lagi nilai estetika sesuatu gubahan hantaran.  Mari ikuti beberapa tip penting sebelum anda menentukan barangan untuk hantaran serta gubahannya, untuk majlis bertunang mahupun majlis pernikahan. 

1.       Berapa bajet anda?
Sebelum memulakan pembelian untuk barangan hantaran anda, adalah penting untuk anda menyenaraikan kesemua barangan itu. Contohnya alat solek, coklat atau sebagainya.  Seelok-eloknya beli ketika ada jualan murah atau potongan harga.  Jika ada barangan yang setanding barangan berjenama tetapi harganya lebih murah, pilih barangan tersebut. Tidak perlu terlalu berhabis hanya untuk jenama semata-mata, sebaiknya untuk barangan hantaran banyakkan makanan kerana ia boleh dikongsi bersama seisi keluarga anda. 

2.       Pilihan Barang Hantaran
Ini sangat penting untuk anda kenal pasti apakah barangan yang perlu anda letakkan nanti di atas dulang hantaran. Itu yang menjadi perkara pokok ketika menyediakan barangan hantaran. Sebagai contoh, jika daripada pihak perempuan perlu membalas sebanyak 7 dulang hantaran, 4 daripada dulang itu digunakan untuk meletakkan barangan makanan seperti kek, kuih muih, buah-buahan serta coklat dan yang selebihnya adalah untuk barangan peribadi idaman anda. 

Ketika memilih barangan peribadi untuk anda dan pasangan, pergilah berdua agar tidak ada yang berkecil hati nanti dengan pilihan anda.  Dari untuk membuat kejutan, ia akan menimbulkan kesedihan pula nanti. 

3.       Tempah atau Gubah Sendiri?
Jika anda tidak mempunyai bajet besar, anda boleh membuat tempahan khas di butik pengantin dan mereka akan membuat gubahan berdasarkan bajet dan juga kesukaan anda.  Ia juga boleh digubah mengikut warna tema anda sendiri.  Anda juga boleh memilih untuk menggunakan bunga segar ataupun bunga artifisial, tetapi harganya pasti berbeza. 

Tetapi, jika anda tidak mempunyai bajet besar ataupun ingin berjimat di dalam perbelanjaan. Tidak salah untuk hanya mengubah hantaran anda sendiri menggunakan material yang lebih menjimatkan. Untuk dulang hantaran itu sendiri, anda boleh menyewa daripada butik-butik pengantin atau beli sahaja di kedai yang menjual barangan hantaran.  Ini kerana dulang hantaran itu boleh digunakan semula nanti untuk majlis yang lain. 

Dapatkan bunga artifisial mengikut warna tema. Gubahkan ia agar tampak kreatif atau dapatkan rujukan daripada majalah Pesona Pengantin untuk gubahan hantaran dan cara susunan barangan yang betul.   

Gubahan hantaran yang minimalis dari segi penggunaan bunga serta menggunakan warna yang lembut adalah sangat baik kerana ia akan kelihatan lebih eksklusif tetapi tetap memperlihatkan hasil kerja anda sendiri.  Moga sedikit sebanyak dapat membantu anda.  Selamat mencuba.

Sabtu, 22 Februari 2014

TRIBUTE TO ALLAHYARHAM DATUK SUDIRMAN HJ ARSHAD

 

Petikan akhbar 22 tahun yang lalu. 

 Latar Belakang Utama:
Sudirman Haji Arshad (beliau dilahirkan pada 25 Mei 1954 dan meninggal pada 22 Februari 1992 pada umur 37 tahun). Tokoh ini adalah seorang penyanyi, penghibur, penggubah, penulis, pengarang buku anak, pelukis kartun, pengusaha. Selain itu, beliau juga pernah dinobatkan sebagai "Penghibur Nombor Satu Asia" setelah pertama kali memenangi Anugerah Penyanyi Asia pada tahun 1989 di London, Inggeris. Sudirman juga diberi julukan sebagai "Penghibur Milik Rakyat", "Seniman Rakyat", dan "Elvis-nya Malaysia".
 
Riwayat hidup:
Sudirman dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 25 Mei 1954. Ayahnya adalah Haji Arshad bin Haji Hassan, seorang pengurus Perusahaan Bus Temerloh (Temerloh Bus Company) dan politikus UMNO Temerloh Pahang. Ibunya Puan Hajjah Romlah binti Dahalan, juga aktif berpolitik sebagai Ketua Wanita UMNO Pahang Selatan dan Wakil Rakyat Pertama 1955 mewakili daerah Temerloh, Pahang. Ibunya meninggal pada usia 32 tahun ketika Sudirman masih berusia lima tahun akibat kanser.Sudirman adalah anak bongsu dari enam adik-bradiknya. Ia telah aktif bernyanyi dari kecil, dan di sekolahnya ia memasuki pertandingan syair, pidato, pantun, kuiz, dan terlibat dalam pertunjukan teater dan paduan suara sekolah. Beliau mulai bersekolah pada tahun 1961, dan pada tahun 1976 ia melanjutkan perguruan tingginya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sudirman mulai mencatat namanya sebagai penyanyi ketika ia merebut gelaran Bintang RTM yang diadakan di Melaka pada 10 Ogos 1976 dengan membawakan lagu "Seruling Bambu", "Big Spender", dan "Jali-jali", sebuah lagu Betawi.
 
Sebagai artis:
Di tahun 1986, Tourism Malaysia menobatkan Sudirman sebagai "Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia". Sudirman juga pernah dilantik sebagai duta perusahaan terkenal seperti Proton, Malaysia Airlines, Honda Cup, dan sebagai honored pioneer card member dengan Hong Leong.Pada 15 April 1986, Sudirman mengukir namanya di dalam Malaysia Book of Record setelah mengadakan konsert di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Beliau berhasil mengummpulkan hampir 100 ribu penonton warga kota yang berduyun-duyun untuk menontonnya.Konsert jalanan seperti itu adalah sebagai tanda terimakasih Sudirman kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel atau konsert mahalnya.Semasa pertandingan juara lagu TV3 1987, Sudirman memenangi "Anugerah Persembahan Terbaik" kerana penampilannya begitu menyayat hati sewaktu mendendangkan lagu Merisik Khabar dengan petikan pemetik api simboliknya. Malah ia merupakan satu-satunya seniman yang dapat menyanyi dengan fasih berbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta menggubah lagu, sehingga berhasil mencuri hati setiap golongan masyarakat. Walaupun sibuk dan sudah terkenal, ia masih meluangkan waktu untuk belajar vokal dari penyanyi klasik terkenal bernama Florence Fong. Sudirman juga seorang yang bijak bekerja, ia bekerjasama dengan produser, suka memberi idea dengan penerbit untuk menghasilkan yang terbaik. Ia memiliki kreativiti yang amat besar. Ia juga amat unik dengan penjiwaan di atas pentas, bukan saja kerana nyanyiannya, tapi tingkah lakunya yang terbuka, bekerja keras, menghormati seni dan rakan-rakannya, menjadikannya ia disenangi.Kejayaan Sudirman sebagai penghibur juga tidak dapat lari dengan lagu-lagu popular gubahan komposer terkenal seperti Datuk Ahmad Nawab, Ooi Eow Jin, S. Atan, Manan Ngah, Osman Ghani, Kassim Masdor dan M.Nasir. Semasa hayatnya, Sudirman sangat mengutamakan pemilikan hak cipta. Dia mempertahankan nama dan haknya guna memastikan tidak ada pihak ketiga yang mengambil kesempatan.

Pernikahan:
Setelah menyelesaikan pengajian di Universiti Malaya, pada 14 Februari 1981, Sudirman bernikah dengan teman semasa kecilnya yang bernama Kamariah "Kay" Jamaluddin. Namun pernikahan ini hanya berjalan selama tiga tahun, dan mereka tidak mempunyai seorang anak. Sudirman merekamkan rasa dukanya kedalam lagu "Terasing" dan "Merisik Khabar", ia juga menciptakan lagu "Setiamu Tiada Lagi" yang dibawakan oleh Ibnor Riza. Setelah bercerai, ia menumpukan seluruh tenaganya pada kariernya, termasuk menulis, melukis, dan mendirikan perusahaannya sendiri.

Kematian:
Pada 17 Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke ruang ICU di Hospital Tawakkal Kuala Lumpur selama empat hari. Beliau dilaporkan pengsan setelah terjatuh.Selepas kejatuhan itu, Allahyarham Sudirman jatuh sakit selama tujuh hari dan keluarganya merahsiakan penyakit dan lokasi ia dirawat. Pada 22 Februari 1992, hari Sabtu jam 4:00 pagi, ketika berusia 37 tahun, Sudirman meninggal dunia dirumah kakaknya Rudiah bt. Hj. Arshad Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Jenazahnya dibawa pulang ke Temerloh, Pahang dan dimakamkan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama jam 3:45 petang - di sebelah pusara orang tuanya. Ribuan penggemarnya, termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr. Mahathir Mohamad datang menziarahi jenazahnya yang dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi dunia hiburan Malaysia.
 
P/s : Al Fatihah.Jasamu tetap dikenang sampai bila-bila.

Khamis, 20 Februari 2014

TIP URUS RUMAHTANGGA UNTUK WANITA BEKERJAYA



Begitu banyak persoalan yang diiutarakan oleh para wanita yang bekerja di luar rumah, seperti bagaimana hendak mengatur waktu antara tuntutan kerja dan tanggungjawab mengurus rumah tangga agar dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Dalam mengatasi pertembungan konflik tugas, tidak dinafikan ramai juga wanita hari ini mampu menikmati ‘peranan berganda’ itu dengan jayanya. Namun, ada juga yang merasa sukar hingga akhirnya timbul persoalanpersoalan rumit yang semakin berkembang dalam kehidupan sehari-hari. Justeru kaum hawa hari ini perlu bijak menjalankan tanggungjawab kerana status sebagai isteri dan ibu tidak memungkinkan anda mengelak daripada melakukan tugas di rumah. Ikuti tip berguna untuk membantu anda melakukan tanggungjawab urus rumah tangga dengan lebih mudah dan efektif.
Mengemas Rumah
Ikut arah jam
Sekiranya anda ingin mulakan mengemas di sesuatu kawasan, pastikan anda mengemas mengikut arah jam. Sebaiknya anda mula mengemas di bahagian dapur dahulu kemudian barulah di ruangan lain. Tetapkan titik permulaan dan ikutlah arah putaran jam. Cara ini akan lebih sistematik dan mempercepatkan proses anda untuk mengemas rumah.
Dari atas ke bawah
Untuk mempercepatkan lagi proses anda mengemas rumah, anda dinasihatkan untuk bermula mengemas dari bahagian atas kemudian ke bawah. Ini untuk mengelakkan anda membuat kerja yang sama berulang kali. Bayangkan sekiranya anda bermula mengemas dari bahagian bawah, apabila tiba masa untuk mengemas bahagian atas pasti kotoran yang anda kemas tadi akan terjatuh. Ini akan menambahkan lagi kerja anda.
Kurang bergerak
Contoh paling jelas untuk mengurangkan gerakan ialah ketika mencuci pinggan. Ada baiknya letakkan rak untuk menggeringkan pinggan mangkuk yang telah dicuci berdekatan dengan singki. Atau jika ruang dapur berkeluasan terhad, anda perlu mencuci pinggan mangkuk dan sediakan satu bekas untuk mudah anda mengumpulkan pinggan tersebut. Apabila bekas sudah penuh barulah anda mengangkat bekas tersebut dan sekali gus mengurus pinggan mangkuk untuk disimpan di dalam kabinet.
Gunakan bantuan mesin
Masa kini begitu banyak mesin atau gajet yang ada ditawarkan di pasaran. Seharusnya penggunaan mesin atau gajet dalam tugas membersihkan rumah harus digunakan sepenuhnya untuk membantu meringankan dan mempercepatkan tugasan di rumah. Contohnya penggunaan penyedut hampagas, penggunaannya lebih mudah untuk membersihkan habuk berbanding jika anda menggunakan cara tradisi menggunakan penyapu.

Memasak
Beli perencah segera
Memasak dengan menggunakan sediaan perencah dapat memudahkan anda memasak dan menjimatkan masa. Kini, terdapat begitu banyak bahan perencah ditawarkan di pasaran seperti perencah nasi goreng, perencah ayam masak merah dan banyak lagi hinggalah perencah rendang sekali pun. Semua tersedia untuk anda memilih dan nikmatinya.
Sediaan bahan resipi lebih awal
Jika ingin menggunakan ramuan sendiri, ia juga tidak menghalang untuk anda memasak dengan cepat dan mudah. Cuma persediaan bahan perlulah dilakukan lebih awal dan bukannya ketika ingin memasak. Contohnya, menyediakan hirisan bawang atau ramuan di malam hari dan disimpan di dalam peti sejuk. Apabila hendak memasak di pagi harinya, anda boleh terus menggunakan bahan tersebut.
‘Slow Cooker’- satu pelaburan yang bermanfaat
Ramai wanita hari ini memasak menggunakan ‘slow cooker’ dan menjadikannya satu alat memasak yang penting dan utama. Anda hanya perlukan 10-15 minit di waktu pagi untuk memasukkan bahan-bahan di dalam ‘slow cooker’ anda, hidupkan dan biarkan sahaja seharian untuk dimasak. Pulang ke rumah, makanan yang panas telah tersedia.

PRAKTIS 5S DI RUMAH
1. SEIRI – SISIH
Cuba lihat di sekeliling rumah yang penuh dengan pelbagai barangan. Asingkan yang mana masih boleh digunakan dan yang rosak buangkan sahaja.
2. SEITON – SUSUN
Susun perabot dan aksesori yang ada secara kemas dan teratur. Kaedah ini juga akan dapat mengelakkan rumah kelihatan semak dan sesak.
3. SEISO – SAPU
Lakukan pembersihan atau menyapu lantai setiap hari. Jangan tunggu hujung minggu untuk melakukannya.
4. SEIKETSU – SERAGAM
Walaupun ruang kediaman asalnya berkeadaan bersih dan kemas, ia pasti akan menjadi berselerak apabila digunakan. Oleh itu, anda perlu mengulangi seiri, seiton dan seiso untuk memastikan keadaan kediaman sentiasa bersih dan kemas.
5. SHITSUKE – SENTIASA AMAL
Amalkan sistem 5S secara berterusan hingga menjadi budaya di dalam rumah. Untuk itu anda perlu mendisiplinkan ahli keluarga yang lain.

RUSTIC ENGLISH CITARASA PELAMIN RINGKAS TETAPI MENARIK



Pelamin yang dipilih dengan tema ala rustic english memang menarik perhatian kerana menampilkan ciri-ciri unik perhiasan untuk dekorasi dewan.  Seperti pelamin unik yang dikongsikan pasangan Nadhirah dan Zhafirin (pembaca pesona pengantin) ini mengetengahkan elemen kotak yang diperbuat daripada kayu sebagai motif utama memberi kelainan tersendiri.  Warna yang dipilih juga sangat lembut dan kena dengan busana pilihan pengantin. Bunga-bungaan segar pula melengkapkan lagi gaya rustic english yang ringkas tetapi masih tampak eksklusif.    

Pasangan ini memilih layar putih sebagai tabir, juga sangat membantu dalam menjayakan tema ini kerana ia menampakkan lagi keserasian warna.  Dalam pemilihan pelamin atau tema untuk perkahwinan anda, digalakkan supaya tidak memilih warna yang terlampau terang atau lebih dari tiga warna untuk dekorasi.  Ini kerana warna yang terlalu sarat boleh menyebabkan anda akan dibelakangi oleh dekorasi itu sendiri, walhal anda yang patut diraikan.  Ini yang selalu terjadi jika anda salah dalam pemilihan tema dan warna yang betul. 

Untuk lebih menonjolkan cita rasa pelamin dan tema ala rustic english ini, mungkin anda boleh memilih busana persandingan yang agak terang sedikit agar menjadi perhatian semua orang yang bertandang.  Pemilihan bunga yang lebih banyak dan segar juga sangat penting dalam memastikan pelamin idaman menepati kehendak dan memberi personanya yang tersendiri pada majlis raja sehari anda.

Sumber : http://pesonapengantin.karangkraf.com

TIP MEMILIH CINCIN PERKAHWINAN



Cincin perkahwinan begitu simbolik dengan ikatan suami isteri. Tidak lengkap majlis perkahwinan itu tanpa acara menyarung cincin dari pihak perempuan dan lelaki. Ianya juga melambangkan satu ikrar kepada permulaan hubungan yang suci dan ikhlas, juga sebagai tanda pengorbanan suami kepada isteri dan sebaliknya.  Ketahuilah beberapa tip berguna untuk pembelian cincin ini.

1. Ketahui perbezaan bentuk cincin yang  diingini dan pilihlah mengikut karektor diri.

2. Jangan terpengaruh dengan rekaan bentuk cincin. Ini kerana, berkemungkinan ianya tidak sesuai di jari anda. Jadi, cubalah kesemuanya yang anda berminat.

3.  Penggayaan cincin di jari adalah berbeza-beza. Sekiranya, jari anda mempunyai jari yang halus dan kurus, elakkan daripada memakai cincin berbentuk besar.

4. Kaji selidik kandungan dan kesesuaian cincin untuk anda dan pasangan. Pilihlah warna dan bentuk yang sesuai mengikut warna kulit anda.

5. Bersabar dalam pemilihan cincin dan buatlah keputusan yang terbaik.

6. Rajinkan diri anda untuk membuat perbandingan di semua kedai emas dan permata yang berdekatan untuk idea cincin terkini dan sesuai buat pasangan anda.     

7. Pilih beberapa bentuk cincin dan sarungkan satu persatu ke jari manis. Tidak salah mencuba beberapa bentuk cincin semata-mata untuk memenuhi cita rasa.

8. Gunakan kemudahan cermin yang disediakan di kedai tersebut untuk meneliti cincin yang disarungkan di jari anda.

9. Elakkan dari memilih cincin yang terlalu ketat atau longgar. Sesuaikan saiz mengikut keselesaan anda.

10. Tidak salah bersabar semata-mata untuk mendapatkan cincin yang berkenan di hati!

11. Pastikan anda sudah menentukan bajet anda untuk pembelian cincin ini agar tidak terlebih daripada bajet yang ditetapkan.

DIY IRINGAN ROMANTIS


BAHAN-BAHAN: Bekas, dawai, reben, renda, ‘playar’, manik, gunting dan gam.
                1.       Sediakan bahan-bahan
2.      Tampal renda di bahagian atas penutup bekas membentuk ikatan reben.
3.      Ikat manik dengan dawai.
4.      Satukan tiga tangkai manik yang telah diikat dan bentukkan gulungan di bahagan hujung dawai.
5.      Gamkan manik tersebut di atas kain renda tadi.

Tip: Pilihan manik warna jingga dipadankan dengan dawai rona kuning keemasan mencipta gaya yang cukup eksklusif. 

Selamat mencuba

RAHSIA KULIT CANTIK ERRA FAZIRA

Setelah umur semakin meningkat, apa yang paling dititik beratkan oleh setiap wanita adalah bagaimana untuk mengekalkan kecantikan dan keremajaan kulit. Bagi Erra Fazira, kecantikan harus selari dengan keselesaan dengan diri sendiri dan tidak cuba untuk berlebihan di dalam semua aspek.

erra fazira

Sebagai duta produk Estee Lauder untuk tahun yang kedua, rahsia kecantikan kulit Erra adalah kerana menggunakan produk yang sesuai. Menurutnya lagi, pemakanan yang seimbang sangat penting kerana baginya kecantikan bermula dari dalam. Sekiranya badannya sihat, luarannya turut akan sempurna.

459953_ANR_HelixWithModel_Collateral_Sp12_v3.psb

Advance Night Repair daripada Estee Lauder merupakan produk kecantikan yang tidak boleh ditinggalkannya. Produk itulah menjadi ‘rahsia’ kepada kulitnya yang cantik dan kekal menawan.
 

PEMBEDAHAN PLASTIK DI KOREA SEAWAL UMUR 16 TAHUN

Jangan disangka kecantikan yang dimiliki oleh semua artis Korea itu asli. Korea Selatan mempunyai kadar yang tinggi di Asia cenderung melakukan pembedahan plastik. Kajian mendapati sekurang-kurangnya 1 daripada 5 orang penduduk Korea menjalani pembedahan plastik.
 
Pembedahan-plastik-di-korea 1

Mereka terlalu obses untuk kelihatan cantik dan sempurna seperti artis kegemaran mereka. Pembedahan plastik di Korea juga tidak hanya didominasi oleh kaum wanitanya sahaja, malah kaum lelaki juga akan melakukannya.
 
Pembedahan-plastik-di-korea-lelaki

Sudah menjadi trend di sana apabila hadiah hari lahir apabila mencapai usia 16 tahun mereka ialah pembedahan plastik. Well, beauty is pain in Korea.

SUDIKAH KAU MENJADI SURI HATIKU?



Sudah menjadi lumrah pasangan bercinta, ingin menamatkan zaman percintaan dengan perkahwinan. Siapa yang tidak mahu berkahwin bukan? Namun, ada juga yang baru kenal tidak sampai sebulan sudah merancang untuk mendirikan rumahtangga. Bahkan ada juga yang bertemu jodoh atas kehendak keluarga. Semuanya takdir yang menentukan. Di saat sang kumbang berkata-kata untuk melamar si bunga, pasti saat itu tidak akan di lupakan sampai bila-bila. Ianya sentiasa menjadi kenangan manis dalam hidup berdua. Namun ada juga si lelaki yang takut untuk melamar gadis pujaan hatinya. Alasan mereka, takut ditolak. Pepatah orang tua mengatakan belum cuba belum tahu. Jom ikuti beberapa tips mudah melamar pasangan anda.

Bunga
Bunga memang sinonim dengan pasangan bercinta. Lebih-lebih lagi mawar merah yang melambangkan kehangatan cinta dan kasih sayang sang arjuna kepada si dara. Namun, ada juga wanita yang tidak menyukai bunga mawar. Cara terbaik, belilah bunga kegemarannya. Selitkan sekeping kad berbentuk hati yang bertulis “will you marry me?”.  Selepas itu lihat reaksinya. Kalau dia kelihatan teruja, teruskan melamar dengan kata-kata sambil menghulurkan sebentuk cincin padanya. Pasti dia akan sudi dengan lamaran anda itu.
Tip : Sediakan beberapa kuntum mawar merah yang menggambarkan betapa dalamnya cintamu terhadap dirinya.

Makan malam ‘candle light dinner’
Sebelum anda melamar, cuba pilih satu tempat atau lokasi paling romantis untuk anda berdua. Pilih meja yang sedikit jauh dari orang ramai supaya anda berdua selesa. Pastikan anda menempah terlebih dahulu menu kegemarannya supaya anda berdua tidak tertunggu-tunggu makanan terhidang di meja. Ini sedikit sebanyak dapat menghilangkan debaran di dada. Di kala alunan muzik romantik dimainkan, disertai cahaya lilin dengan suasana romantis, teruskan dengan kata-kata anda untuk melamar pasangan anda.
Tip : ‘Candle light dinner’ di hotel mewah mungkin boleh mengujakan si dia jika anda mampu. Tidak salah berbelanja lebih untuk yang teristimewa.

Jumpa ‘bakal’ mertua
Perkara yang paling penting yang harus ada dalam diri serorang lelaki adalah keberanian dan kesungguhan. Tunjukkan kesungguhan anda dengan berjumpa keluarga pasangan anda. Cuba ambil hati kedua ibu bapanya. Suarakan kepada mereka anda ingin mengambil anaknya menjadi suri dalam hidup anda. Pasti keluarganya yakin dan bersedia untuk menyerahkan anaknya kepada anda.
Tip : Pakai baju yang kemas dan sesuai, pastikan rambut tersisir rapi dan tidak terlalu berminyak. Jangan lupa! Jaga adab dan percakapan anda.

Jadi kreatif
Antara perkara yang paling disukai wanita ialah apabila pasangannya kreatif dalm proses pelamarannya. Sebagai contoh, ketika anda keluar berjalan-jalan dengan pasangan anda, hadiahkan sebiji belon padanya. Mungkin kedengaran agak kebudak-budakan, namun apabila dia melihat ada sebentuk cincin diikat pada tali belon tersebut, pasti si dia tersenyum bahagia. Jika anda tidak mahu menggunakan cara seperti ini, anda juga boleh menggunakan cara lain mengikut kreativiti anda.
Tip : Beri kejutan dengan meletakkan beberapa jambak bunga di tempat duduk belakang kenderaan anda. Berpura-pura anda ingin mengambil sesuatu dan minta si dia mengambilkan nya untuk anda dan lihat hasilnya nanti.

Jadi diri sendiri
Cubalah jadi diri sendiri semasa melamar pasangan anda. Buktikan dengan diri anda sendiri anda mampu menjaga pasangan anda sebaik mungkin. Dari senyuman anda, cara pergerakan dan cara pertuturan, cubalah jadi seperti biasa. Ingat! Sekiranya anda menjadi orang lain, pasti kelihatan lebih buruk dimatanya. Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku , elakkan menjadi orang lain.
Tip : Jujur dan yakin pada kebolehan diri sendiri.