Rabu, 26 Februari 2014

KEK PERKAHWINAN



Segala persiapan majlis sudah ditempah. Mudah sahaja dengan adanya perancang perkahwinan, segalanya dapat diuruskan dengan mudah. Tapi, bagaimana pula dengan kek pengantin? Lain pula ceritanya. Yang bakal ratu sehari mahukan, kek yang cantik menarik dan pastinya sedap.

Pening kepala si jejaka mencari kenalan rapat yang pandai membuat kek idaman hati dara pujaan. Mahu dipenuhi segala permintaan, tanda cinta dan sayang. Usah bimbang, ayuh dapatkan tip tatarias gubahan kek yang cantik sebagai panduan menempah kek perkahwinan untuk majlis anda nanti.

1.      Acara majlis
Gubahan tatarias kek bergantung kepada acara majlis dan keadaan. Setiap tatarias mempunyai maksud yang tersendiri dan sesuai dipadankan dengan tema majlis. Seandainya anda ingin berikan kek khas untuk hantaran perkahwinan, tatarias ringkas sudah memadai, asalkan ia tampak cantik dan comel diiringi.

Tip : Kek untuk majlis persandingan kini dihasilkan bertingkat-tingkat mengikut citarasa bakal pengantin. Ada juga yang mencecah enam tingkat tingginya. Tatarias yang sesuai adalah gubahan dekorasi yang agak padat dan berona terang agar ia tampak menonjol tatkala majlis makan beradab ingin dimulakan.

2.      Jenis kek
Sebulan sebelum anda membuat tempahan kek, lakukan tinjauan ke laman sesawang atau kedai kek untuk ketahui jenis kek yang sesuai dengan majlis perkahwinan anda. Terdapat pelbagai jenis kek yang ditawarkan kini daripada kek jenis span, kek berlapisan pelangi, kek coklat dan banyak lagi.

Tip : Elakkan menempah kek yang berasaskan gabungan ais krim dan keju yang mudah cair. Ini akan mencacatkan kek anda tatkala majlis. Anda tahu bukan, acara memotong kek biasanya diadakan setelah majlis persandingan selesai.

3.      Warna pilihan
Andalah pengantinnya, maka anda lah yang berhak menetapkan warna pilihan untuk kek majlis persandingan. Warna kek memainkan peranan penting dan berkait rapat dengan tema majlis. Sebaiknya, pilih warna kek yang agar kontra dari rona dasar pelamin. Ini akan menonjolkan keserian gubahan kek anda.


Tip : Warna biru dan kuning dari gubahan pelamin boleh juga dijadikan tema rona pilihan kek. Tetapi, perbanyakkan rona kontra dengan putih permata bersama sedikit rona kuning dan biru untuk hiasan ‘gumpaste’ kek, agar ia tampak seimbang dan tidak tenggelam di pandangan.

4.      Dekorasi pilihan
Dekorasi hiasan kek adalah berdasarkan tema majlis anda. Sekiranya tema majlis adalah taman, maka gubahan kek juga perlu ada bunga atau reben hiasan yang diperbuat dari ‘gumpaste’. Ia tidak akan cair dan kekal cantik walaupun untuk berjam-jam lamanya sepanjang majlis dijalankan.

5.      Harga tawaran
Sudah pasti tatarias gubahan kek untuk majlis anda yang istimewa ini memerlukan hasil yang menakjubkan. Namun, harganya juga perlu diambil kira. Sekiranya anda mempunyai bajet rendah, usah bimbang. Tempahan kek biasa tanpa tatarias sudah memadai. Anda juga boleh menghias gubahan kek sendiri menggunakan idea DIY.

Tip : Layari laman sesawang yang memberikan maklumat berkaitan gubahan tatarias kek yang mudah dan cantik dengan idea DIY. Anda juga boleh melakukannya sendiri di samping menjimatkan kos perbelanjaan pada kek majlis.

Tempahan demi tempahan sudah selesai satu persatu. Lega hati si dara dan teruna, diulit bayangan cinta panahan kasih berdua. Kek idaman juga sudah ditunaikan si teruna, segala impian sudah dilunaskan. Kini, hanya menunggu masa untuk diijabkabulkan. Indah sungguh episod percintaan. 

0 ulasan: