Selasa, 6 Januari 2015

RENUNGAN BUAT SEMUA

RENUNGAN buat semua... ‪#‎ilovepahang‬ ‪#‎pahang‬ ‪#‎banjirpahang2014‬ ‪#‎banjirpahang2015‬ Banjir 2014 ; Kasih Allah di sebalik bencana. Pada tahun lalu, saat kita berdepan ujian banjir yang melanda khususnya di negeri Pahang, kita merasakan itulah peristiwa banjir terburuk pernah berlaku. Walaupun banjir terburuk pernah dicatatkan puluhan tahun dulu, namun jika dinilai dari segi kerosakan dan kehilangan harta benda, tempat tinggal, premis perniagaan, pejabat, kemudahan awam dan sebagainya, tidak dapat dinafikan banjir di era moden ini pastinya lebih besar kerugian yang ditanggung. Namun pada tahun ini siapa sangka musibah banjir yang berlaku lebih hebat dan dahsyat. Banjir besar bukan hanya melanda negeri Pahang, tetapi turut menimpa penduduk negeri Terengganu, Kelantan, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor menyaksikan lebih 200,000 mangsa terpaksa berpindah ke pusat pemindahan dan penempatan sementara. Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi melebihi 100 ribu mangsa. Di negeri Pahang, air bah dikhabarkan melepasi banjir besar tahun 1971. Jumlah mangsa yang berpindah melebihi 37 ribu orang daripada lebih 9,000 keluarga di 8 daerah yang terlibat iaitu Kuantan, Temerloh, Jerantut, Kuala Lipis, Bera, Maran, Pekan dan Rompin. Tahun 2014 bukan hanya menyaksikan bencana banjir terburuk, malah sebelum daripada itu negara pernah mengalami musim kering dan kemarau. Hujan yang tidak turun dalam tempoh yang lama, menyebabkan beberapa buah negeri terputus bekalan air bersih malah empangan kering sama sekali. Selain itu, negara dikejutkan dengan peristiwa kehilangan pesawat syarikat penerbangan Malaysia MH370 yang sehingga kini masih disifatkan sebagai misteri. Episod nahas pesawat terus menjadi igauan rakyat Malaysia apabila sebuah lagi pesawat MH17 ditembak jatuh di sempadan Russia dan Ukraine. Pasti dan pastinya musibah demi musibah ini mengundang kita untuk terus bermuhasabah, apakah tindak tanduk kita di muka bumi ini yang menjadi punca malapetaka hebat ini. Malah turut mengundang kita untuk berfikir, apakah mesej yang Allah Taala mahu sampaikan kepada kita. Adakah Allah memang mahu menghukum kita atas segala dosa-dosa dan kemaksiatan yang bermaharalela? Atau adakah sengaja Allah aturkan semua ini kerana mahu terus hamba-hambaNya memohon lagi, lagi dan lagi akan pengampunan, kasih sayang, rahmat dan belas kasihan Nya? Sebagai umat Islam yang meyakini dan mengimani akan qada’ dan qadar, percayalah bahawa ini adalah ujian daripada Allah swt. Bahkan Allah menyatakan dengan jelas di dalam al-Quran “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..” (al-Baqarah: 286) . Cuma mungkin tahap keimanan di kalangan kita menjadikan sebahagiannya menerima dengan positif manakala sebahagian yang lain memandangnya dari sudut negatif. Sebagai salam simpati serta kata-kata semangat kepada semua yang di timpa bencana, marilah kita bersangka baik dengan segala aturan Allah ini. Ujian ini kerana Allah kasihkan kita. Sekalipun didatangkan musibah ini kerana dosa-dosa yang dilakukan, itu juga tanda Allah Taala kasih kepada kita. Jika tidak, pasti Allah membiarkan kita terus menerus dalam kelalaian, kemaksiatan dan kerosakan. Allah swt berfirman buat hamba-hambanya yang dikasihi ; “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (al-Ankabut: 2) “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” ( al-Baqarah: 214) “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu..” (al-Hadid ayat 22-23). Menarik juga untuk kita hayati beberapa petikan titah DYMM Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan dalam menghadapi musibah banjir yang menimpa ; “..Marilah kita segera meneropong diri, mohon keampunan daripada allah, serta memperbaiki langkah-langkah kita, yang mungkin telah banyak membuat kesilapan.” “..Semoga Allah mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak..” “..Banjir yang menimpa rakyat beta adalah sebahagian dari qada dan taqdir Allah. Hal ini harus di yakini dan di imani.” Allahuakbar!

1 ulasan:

QasehnyaRania berkata...

brtul tu sama sama bermuhasabah diri
fokus kpd akhirat juga bukan duniawi semata..