Tiada contoh yang terbaik buat umat Islam melainkan peribadi Nabi Muhammad SAW. Baginda diutus sebagai utusan Allah yang memiliki beribu kebaikan untuk diikuti. Termasuklah cara baginda meluahkan rasa kasih dan sayang pada umat-umatnya. Kita semua bukan insan sempurna, maka tolak ansur adalah amalan terbaik supaya jalinan kasih sayang yang dibina kekal selamanya.
1-Tertulis dalam sejarah di mana ada seorang wanita tua bukan golongan Islam selalu membaling najis dan meletakkan duri di sepanjang jalan yang dilalui Rasulullah SAW. Baginda langsung tidak menghiraukan kelakuan buruk wanita tersebut malah menziarahinya ketika dia uzur. Dia terharu melihat kebaikan baginda lalu memeluk Islam.
2-Ketika berhijrah ke kota Madinah dan memulakan sesi dakwahnya, Rasulullah telah dibaling batu oleh kanak-kanak dan golongan dewasa penduduk kota tersebut. Pernah ia berlaku ketika baginda sedang menunaikan solat, namun baginda langsung tidak memarahi mereka. Malah, baginda berdoa, “Ya ALLAH berilah petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui tentangku.”
3-Paling ketara sifat terpuji Rasulullah terserlah apabila melayan isteri-isteri dan anak-anaknya. Baginda sangat penyayang kerana selalu memaafkan kesalahan isteri-isterinya. Baginda juga sangat bertimbang rasa kerana selalu membantu isteri-isterinya membuat kerja rumah.
4-Satu ketika dahulu, pernah berlaku di mana seorang Arab Badwi membuang air kecil di satu sudut di dalam masjid. Perkara kotor ini mendatangkan kemarahan kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad. Baginda pula hanya berdiam diri dan tunggu hingga si polan melunaskan hajatnya. Selepas itu, baginda tidak kekok membasuh najis tersebut lalu memberitahu tentang adab-adab ketika di masjid kepada si polan tersebut.
5-Rasulullah seorang yang baik hati kerana selalu membantu sahabat dan umatnya tanpa mengira latar belakang mereka. Jika ada sesiapa yang meminta pertolongannya, baginda akan sedaya upaya membantu. Sikap prihatin ini perlu diikuti kerana Rasulullah pernah bersabda, “Barang siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, ALLAH akan tunaikan 70 hajatnya.” Wallahua’lam.
6-Perbezaan paling ketara antara kita dan insan terpuji ini ialah baginda selalu berjalan dengan fakir miskin dan sering menziarahi mereka yang memerlukan sama ada bertanya khabar atau pun bertanya tentang keperluan mereka. Baginda langsung tidak pilih sebulu kerana sentiasa berbual dan makan bersama orang-orang miskin yang melarat. Adakah kita begitu?
0 ulasan:
Catat Ulasan