Isnin, 22 September 2014

PRUN PENAWAR SIHAT SEUMUR HIDUP

Jika sebelum ini anda bukanlah peminat setia buah prun, kami yakin setelah adanya entri perihal kebaikan prun, anda pasti tercari-cari prun kerana kehebatan prun ini memang tidak lagi boleh disangkal. Tidak percaya?

Buah plum yang telah dikeringkan dikenali sebagai buah prun. Setelah mengalami pemprosesan, warna buah plum ini akan bertukar menjadi hitam. Buah prun yang mempunyai rasa masam, manis dan segar ini semakin mudah didapati di pasaran.

Prun yang kaya serat dikatakan snek ringan yang paling mudah untuk merawat masalah sembelit kerana prun dikatakan pelawas semulajadi sejak dulu lagi. Maka, tidak hairanlah jika anda mengambil beberapa biji prun setiap pagi, tubuh anda akan ringan dan segar kerana ia melawas dan membantu anda membuang air besar setiap pagi!

Kandungan tinggi serat larut dalam prun juga membantu tahap gula dalam darah menjadi lebih stabil. Serat larut memperlahankan kadar dan melambatkan penyerapan gula dalam darah. Serat larut juga meningkatkan kepekaan badan terhadap insulin. Serat larut ini juga memberi kepuasan setelah makan dan mengelak anda bertambah berat badan. Ini bermakna, ia mengawal penyakit diabetis tahap dua dan juga obesiti.

Selain menurunkan kadar kolesterol, ia juga menguatkan tulang dan elak risiko diserang osteoporosis. Kajian membuktikan kandungan phenoic dan flavonoid dalam prun berkesan mengelakkan tulang rapuh.

Prun juga merupakan sumber Vitamin C yang cukup baik dalam membantu tubuh badan menyerap zat besi. Mengambil prun membantu membina imuniti dan dan menghasilkan kolagen serta tisu baru. Mengamalkan Vitamin C semulajadi dari prun ini merupakan rahsia anda kekal awet muda.

Sudah dapatkan buah prun anda hari ini? Meskipun luaran prun berwarna gelap dan lembik, hakikatnya ia menyimpan sejuta khasiat untuk anda yang mendambakan snek ringan yang  sihat setiap masa!

0 ulasan: