Sabtu, 11 April 2015

10 Tip Penting Untuk Kamar Pengantin

Kredit foto: pelabuhanmimpi.blogspot.com

Apabila menyebut tentang dekorasi perkahwinan, selain daripada pelamin, meja santapan dan dewan, bakal pengantin juga harus menitikberatkan soal kamar pengantin. Dekorasi kamar raja sehari perlu praktikal dan mampu memberi keselesaan yang sepenuhnya, bukan sekadar cantik untuk dilihat.
Beberapa perkara perlu diambil kira bagi memastikan hiasan pada kamar pengantin adalah kreatif dan menepati citarasa pengantin lelaki dan perempuan. Bermula daripada pemilihan perabot sehingga ke hiasan dalamannya.
Hari ini Wanista kongsikan beberapa tip apa yang perlu ada di kamar pengantin, yang kami dapat dari Pesona Pengantin Karangkraf. Semoga tip ini bermanfaat kepada bakal-bakal pengantin di luar sana.
  1. Tentukan terlebih dahulu warna atau tema kamar pengantin.
  2. Pilih konsep bersesuaian sama ada anda mahukan konsep yang elegen, ringkas, kemas, selesa ataupun klasik.
  3. Pilih set kamar yang bertepatan dengan tema. Pemilihan penting sebelum memberi fokus pada hiasan langsir, latar belakang kelambu hiasan katil dan permaidani serta cadar.
  4. Pilih cadar berwarna putih atau krim dan sebaik-baiknya 100% cotton.  Utamakan keselesaan dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli. Elakkan dari memilih cadar bercorak besar kerana ia boleh menyebabkan kamar tampak kecil dan sempit.
  5. Gantungkan satu atau beberapa bingkai gambar di dinding dan lebih elok jika di atas kepala katil. Elakkan gambar potret, sebaik-baiknya pilihlah gambar yang mempunyai unsur ketenangan dan romantis seperti bunga atau corak abstrak berbentuk hati dan mempunyai kesinambungan antara satu sama lain.
  6. Jika anda bercadang untuk meletakkan hantaran di atas katil untuk upacara membatalkan air sembahyang contohnya, elakkan memilih tilam berspring kerana ia boleh merosakkan keadaan fizikal tilam serta tidak sesuai untuk meletakkan hantaran. Sebaiknya, sediakan sedikit ruang untuk meletakkan barang hantaran anda itu.
  7. Katil yang dihiasi dengan jambangan bunga yang segar sangat romantis dan menenangkan, tetapi lebih elok jika jambangan bunga yang dipilih itu tidak terlalu besar dan sarat kerana itu akan menimbulkan ilusi sarat untuk kamar anda. Pilihlah bunga yang lebih kecil dan mempunyai warna yang lembut, tidak kira untuk bunga segar mahupun artifisial ataupun hanya taburkan kelopak bunga di atas katil sahaja sebagai pelengkap hiasan.
  8. Jangan dilupa penggunaan wangian yang minima untuk kamar juga sangat penting, gunakan sahaja daun pandan yang diracik-racik dan campurkan dengan air mawar. Cubalah, pasti kamar anda akan berbau harum.
  9. Untuk hiasan di atas meja solek juga penting walaupun dianggap remeh, ini kerana anda akan disolek di kawasan ini, pasti ia akan menjadi tumpuan bagi tetamu. Tidak perlu terlalu sarat dengan barangan, hanya perlu letakkan sejambak bunga serta lilin sebagai hiasan di atas meja solek.
  10. Pencahayaan juga penting. Gunakan lampu meja atau lampu katil yang bercahaya kuning dan boleh dimalapkan untuk memberikan efek ekslusif dan romantis.
Sumber: Pesona Pengantin Karangkraf

 Tanda2 korang GIler Shopping

0 ulasan: